Lahir Hanya Seberat Sebiji Epal, Bayi Lelaki Terkecil Di Dunia ‘Survive’!

Share

Kuasa yang Maha Esa tiada siapa yang mampu mengatasinya. Meskipun lahir tidak cukup bulan dan mempunyai berat yang hanya seberat sebiji epal, namun bayi lelaki terkecil di dunia ini selamat, mampu hidup dan membesar dengan sihat seperti bayi lain.

Bayi lelaki terkecil di dunia yang dilahirkan pada Oktober tahun lalu di Jepun akan dibenarkan keluar dari hospital hujung minggu ini, selepas enam bulan kelahirannya.

Seberat Sebiji Epal

Dilahirkan pada 1 Oktober 2018 menerusi pembedahan Caesarean ketika berusia 24 minggu dan lima hari dalam kandungan, berat Ryusuke Sekiya hanya 258 gram, seberat sebiji epal.

Selepas dilahirkan, Ryusuke ditempatkan di unit rawatan rapi neonatal dan pasukan perubatan terpaksa menggunakan tiub untuk memberinya makan, adakala mereka juga menggunakan putik kapas untuk menyapukan susu ibu ke mulutnya.

Dibenarkan Keluar Hospital

Hampir enam bulan berlalu, kini berat Ryusuke melebihi tiga kilogram dan akan dibenarkan keluar dari Hospital Kanak-Kanak Nagano hujung minggu ini.

“Ketika dilahirkan dia sangat kecil dan kelihatan akan patah jika disentuh, saya berasa amat bimbang.

“Kini dia mampu minum susu dan kami boleh memandikannya. Saya gembira dapat melihatnya membesar,” kata ibu Ryusuke, Toshiko kepada wartawan.

Ryusuke Sekiya bersama mak dan ayahnya sehari sebelum dibenarkan keluar dari hospital. – Foto AFP

Berat Ryusuke adalah lebih ringan daripada pemegang rekod sebelumnya, juga seorang bayi lelaki dari Jepun dengan berat 268 gram ketika dilahirkan tahun lalu.

MW: Semoga Ryusuke dapat membesar dengan sihat. Hanya mak ayah yang pernah melalui pengalaman anak lahir tak cukup bulan sahaja yang benar-benar dapat merasai perasaan ini. Betapa sayunya melihat anak terlampau kecil, memerlukan jagaan rapi dan akhirnya selamat membesar dengan sihat seperti bayi lahir. Sesungguhnya ia pengalaman yang cukup berharga dan keajaiban istimewa daripadaNya.

Sumber: Sinar Harian

Published by
Suhaidah Abd Wahab