Kyrgyzstan, Nak Sebut Pun Susah. Tapi Sebab Cantik, Wanita Ini Sanggup Pergi Sini

Share

Kyrgyzstan menjadi pilihan Nur Atiqah untuk cuti musim panas pada tahun ini. Melalui pembacaannya sebelum ini, ramai penggembara memilih untuk meneroka Asia Tengah,  kerana keindahan alam semulajadi dan juga sejarahnya. Ikuti kisah percutian Nur Atiqah.

Saya seorang yang sangat gemarkan alam semulajadi. Jiwa saya lebih kepada mencari sesuatu yang tenang, relaks dan sukakan cabaran. Jadi saya selalu melihat peta dan mencari tempat-tempat yang kurang dilawati dan diterokai.

Disebabkan saya tinggal di Beijing, China, jadi untuk melintas sempadan antara China-Kyrgyzstan melalui Laluan Sutera “Silk Road” adalah sangat dekat, 5,000 km dari Beijing melalui jalan darat.

Oleh itu, saya tergerak hati untuk mengembara ke beberapa negara Asia Tengah, iaitu, Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan.

Selain dari itu, sebelum memulakan pengembaraan ini, saya memang berhasrat untuk melihat cara hidup masyarakat Islam di rantau ini, bagaimana mereka mengamalkan agama itu sendiri selepas dijajah bertahun-tahun oleh Soviet Union.

Masyarakatnya Sangat Mesra

Sepanjang hampir 2 bulan saya mengembara di rantau ini, ada yang berdua, ada yang bersama rakan-rakan yang dijumpai ketika di jalanan, dan ada juga sebagai pengembara solo. Saya luangkan banyak masa di Kyrgyzstan berbanding yang lain.

Uniknya Kyrgyzstan dari segi geografi, budaya dan masyarakatnya membuatkan saya mengubah plan asal yang pada mulanya hanya mahu melihat beberapa tempat sahaja dek kekangan masa yang dihadapi, tetapi plan berubah sebaik sahaja tiba di negara ini.

Alam semulajadinya membuatkan saya berasa sangat rugi jika tidak diterokai dan dinikmati, tambahan pula masyarakatnya yang sangat mesra dan menyambut baik orang luar membuatkan saya lebih terpesona.

Di utara Kyrgyzstan berhampiran Kazakhstan, saya bersama rakan dari Malaysia berkhemah di Jety Oguz, kawasan pergunungan yang terletak pada 2,200 m dari paras laut di selatan Tasik Karakul yang terkenal dengan keindahan gunungnya yang dipanggil “Seven Bulls Rocks”.

Kami berkhemah selama 2 hari 1 malam di sini di tepi sungai menghadap mercu tanda Jety-Oguz. Keindahan alam semulajadi disini ternyata menghilangkan rasa lelah perjalanan dari Bishkek, ibu negara Kyrgyzstan yang mengambil masa 7 jam untuk tiba.

Masyarakat disini juga masih menghuni ‘yurt’ dan mengembala kuda, yak, biri-biri dan lembu, pemandangan yang tidak dapat dilupakan.

Berkhemah Di Ketinggian 1873 M Atas Paras Laut

Semasa di Osh, Kyrgyzstan, saya berkenalan dengan beberapa orang tempatan melalui aplikasi Couchsurfing, dan terus membuat plan bersama mereka untuk berkhemah di Sary-Chelek Nature Reserve, Jalal-Abad.

Perjalanan 300 km mengambil masa 6 jam untuk tiba ke destinasi. Tasik Sary-Chelek ini terletak di pergunungan pada ketinggian 1,873 meter di atas paras laut. Tidak dinafikan, ini antara pengalaman terindah saya berkhemah disini.

Bertemu dengan beberapa pengembara lain dari Poland, Sweden, Rusia dan Perancis bersama-sama membuat unggun api dan berkongsi cerita dan plan pengembaraan masing-masing sambil ada yang menunggu untuk mengambil gambar milky way pada tengah malam di hadapan tasik.

Tentang makanan, saya jenis tidak memilih dan suka mencuba segala yang baru, jadi makanan di rantau ini pada saya sedap dinikmati. Samsa atau samosa antara makanan yang paling banyak saya makan disini, sangat sedap.

Sashlik iaitu daging yang dibakar dengan arang seperti satay juga tidak terkecuali, manis daging dan berjus itu memang tidak dapat dilupakan.

Semasa tinggal di backpacker’s hostel di Kyrgyzstan, saya sempat menikmati makanan tradisi masyarakat Kyrgyz, daging kuda dan susu kuda yang di ragi iaitu Kymyz bersama pemilik hostel.

Kami berkongsi bermacam cerita mengenai budaya masyarakat Kyrgyz, termasuklah cerita pengembaraan saya di Asia Tengah.

Sukakan Cabaran

Sejujurnya, saya tidak mempunyai plan yang terperinci sepanjang hampir 2 bulan merantau.

Saya hanya mengingat lokasi peta negara tersebut dan menggunakan aplikasi Maps.me, membaca pengalaman pengembara lain di blog-blog, mencari di Google serta bertanya dengan kenalan tempatan atau pengembara lain tentang hidden gems di Kyrgyzstan.

Ternyata cara ini lebih serasi dan menarik dengan diri dan objektif saya, yang sukakan cabaran dan mahu keluar daripada kepompong zon selesa.

Tidak dinafikan terdapat kekurangannya dengan cara yang saya gunakan, tetapi saya belajar lebih banyak perkara terutama dalam berkomunikasi dengan masyarakat Kyrgyz yang rata-rata bercakap bahasa Rusia dan Kyrgyz.

Sesat adalah perkara biasa, saya tidak menganggap itu sebagai penghalang perjalanan saya, bahkan kadang-kadang saya akan terjumpa tempat yang lebih menarik sepanjang perjalanan yang tersesat itu.

Lagi pula tempat yang dituju itu sememangnya tempat yang tidak pernah dilawati, sesat itu hanya terma bila kita tidak sampai ke destinasi yang nak dituju. Jadi saya biarkan diri tersesat dengan sengaja, banyak yang dapat diteroka.

Paling penting jangan panik, rasionalkan minda, dan nikmati perjalanan dengan bahagia! Sesungguhnya Allah bersama kita bila kita mengingati Dia, itu pesan ibubapa saya.

Tip Bercuti Ke Negara Ini

1-Asia Tengah menggunakan abjad Rusia, jadi penting untuk anda tahu huruf-huruf tersebut untuk memudahkan anda membaca papan tanda destinasi.

2-Pada musim panas bulan Julai hingga Ogos, suhu di rantau ini agak tinggi dan udaranya kering, pernah saya alami suhu setinggi 42 ˚C, sediakan air mineral sentiasa.

3-Tentang urusan kewangan, ATM disini menerima Visa/Mastercard. Internet di Kyrgyzstan sangat murah dan meluas rangkaiannya, bayangkan semasa saya berada di Lenin Peak Base Camp juga masih ada signal 4G!

4-Selain itu, tiada tips yang spesifik pada saya, kecuali ‘expect the unexpected’, sentiasa relaks dan tidak panik. Jika anda mencari keselesaan dan kemodenan, negara ini bukanlah destinasi terbaik. Tetapi jika anda mencari ketenangan dan uniknya ciptaan Tuhan serta cabaran, di sinilah antara syurga yang perlu diteroka.

Foto: Nur Atiqah, (IG/FB/Twitter/Youtube: @atiqahhenderson)

Published by
Julie Roshana