Berita gembira buat para suri rumah, pelaksanaan insentif kwsp buat golongan ini bakal dilaksanakan tidak lama lagi.Seramai 359,065 wanita yang berdaftar dengan sistem e-Kasih bakal menerima insentif menerusi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah bermula minggu depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi menjayakan fasa pertama skim dikenali Program Sukarela Insentif SURI (SURI) itu. Katanya, SURI yang dilaksanakan dalam tiga fasa menyasarkan suri rumah kepada Ketua Isi Rumah (KIR), ibu tunggal, balu dan wanita bujang yang berdaftar dengan sistem e-Kasih.
“Fasa pertama bermula 15 Ogos ini dengan kerajaan akan menyumbang sebanyak RM40 sebulan bagi setiap caruman sukarela dengan jumlah minimum RM5 ke akaun KWSP.
“Bagi fasa kedua, sumbangan kerajaan akan meningkat kepada RM50 dengan RM10 daripadanya akan disumbangkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Fasa ini dijangka bermula tahun depan.
“Fasa ketiga insentif SURI adalah di mana dua peratus sumbangan KWSP suami akan dimasukkan ke akaun isteri dengan pelancaran fasa ini dijangka pada awal 2020, namun beberapa pindaan perlu dilakukan terhadap akta berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Keselamatan Sosial 2018 (ISSC2018) di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman; Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dan Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sumbangan minimum RM5 oleh pencarum adalah wajib sebagai komitmen memupuk budaya menyimpan.
“Kerajaan sentiasa komited mengiktiraf dan menjaga kebajikan wanita terutama mereka yang amat memerlukan perhatian dan diharap inisiatif ini berupaya menambahbaik kedudukan kewangan wanita di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Shahril Ridza berkata, KWSP dan PERKESO akan menjalankan kajian menyeluruh untuk melancarkan lagi pelaksanaan SURI menerusi kerjasama dengan syarikat telekomunikasi dan bank tempatan.
“Buat masa ini, mereka yang mendaftar dengan e-Kasih secara automatik layak menerima insentif ini, namun mereka perlu membuka akaun KWSP terlebih dahulu dengan hanya mencarum minimum RM5.
“Kita faham mungkin terdapat kekangan untuk membuka akaun KWSP, sebab itu kita akan mengkaji cara terbaik untuk memudahkan mereka,” katanya.
Semoga dengan pemberian insentif ini, mampu mengalakkan para suri rumah membuat simpanan serta membela nasib mereka agar lebih terjamin pada masa hadapan.
Baca Disini: Kata Dr Wan Azizah, Dana RM50 Kerajaan Untuk Caruman KWSP Buat Suri Rumah Tertakluk Pada Syarat Ini!
Sumber: bharian