Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Sudah tentu rasa terkejut, kecewa dan sedih membelenggu hati pasangan suami isteri, Faizul Ali Adam dan Maisarah Rosli apabila bayi yang ditinggalkan sihat dan ceria kepada pengasuh diambil dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
Qaseh Aulia Faizul berusia dua bulan meninggal dunia di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara di sini, pada Selasa lalu, selepas mengalami sesak nafas.
Melalui Instagram milik @hafizirosli, yang juga merupakan bapa saudara kepada bayi berkenaan berkongsi kisah mengenai kejadian yang menimpa keluarga kakaknya itu.
Kami reda akan pemergian Aulia, cuma terkilan dengan pengakhirannya disebabkan sikap cuai itu. Semoga kisah ini menjadi pengajaran dan kesedaran untuk setiap ibu bapa mahupun pengasuh memastikan keselamatan bayi pada tahap optimum.
Menurut Hafizi Rosli, kakaknya, Maisarah Rosli dan suaminya, Faizul Ali Adam menghantar anak kedua mereka ke taska pada awal pagi sebelum ke tempat kerja.
“Pada jam 11 pagi, abang ipar menerima panggilan telefon daripada pemilik taska memberitahu Aulia tidak sedarkan diri dengan muka kebiruan dan sudah dibawa ke klinik. Abang ipar meminta pemilik taska segera menghantar anaknya ke hospital swasta di Kota Damansara sebelum dia dan kakak bergegas ke hospital itu.
“Bagaimanapun, sebaik tiba mereka terkejut apabila diberitahu Aulia disahkan meninggal dunia dan mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat,” katanya lagi.
Hafizi berkata, dia yang mengetahui kejadian daripada kakaknya turut terkejut ditambah pula pasangan itu yang melihat sekujur tubuh bayi mereka terbaring atas katil.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) taska berkenaan turut menunjukkan Aulia ditinggalkan dalam keadaan tertiarap tanpa pengawasan selama satu jam.
“Dengan keadaan dibedung, pastinya Aulia tidak selesa dan mungkin menjadi punca sukar bernafas. Aulia dilihat berusaha untuk menggerakkan kepala selama kira-kira 10 minit.
“Namun selepas itu dilihat pergerakannya sangat minimum dan akhirnya tiada lagi pergerakan dan kami mengandaikan pada ketika itu, Aulia tidak lagi bernyawa,” katanya.
Setakat ini punca kematian Aulia masih belum diperoleh dan keluarga masih menunggu laporan bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Beliau berkata, polis menahan pengasuh wanita berusia 40-an terbabit untuk dirakam keterangan dan dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu keputusan bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Tambah Hafizi lagi, mereka sekeluarga reda akan pemergian Aulia, cuma terkilan dengan pengakhirannya disebabkan sikap cuai itu.
“Semoga kisah ini menjadi pengajaran dan kesedaran untuk setiap ibu bapa mahupun pengasuh memastikan keselamatan bayi pada tahap optimum,” katanya menerusi petikan video di laman Instagram miliknya.