Kurang Berat, Tambah Tenaga, Perut Tidak Meragam, Sepanjang Berpuasa Jika Ikut Saranan Dietitian Ini

Share

Jika kita  mahu berpuasa secara sihat dan bertenaga, bolehlah ikut tip-tip yang diberikan oleh Pakar Pemakanan atau Dietitian Hospital Pakar KPJ Damansara, Rushda Adiba.

“ Apa perubahan fisiologi yang berlaku semasa berpuasa? Pada permulaan fasa berpuasa, pemecahan glikogen melepaskan glukosa untuk tenaga. Selepas 2 hingga 3 hari, tahap rendah insulin akan merangsang lipolisis atau pemecahan lemak untuk tenaga. Selepas pengulangan kitaran ini semasa berpuasa pada bulan Ramadan, penyimpanan lemak tubuh akan dikurangkan.”

 

Apabila seseorang itu berpuasa, Rushda Adiba menjelaskan berikut adalah kebaikan yang boleh mereka peroleh.

1-Pengurangan berat badan.

2-Pengurangan berat lebih kurang 5 hingga 10 peratus bermanfaat bagi menambah baik kawalan gula dalam darah dan mengurangkan tahap kolesterol.

3-Memperbaik tahap tekanan darah.

4-Memperbaik status kesihatan secara keseluruhan.

 

Ini Tip berpuasa secara sihat dan bertenaga.

Tip 1: Minum lebih banyak air

Kekalkan hidrasi tubuh sepanjang berpuasa. Minum sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas air kosong sehari.

Waktu pengambilan air yang dicadangkan:

-Sahur – 2 gelas

-Buka puasa – 2 gelas

-Selepas solat maghrib – 2 gelas

-Selepas Terawih – 2 gelas

 

Tip 2: Makan dengan perlahan dan kunyah makanan sampai hancur.

Ini bagi mencegah ketakcernaan dan perut meragam. Ikutlah cara ini ketika berbuka puasa:

-Sebaik tiba waktu berbuka, mulakan buka puasa dengan makan karbohidrat ringkas seperti kismis atau buah-buahan. Minum air kosong.

-Berehat seketika dengan menunaikan solat Maghrib.

-Sambung makan dengan menikmati hidangan berat.

Tip 3 : Banyakkan serat dalam pinggan.

-Sumber serat terdiri daripada sayuran berdaun hijau. Ambil lebih kurang setengah pinggan. Serat mampu mengelakkan anda mengalami sembelit dan meningkatkan rasa puas serta kenyang selepas makan. Sayuran berdaun hijau mengandungi vitamin-vitamin dan mineral-mineral seperti potassium yang amat baik untuk tubuh.

 

Tip 4: Buka puasa dengan karbohidrat ringkas.

Karbohidrat ringkas diperlukan semasa berbuka untuk meningkatkan tahap gula dalam darah. Makanan yang dicadangkan adalah kismis atau buah-buahan segar.

Jumlah saiz hidangan yang dicadangkan adalah seperti berikut:

Kismis – 1 hingga 2 sudu makan

Epal/ Oren/Kiwi – I biji buah bersaiz sederhana

Kurma – 2 biji

 

 

Published by
Julie Roshana