‘Lantaklah Orang Lain Sakit, Yang Penting Aku Boleh Solat Di Masjid’
Kredit foto : Khalifah Media Networks, islamituindah.com.my

Ketahuilah wahai mak ayah.. perbuatan solat sembunyi-sembunyi secara berjemaah di masjid ketika wabak Covid-19 ini hanya mementingkan diri sendiri. Kata Ustaz Khairul Anuar Basri, ini boleh diumpamakan perbuatan ‘bodoh sombong’.

Ustaz menjelaskan tentang penutupan masjid berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang tersebarnya virus Covid-19 di negara ini. Sedihnya, ada sesetengah individu yang ingkar, malah mengajak ramai turut serta mengingkarinya atas alasan agama.

Kata Ustaz Khairul dalam posting facebooknya, “Ada seorang kawan bagi link facebook ni kepada saya. Saya baca la sepintas lalu macam biasa. Kalau tak penting saya ignore je.”

Tapi lepas saya baca posting ni, saya rasa benda ni penting untuk saya respon. Sebabnya; ia boleh mengelirukan ramai orang. Termasuk mak ayah kita semua yang memang kaki semayang kat masjid.

Dah la follower tuan facebook ni 2 kali ganda lebih ramai dari follower facebook saya.

Bayangkan, kalau 10% saja daripada followernya yang seramai 40,000 orang tu terpengaruh, kita akan ada 4,000 orang yang terdedah secara sukarela kepada virus Covid-19.

Wow! Ini memang kerja gila dan membahayakan.
So, saya cuba la tulis serba sedikit untuk sanggah balik apa saja isi penting dalam tulisan beliau.

Hadamkan! Virus Covid-19 Dan Macam mana Ia Menular

Sebelum tu, saya nak tekankan beberapa benda yang saya faham tentang Covid-19 ni sebagai ulangkaji. Harap betulkan kalau salah :

  • Covid-19 ni sejenis virus yang merbahaya. Kita tak nampak dia, tapi dia ada di mana-mana.
  • Jangkitan boleh berlaku bukan saja melalui sentuhan antara tubuh ke tubuh tetapi sentuhan antara barang ke tubuh.

Itu basic la pasal Covid-19 yang wajib kita tahu.
Sebab tu la kita kena patuh pada Perintah Kawalan Pergerakan.

  • Stay at home.
  • Elak dari pergi ke tempat ramai orang berkumpul.
  • Amalkan ‘social distancing’.

Masjid ialah tempat awam. Ramai orang pergi ke masjid tidak kira waktu. Orangnya pula sentiasa bertukar ganti. Kita tak tahu mungkin ada antara jemaah masjid adalah pembawa virus atau telah dijangkiti oleh virus Covid-19.

Walaupun kita solat dalam keadaan jarak yang selamat, kita mesti ingat virus ini juga boleh melekat di tempat atau barang yang kita sentuh.

Ads

Bayangkan si fulan adalah pembawa virus. Kemudian dia sujud ketika solat. Virus itu melekat di karpet dalam masjid.

Kemudian datang si fulan lain solat di tempat yang sama. Virus secara automatik akan berpindah.

Kemudian lagi, dia pun balik ke rumah. Sentuh pula anak isteri. Virus akan terus merebak tak berkesudahan.

Sebab itulah untuk membentung benda ni dari root cause nya, tutup aje la masjid tu. Kita kita panggil dalam fiqh sebagai ‘saad az-zarā’i’’ atau dalam bahasa Inggeris, ‘blocking the means’.

Bukan tutup sampai bila-bila pun. Sekejap je sampai la semua ni nampak selesai atau telah selesai.

 

‘Lantaklah Orang Lain Sakit, Yang Penting Aku Boleh Solat Di Masjid’
Kredit screenshoot : Khairul Anuar Basri

 

Ads

‘Penutupan Masjid Dari Sebarang Aktiviti’ Ini Pendapat Ustaz Khairul

Saya tidak kenal tuan punya facebook iaitu Tuan Abdul Khalid Abdul Aziz. Tapi atas dasar tanggungjawab, saya nak utarakan pendapat saya berdasarkan pendapat beliau sebagaimana gambar yang saya attach.

1. Bila Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dan seluruh Majlis dan Jabatan Agama negeri mengeluarkan ‘fatwa’ agar ditutup semua masjid daripada sebarang aktiviti, itu sudah dikira ijma’ yang saya yakin dah pun dibincang dan diperhalusi dengan sebaik mungkin, mengambil kira segala sudut.

2. Dengan mengucapkan ‘alhamdulillah’ apabila ada warganegara yang melanggar sesuatu ketetapan untuk maslahah ramai, ia hanya memberikan gambaran bahawa, perlanggaran itu adalah sesuatu yang tidak salah dan patut dibuat.

3. Solat secara sembunyi dan dalam gelap, mungkin boleh menipu pihak berkuasa. Tetapi kuman dan virus Covid-19 tidak kenal terang atau gelap. Ia boleh merebak dan mengganas lebih teruk daripada apa yang kita sangka.

4. Perbuatan sebegini hanya mementingkan diri sendiri. Lantaklah orang lain sakit. Yang penting aku boleh solat di masjid. Ini kita panggil ‘bodoh sombong’.

5. Ada kaedah fiqh berbunyi ‘dar ul mafāsid muqaddam ‘an jalbil masōleh’ iaitu menolak kerosakan itu lebih utama daripada mengambil kebaikan juga amat sesuai digunakan dalam konteks ini. Bila ada kemudharatan dan kebaikan dalam sesuatu amalan ibadah pada waktu yang sama, maka mencegah kemudharatan itu adalah lebih utama.

Ads

Perintah Kawalan Pergerakan : Solat Sembunyi Secara Berjemaah Di Masjid, Boleh Membunuh Orang Lain

6. Jadi alim itu penting. Tapi jadi alim yang faqih itu lebih penting. Sebab, dengan kefaqihan, ilmu akan diletakkan pada tempat dan masa yang sesuai.

7. Menyamakan solat berjemaah secara sembunyi-sembunyi (walhal ia melanggar undang-undang) dengan kisah dakwah fatrah sirr dan kisah ashabul kahfi adalah ibarat jauh panggang dari api. Tak kena langsung.

8. Zaman awal Islam, para sahabat solat secara sembunyi takut mereka dibunuh. Sekarang kita solat sembunyi secara berjemaah di masjid untuk membunuh orang lain!

9. Sama juga dengan kisah ashabul kahfi. Sekumpulan pemuda bersembunyi di dalam gua untuk menyelamatkan iman mereka dari raja yang kafir. Ia adalah kisah yang sangat berlainan sama sekali.

10. Dalam kes penutupan masjid untuk sebarang aktiviti termasuk solat berjemaah ini, kita masih boleh solat berjemaah di rumah. Ia bukan kes solat tidak boleh didirikan langsung atau menafikan kewajiban bersolat.

11. Solat berjemaah di masjid sangat diberatkan oleh Rasulullah SAW. Tetapi ia mesti dibaca selari dengan banyak lagi ayat Al-Quran, hadith Nabi SAW dan pelbagai kaedah fiqh yang menolak kemudharatan dari disebarkan walaupun melalui jalan ibadah.

12. Yang 2 perenggan terakhir pasal Islam dagang, dajjal, keputusan tersilap, manusia tak maksum, beramal tak macam yang Quran hadith ajar, itu dah jauh sangat dah tu melalutnya. Fahami konteks penutupan masjid saja sudah cukup untuk kita lebih menghayati ajaran Quran dan hadith. InsyaAllah.
Saya harap benda ni tak akan berjaya mempengaruhi semua orang yang cintakan solat berjemaah di masjid.

  • Tolong bagitahu mak ayah kita.
  • Tolong ingatkan ahli keluarga kita.
  • Tolong kongsikan dengan kawan-kawan kita.

Semoga penjelasan saya dapat memberi sedikit sebanyak pencerahan.
Wallāhu a’lam bissowāb.
#KAB
#StayAtHome

Baca sini : Hari pertama hanya 60 peratus patuhi perintah, tak terkawal guna tentera.

Sumber/Foto : Khairul Anuar Basri

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI