‘Landasan Kita Berbeza’ Bertahun Kahwin, Ujian Rumah Tangga Tak Pernah Berhenti

Share

Ketahui suami isteri, sepanjang hidup berdua di bawah satu bumbung, bermacam ujian rumah tangga perlu ditempuh. Namun, bagaimana cara untuk anda menerima ujian kasih sayang ini. Tenangkah? Atau berliku-liku jalannya.

Cik Puan Ammy (CPA) kongsikan pesanan untuk anda yang bergelar suami isteri. Dalam melayari hidup berdua ada perkara yang perlu kita terima dengan lapang dada. Bukan saling menyalahkan apatah lagi memaksa pasangan untuk menerima cara kita.

Ujian Rumah Tangga Mematangkan Usia Perkahwinan

Dia : Masa zaman cinta-cinta dulu, selalu kalau keluar dengan awak bau minyak wangi. Sekarang bau minyak angin jer.
CPA : Sama lah… Awak pun masa muda-muda dulu bau minyak wangi. Sekarang bau minyak ‘grease’ jer.

Lalu kami ketawa bersama. Begitu lah bila usia perkahwinan dah semakin matang. ‘Malas’ nak berasa atau berkecil hati dah. Lupa terus cara nak merajuk atau bertengkar. Semuanya dah buang ke tepi.

Masing-masing dah kenal hati budi pasangan. Cuba untuk penuhi sisa-sisa yang tinggal supaya sentiasa harum mewangi. Tidak kira lah minyak angin ataupun minyak grease semuanya tidak mendatangkan luak dalam kasih sayang malah semakin menggebu di hati.

Gaduh rajuk sikit-sikit tu adatlah dalam perkahwinan. Alangkah gigi dan lidah pun kadang kala tergigit inikan pula suami isteri yang berbeza cara didikan keluarga. Jangan pula jadikan perbezaan itu sebagai satu alasan untuk terus bertengkar demi mempertahankan cara masing-masing.

Tahu tak…?

Sebaik sahaja akad dilaksanakan maka terbentuklah sebuah keluarga. Walaupun ketika itu hanya ada suami dan isteri sahaja, apabila sudah terbinanya rumah tangga maka itulah keluarga anda.

Cipta Keserasian Dengan Pasangan

Bentuklah keluarga anda dengan cara sendiri. Saling berkongsi dan bekerjasama supaya ada keserasian di antara anda dan pasangan.

Contohnya :
Keluarga suami tidak mengamalkan cara makan bersama antara lelaki dan perempuan di mana orang lelaki akan makan dahulu manakala perempuan akan menyusul setelah lelaki habis makan. Bagi anda yang berlainan cara didikannya ianya akan nampak pelik kerana keluarga anda tidak pernah mengamalkan cara makan begitu.

Tenang… Jangan terus rasa diperendahkan. Itu cara keluarga suami. Turutkan sahaja dengan hati yang terbuka kerana anda sedang berada di rumah mentua yang caranya berbeza. Apabila pulang ke rumah sendiri, makanlah bersama suami dan anak-anak kerana anda sudah berada di rumah sendiri.

Begitu juga dengan suami. Apabila sudah terbiasa makan tanpa perempuan di meja pasti akan berasa ‘canggung’ kerana terpaksa semeja dengan adik beradik perempuan isteri. Tenang juga, kerana itu adalah cara keluarga isteri anda.

Turutkan sahaja tanpa rasa janggal. Sedangkan isteri boleh belajar cara keluarga anda, mustahil anda tidak boleh belajar cara keluarga isteri. Apabila pulang ke rumah sendiri terpulanglah samada ingin teruskan cara keluarga masing-masing atau membina cara keluarga anda sendiri.

Keluarga anda, didik lah dengan cara anda. Apa yang penting anda suami isteri haruslah sentiasa berbincang dan muafakat dalam membuat keputusan.

Fasa Dalam Perkahwinan

Berbalik pada kematangan dalam berumah tangga. Usia perkahwinan ada beberapa fasa iaitu fasa pertama, kedua, ketiga dan keempat.

Fasa pertama ( 1 hingga 5 tahun )

Fasa pertama adalah tahun pertama hingga tahun ke 5 perkahwinan di mana ia dikenali sebagai tahun orientasi. Tempoh untuk saling mengenali hati budi pasangan setelah mula tinggal sebumbung.

Fasa ini banyak mencabar kesabaran hati kerana waktu inilah pasangan akan mula menunjukkan sikap dan rupa sebenar. Kalau dahulu waktu ‘dating’ selalu wangi jer rupa-rupanya bila duduk di rumah lebih suka menggunakan minyak angin cap kapak. Kalau dahulu selalu keluar jalan-jalan satu badan bau ‘dashing’ tapi bila dah sebumbung hari-hari kena hadap bau ‘grease’ atau bau peluh apabila pasangan balik daripada kerja.

Pada fasa inilah juga paling banyak ujian rumah tangga di antaranya adalah sukar memahami sikap pasangan kerana waktu bercinta jarang pasangan akan menunjukkan sikap sebenar. Masalah pembahagian tugas antara suami isteri juga akan timbul di mana masing-masing masih baru di alam rumah tangga.

Masalah mengenal hati budi mentua, masalah mencari keserasian antara ipar duai dan sebagainya. Dalam fasa ini juga setiap pasangan perlu banyak berbincang dan yang pentingnya adalah kesabaran.

Apabila sudah berjaya melepasi fasa pertama, in Sha Allah peluang untuk sampai fasa ke dua sangat cerah.

Fasa ke 2 ( 5 hingga 10 tahun )

Pada fasa ke 2 pula adalah tahun ke 5 hingga tahun ke 10. Fasa ini kebanyakan rumah tangga akan diuji dengan kehadiran anak-anak yang semakin bertambah dan ekonomi rumah tangga juga semakin tinggi. Pada fasa ini, pasangan suami isteri perlu ada sikap saling berkongsi dan bertolak ansur di antara satu sama lain baik daripada segi tanggungjawab dan ekonomi.

Bagi yang masih belum punyai zuriat, suara-suara sumbang akan mula bertanya soalan-soalan pelik seolah-olah mereka lebih tahu daripada Allah SWT. Maka hanya iman yang kuat dan tawakal ilallah sahaja yang mampu mempertahankan hubungan anda daripada hasutan manusia yang sentiasa tidak pernah puas.

Mungkin ada beberapa faktor pertengkaran akan berlaku. Rasa tidak puas hati dengan pasangan anda di atas beberapa sebab contohnya pengabaian kasih sayang kerana komitmen kerja semakin bertambah, kekurangan pemberian nafkah baik daripada segi zahir ataupun batin di atas alasannya sendiri.

Kecurangan pada pasangan juga mungkin akan terjadi sekiranya perkahwinan itu hanya berlandaskan nafsu, hilang tahap kesabaran di atas sikap sambil lewa dan lupa tanggung jawab kerana pasangan mula berjinak-jinak dengan hobi ataupun menghabiskan masa dengan kawan-kawan.

Pada fasa ke 2 ini, tahap kesabaran perlu dipertingkatkan kerana ramai yang akan kecundang di fasa ini dan sekiranya berjaya sampai ke penghujung peluang untuk melalui fasa ke 3 sangat mudah.

Fasa ke 3 ( 10 hingga 20 tahun )

Apabila berjaya melepasi fasa ke 2, bermakna usia perkahwinan sudah melebihi 10 tahun. Pada tahun ke 10 hingga tahun ke 20 ini anda telah mengenali hati budi pasangan dengan baik. Pada fasa ke 3 ini, keadaan rumahtangga semakin stabil baik daripada segi ekonomi dan anak-anak.

Sikap yang suka merajuk dan pentingkan diri sendiri sudah mula berkurangan di atas faktor usia dan kematangan dalam berfikir kerana itulah betapa pentingnya kita melalui fasa pertama dengan sabar.

Jadi kepada pasangan yang matang akan cuba untuk mengelakkan sebarang pergaduhan dengan melakukan apa yang pasangan suka dan meninggalkan apa yang pasangan tidak suka.

Saling menghormati perasaan pasangan masing-masing kerana usia sudah mula bertambah dan anak-anak juga sudah meningkat remaja. Perasaan malu untuk bertengkar di hadapan anak-anak juga turut menebal kerana anak-anak sudah tahu menilai baik dan buruk sesuatu keadaan.

Lebih kepada memberi dan menerima pada setiap kekurangan dan kelebihan pasangan contohnya apabila si isteri sudah mula berdengkur, si suami sudah mula kentut dalam selimut, gigi pasangan sudah mula luruh satu persatu, diuji dengan penyakit 3 serangkai, sakit-sakit badan dan sebagainya.

Fasa ke 4 ( 20 tahun ke atas )

Tahniah… Sudah hampir kepada fasa terakhir ujian rumah tangga sebelum nyawa di jemput pulang. Fasa ke 4 pula adalah di mana usia perkahwinan sudah mencecah usia ke 20 tahun ke atas.

Pada fasa ini, usia sudah meningkat. Kekurangan pasangan lebih jelas kelihatan. Kedutan jelas kelihatan di mana-mana, uban sudah mula memutih, bentuk badan sudah tidak seperti dulu, ada juga yang sudah tidak berambut dan ada yang sudah terlantar di katil mengharap belas ihsan pasangan menjaganya.

Waktu ini lah ujian yang sebenar dalam kehidupan berumah tangga samada anda terus bertahan sehingga ke nafas terakhir ataupun memutuskan untuk pergi mencari yang lebih sempurna.

Bagi yang mendirikan rumahtangga kerana Allah SWT, ianya sudah berada di dalam zon yang selesa. Ekonomi rumahtangga yang stabil, kasih sayang diantara satu sama lain semakin melimpah ruah dan anak-anak sudah besar malah ada juga yang sudah mula menerima menantu.

Tiba masanya untuk tenang membuat amal ibadah dan mengumpul pahala tanpa memikirkan hal duniawi lagi. Pada masa terluang, duduk santai-santai bersama pasangan sambil mengenangkan bagaimana tabahnya anda berdua mengharungi suka dan duka pada setiap fasa perkahwinan daripada fasa pertama sehinggalah ke fasa sekarang. In Sha Allah dengan begitu anda berdua akan lebih saling menghargai satu sama lain.

Selagi Bernyawa Ujian Rumah Tangga Takkan Berhenti

Tetapi malang kepada yang mendirikan rumah tangga di atas dasar nafsu kerana waktu inilah nafsu serakah diuji. Masing-masing tidak mampu menerima kekurangan pasangan. Sentiasa ingin mencari kesempurnaan tanpa memikirkan usia yang sudah mula bertambah dan masa bertaubat sudah mula berkurangan.

Sanggup meninggalkan pasangan yang sudah belasan tahun hidup bersama semata-mata mengejar cinta yang baru sebulan datang.

Teman-teman… Apa yang CPA tulis di atas adalah antara perkongsian kawan-kawan yang pernah melaluinya dan ada juga pengalaman CPA sendiri.

Kita tidak berada di dalam landasan yang sama‘ walaupun sama destinasi yang dituju tetapi ujian perjalanan hidup kita berbeza-beza. Ujian rumah tangga tidak pernah akan berhenti selagi masih bernyawa.

Tidak kiralah kita di fasa ke berapa, hadapilah ujian dengan sabar dan tenang semoga kita tergolong dalam golongan keluarga Firdausi…

#CikPuanAmmyTulis.
#MenulisDaripadaHati.
#17tahunperkahwinan.
#Doakankebahagiankami.

Sumber/Foto : Cik Puan Ammy

Ada masa rumah tangga kita diuji dengan kekeliruan, hentikan tak perlu dilayan.

Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW

Published by
Netty Ah Hiyer