Kisah kecurangan dalam rumah tangga bukanlah satu perkara baru. Setiap hari ada sahaja kes kecurangan yang kita dengari. Tidak kiralah kes tersebut dilakukan oleh orang terkenal mahupun insan sekeliling yang berada di sisi kita.
Biasanya kita hanya mendengar kecurangan yang dilakukan oleh lelaki terutamanya mereka yang bergelar suami. Bagaimana pula dengan wanita? Adakah wanita juga cenderung untuk berlaku curang terhadap pasangan?
Kaunselor Berdaftar, Dato’ Cr Roslan Mohd Yasin (KB. PA) menerangkan statistik penceraian di Malaysia menunjukkan satu angka yang membimbangkan. Satu soalan mudah ialah kenapa ia berlaku? Adakah kerana sudah tiada persefahaman, masalah kewangan atau apa lagi alasannya?
Antara punca yang direkodkan ialah:
Keluarga Komuter
Mengikut kajian Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) lebih 500,00 pasangan suami isteri di negara ini hidup terpisah ekoran tuntutan pekerjaan. Istilah keluarga komuter digunakan untuk mengambarkan pasangan berkahwin tetapi perlu tinggal berjauhan di antara satu sama lain demi memenuhi tuntutan ekonomi seisi keluarga. Akibat keadaan ini, ada wanita yang mewujudkan hubungan dengan lelaki lain kerana terasa kesunyian. Bila makin berjauhan, siapa dapat mengagak cinta dalam hati ini tak boleh berubah?
Balas Dendam Atau Urusan Belum Selesai (Unfinished Business)
Ada juga wanita cenderung untuk curang kerana mendapati suaminya sering curang di belakangnya. Bila sudah kantoi, perasaan urusan belum selesai (unfinished business) atau balas dendam dengan cara yang sama mungkin jadi pilihan si isteri. Ini sebab mereka mahu suami tahu betapa sakitnya hati dicurangi dan apa rasanya. Mungkin alasan balas dendam atau urusan belum selesai ini boleh meredakan kemarahan wanita, tapi itu juga sebenarnya tanda-tanda hubungan perkahwinan sudah mula ada masalah.
Sudah menjadi kebiasaan manusia di zaman kini suka melakukan sesuatu yang dilarang demi keseronokan peribadi walaupun ia akan mendatangkan kemudaratan. Perbuatan curang atau menipu pasangan demi untuk keseronokan jangka pendek ini adalah salah satu perbuatan yang tidak sihat dalam perkahwinan, namun ia tetap terjadi dan kes sebegini meningkat dari masa ke semasa di seluruh pelusuk dunia. Kemudahan mencari pasangan di media sosial mungkin menjadi katalis kepada permasalahan ini.
Naluri Liar Dan Ketidakpuasan Hubungan Intim
Wanita biasanya akan cenderung curang kerana rasa diri tak dihargai oleh pasangan masing-masing serta keperluan asmara mereka tak dipenuhi secukupnya. Seperti lelaki, golongan wanita juga sebenarnya mempunyai naluri liarnya sendiri. Walaupun naluri liar tersebut tersembunyi di balik kelembutan dan sopan santun wanita namun jika keadaan tidak seperti yang dimahukan, naluri tersebut pasti akan memberontak dan menunjukkan kehebatannya. Alasannya senang, jika lelaki boleh, kenapa tidak wanita.
Mahukan Perhatian
Adalah menjadi sifat semula jadi wanita untuk diberi perhatian dalam pelbagai hal, walaupun dengan hanya mendengar luahan hati dan masalahnya. Namun, apabila merasakan pasangan mengabaikan mereka, tak mahu lagi dengan luahan hati dan sebagainya, mereka mula rasa tak dihormati dan rangsangan kecurangan akan mula berputik.
Apabila sesebuah keluarga itu berhadapan dengan masalah kewangan, proses komunikasi di antara suami isteri akan bertambah rumit. Isteri akan terasa terbeban sehingga menyebabkan tekanan perasaan berlaku, lalu memilih secara sulit untuk menduakan suaminya dengan mengadakan hubungan dengan lelaki yang mempunyai sumber kewangan yang hebat.
Hilang Persefahaman
Kehidupan berumah tangga merupakan satu dunia yang rumit kerana ia melibatkan kehidupan yang menyeluruh. Jika tiada persefahaman, kerap bergaduh untuk hal yang remeh dan gemar melukakan hatinya, wanita akan mula berasa bosan dan mula berniat untuk mencari yang lain. Hilang persefahaman ini sering berlaku kerana suami dan isteri mempunyai trait personaliti dan berbeza dan tidak berusaha untuk membuat penyesuaian antara satu sama lain.
Sibuk Dengan Kerjaya
Bagi isteri yang bergelar suri rumah sepenuh masa pula akan berasa tertekan dengan tindakan suaminya yang terlalu sibuk dengan kerjanya. Jadi tidak hairanlah, jika isteri yang sanggup mencari teman baru di kala kesunyian kerana kemesraan semakin hambar.
Suami Mementingkan Diri
Masa kini, terdapat ramai lelaki dan para suami yang mempunyai trait personaliti introvert. Akibat kurang pergaulan, kereka mempunyai trait personaliti yang rigid dan tidak mudah untuk bertolak ansur. Mereka mempamirkan ego negatif yang dominan dan sukar beralah demi menjaga hati orang tersayang. Akibatnya isteri mengalami stres dan mencari kebahagiaan melalui kaedah curang. Sikap suami yang dirasakan kurang melayani dirinya membuatkan wanita mudah tergoda dengan kemesraan dari luar, misalnya dari rakan sekerja ataupun kenalan barunya.
Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, Puan Suzana Bt Ghazali menjelaskan mengikut rekod membuktikan ramai isteri yang curang pada suami.
“Curang menurut psikologi adalah mengkhianati pasangan dengan mengadakan hubungan dengan wanita atau lelaki lain. Kebanyakan kes wanita curang adalah disebabkan kurang perhatian dan belaian daripada suami mereka. Ada beberapa sebab menyebabkan wanita berlaku curang.
“Wanita curang apabila kurang kasih sayang, kurang diberi perhatian, belaian dan penghargaan daripada suami. Apabila ada lelaki yang menawarkan dan mencurahkan perhatian dan penghargaan ini, mereka jadi mudah cair dan tanpa ragu-ragu memilih untuk meneruskan hubungan terlarang.
“Kewangan bukan sebab utama tetapi turut mendorong terutama dalam kes suami yang tidak berkemampuan atau kedekut. Tatkala mendapat imbuhan hasil hubungan terlarang, mereka lebih selesa.
“Ada kes isteri yang yakin dia berhak dapat lebih baik daripada suami yang ada dek kerana dirinya dirasakan lebih menarik (kadang-kadang hanya kerana pujian orang sekeliling) maka dia bertindak mencuba saham dan berhasil mewujudkan hubungan terlarang,” terangnya satu persatu.
Suzana menjelaskan ada jalan terbaik atau penyelesaian bagi wanita curang ini.
“Pertimbangkan apakah hubungan tersebut betul-betul cinta atau nafsu. Bimbang si dia hanya mempergunakan. Jika yakin cinta, selesaikan hubungan dengan suami yang ada. Selepas tempoh eddah, nikahlah secara sah mengikut undang-undang dan hukum syarak.
“Pesanan saya kepada wanita yang curang. Anda boleh kehilangan hak jagaan anak seandainya kes curang anda dibuktikan di Mahkamah Syariah. Jangan musnahkan diri sendiri hanya kerana suami yang tidak sempurna atau aniaya anda.
“Bagi lelaki bergelar suami pula, jika isteri mereka berlaku curang, anda semak kesilapan diri terlebih dahulu. Berubahlah. Usaha juga untuk mengubah isteri dengan menambat semula kasihnya. Andai sudah terlambat, lepaskanlah si isteri agar sama-sama terhindar daripada dosa. Sama-samalah cipta bahagia tersendiri,” nasihatnya.