Lailatulqadar adalah malam yang dicari-cari oleh seluruh umat Islam sepanjang Ramadan. Alangkah beruntungnya mereka yang mendapatnya.
Ikuti perkongsian daripada Mohd Yaakub bin Mohd Yunus, Pendakwah Bebas. https://www.facebook.com/yaakub73
Tanggapan Silap Antara Lailatulqadar dan Nisfu Syaaban
Al-Qadr juga bermaksud penetapan. Oleh itu, lailatulqadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya. Ini jelas bertentangan dengan tanggapan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang beranggapan bahawa malam Nisfu Syaaban merupakan malam di mana Allah menetapkan apa yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya.
Mereka berhujah dengan Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba Kami tidak ditimpa azab). (Kami menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan yang bakal berlaku.” – Surah al-Dukhan: 3-4.
Berdasarkan Nas-Nas Sahih
Menurut tafsiran ‘Ikrimah, malam yang diberkati dan ditetapkan segala urusan manusia itu adalah malam Nisfu Syaaban. Namun, pendapat ini tertolak kerana nas-nas yang sahih telah menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan dan malam yang diberkati itu adalah malam lailatulqadar sebagaimana yang terdapat di dalam surah al-Qadr yang telah penulis paparkan sebelum ini.
Al-Hafiz Ibn Kathir r.h ketika mentafsirkan surah al-Dukhan, ayat 3-4, katanya: “Allah berfirman menjelaskan tentang al-Quran al-Adzim bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang penuh berkat, iaitu malam al-Qadr sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Qadr: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr.” – Surah al-Qadr: 1.
Keyakinan Yang Salah!
Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata: “Keyakinan bahawa malam Nisfu Syaaban adalah malam al-Qadr adalah keyakinan yang salah. Demikian kesepakatan para ulama hadis sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya. Ketika menjelaskan Sunan al-Tirmizi, Ibn al-‘Arabi mengatakan bahawa firman Allah di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran bermaksud diturunkan pada malam Nisfu Sya’ban adalah tidak benar kerana Allah tidak pernah menurunkan al-Quran pada bulan Syaaban.
Lailatulqadar Hanya Wujud Dalam Bulan Ramadan
Tetapi, ayat itu harus difahami secara lengkapnya sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr di mana Lailatulqadar itu hanya wujud pada bulan Ramadan. Hal ini juga ditegaskan oleh Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 185: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya. Keyakinan al-Qadr berlaku pada malam Nishfu Syaaban sangat bertentangan dengan Kitabullah dan sangat jauh terpesong daripada isi kadungannya.
Perlu kami ingatkan bahawa ALLAH sendiri telah menegaskan tentang malam itu di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan bermaksud pada malam al-Qadr dijelaskan segala hal kepada malaikat bukannya pada malam Nisfu Sya’ban.” – Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, ms. 156.
Rasulullah Tak Buat
Disebabkan oleh kekeliruan ini, mereka telah menciptakan pelbagai ibadah yang khusus seperti membaca surah yasin sebanyak tiga kali diselang-selikan dengan doa-doa yang tertentu agar tahun yang mendatang bakal lebih baik dari tahun itu. Ternyata amal ibadah tersebut tidak ada contohnya daripada Rasulullah s.a.w mahupun para al-Salafussoleh dan sewajarnya dinilai semula oleh semua pihak.
Ini adalah kerana Rasulullah s.a.w telah mencela amalan bidaah melalui sabdanya:
“Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (sunnah) serta seburuk-buruk perkara adalah sesuatu yang diada-adakan dalam agama dan setiap yang diada-adakan termasuk kategori bidaah dan semua bid’ah itu menyesatkan.” – Hadis riwayat Muslim dalam Sahihnya, no: 867.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI