Masih ramai yang gagal mencari kunci bahagia dalam rumahtangga, nampak manisnya di media sosial kadang belum tentu hatinya benar-benar menikmati kasih sayang daripada pasangannya.
Sebab itulah kena hidupkan TA’LIM di dalam rumah, sama-sama baiki mana yang kurang dan bagi Allah jaga hati kita agar tidak mudah digoda syaitan sampai sanggup CURANG!
Nauzubillah, bak kata saudara Muhammad Hassan, tolonglah betulkan niat nak kahwin dan pimpin pasangan ke syurga.
Hidupkan TA’LIM Di Rumah
Perkara pertama saya lakukan apabila baca kisah keretakan rumah tangga, suami curang. Saya istiqhfar banyak-banyak, saya peluk isteri dan anak tanda syukur punyai isteri yang baik. Saya pesan kepada isteri.
“Awak Tolong doa untuk saya ya, agar tidak termakan godaan syaitan untuk hampiri maksiat. Tolong doakan saya ya.”
Sepanjang hari saya fikir tentang ini. Saya takut baca kisah begini. Takut sangat untuk herdik, perli, maki, hina orang lain, takut sangat terjadi kepada diri sendiri. Setiap lelaki akan diduga dengan wanita-wanita cantik.
Saya harap para suami yang pernah curangi isteri agar lebih menghargai si dia. Bagi tumpuan sepenuh hati kepada isteri dan anak. Tidak lekang di bibir memohon maaf, tunaikan HAK ISTERI, tulis setiap hari kebaikan isteri, ingat sentiasa keburukan kita. Buka buku baru. Hidupkan TA’LIM di rumah, luangkan masa dimasjid, luangkan masa di masjid. Kita semua ada kesilapan dan kesilapan itu bukan sahaja berhajat kepada kemaafan bahkan perlu taubat nasuha.
Suami mana tidak sayangkan isteri. Namun tewas dengan godaan syaitan, lemah diulik nafsu, tergoda dengan lunakan suara, rebah dek kerana kecantikannya. Pujuklah hati,ini semua dugaan dan ujian untuk kita. Fikir apa kesan jika curangi isteri.
Nabi s.a.w teladan yang terbaik dalam melayani isteri-isteri baginda. Tenang,bahagia saat isteri bersama baginda Muhammad s.a.w, bahkan Nabi Muhammad s.a.w melarang kita untuk memukul wajah, mengherdik isteri.Lihatlah cinta Nabi Muhammad s.a.w terhadap khadijah r.ha. Setelah 3 tahun wafatnya khadijah r.ha barulah Baginda berkahwin dengan Saudah rha dan Seterusnya Aisyah R.ha dLL.
Betulkan Niat Nak Kahwin
Saya selalu pesan kepada anak-anak muda. Jika sayang awek, jaga si dia betul-betul, niat untuk kahwini dia. Belajar dan kerja sungguh-sungguh. Jangan lupa mantapkan ilmu agama. Ambil tahu basic ilmu KELAHIRAN,PENYUSAAN dan Ilmu bagaimana untuk jaga emosi isteri ketika berpantang.(POSTPARTUM).
Kenang balik jerit perih mereka kandungkan anak kita, betapa sakitnya untuk lahirkan anak. Setiap minit contraction berlaku sehingga ada yang lebih rela untuk dibedah. Bang, mereka pernah ‘mati’ untuk lahirkan anak kita, lagi sedih setelah bersalin bermacam penyakit pula dapat.
Saya pernah jumpa seorang ibu dukung anak Epidermolysis Bullosa (Penyakit kulit rapuh). Kuatnya ibu itu setiap masa lap darah anak sehingga darah menitis ke lantai. Beginilah seorang ibu, seorang isteri 100% jiwanya untuk keluarga ini.
Tiada lagi istilah ME TIME untuk mereka, tiada lagi reunion bersama rakan perempuan, sanggup berhenti kerja demi menjaga anak yang sakit. Tiada lagi masa untuk ziarah ibu bapa di kampung, bahkan kadang-kadang setahun sekali dapat jumpa ahli keluarga yang lain. Ini semua untuk kita para suami.
Kadang-kadang merekalah doktor, misi, merekalah cikgu, merekalah ustazah, merekalah chef, merekalah security untuk anak-anak.
Pimpinlah Isteri Dan Anak-anak
Sebagai suami kita adalah pemimpin untuk isteri dan anak-anak. Bagaimana kita dapat PERBAIKI mereka untuk taat Allah dan Rasul. Bagaimana agar kita pertaruhkan nyawa kita untuk MELINDUNGI mereka dan bagaimana untuk kita beri PERHATIAN kepada mereka setiap massa.
Jika kita fikirkan kecantikan semata ia akan pudar ditelan usia. Sememangnya Wanita diciptakan Allah cantik dimata lelaki. Sedangkan perkahwinan bukan untuk ‘bersedapan’ sahaja, bahkan ia satu amanah yang besar dari Allah. Boleh jadi perkahwinan ini asbab kita masuk syurga, sebaliknya akan menempah bara api neraka.
Perbaiki niat kita,kahwin untuk dapat redha Allah, untuk pegang tangan pasangan sama-sama masuk syurga.
“Jagalah Allah pasti Allah jaga kita.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Alhamdulillah… Doa di bulan puasa mustajab akhirnya semalam bayi kena culik dah dijumpai tapi sampai lembik bayi 17 bulan ini diikat. Cuba bayangkan anak sekecil ni, kena ikat, lapar susu lepas tu nyamuk, semut dan spesies kerengga banyak di pokok.. Allahuakbar!
Namun semalam pihak keluarga mengesahkan bayi perempuan berusia 17 bulan, Nur Aisyah Hasmizan yang dibawa lari oleh individu tidak dikenali dari rumah keluarganya di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap, Muar berjaya diselamatkan oleh pihak polis dan kini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Lelaki terbabit ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor dan Polis Daerah Muar di sebuah rumah kongsi di Kampung Bukit Treh kira-kira jam 9 pagi tadi bersama-sama dengan sebuah telefon bimbit yang turut dilarikan dalam kes berkenaan.
Hasil penahanan suspek dan soal siasat yang dilakukan kemudiannya membawa kepada penemuan bayi perempuan berkenaan di satu kawasan belukar kira-kira satu kilometer dari rumah keluarga mangsa kira-kira jam 3.45 petang.
Pihak polis juga masih melakukan siasatan menyeluruh terhadap kes terbabit. Kes disiasat mengikut Sekyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Sekyen 457 kanun yang sama kerana pecah masuk kediaman.
Luahan Dari Pihak Ibu Mangsa
Dalam keadaan sedih, ibu mangsa, Diela Yusofe menghargai orang ramai yang mendoakan anaknya dan atas usaha PDRM cekap mengambil tindakan sampai anaknya dijumpai semula semalam…
Assalamualaikum
Kepada semua warga malaysia terima kasih atas doa kalian. Terima kasih sangat-sangat untuk skuad #PDRM dari semua unit dia atas segala tindakan anda. Alhamdullilah aisya selamat walaupun muka beliau teruk.
Tak pe kita boleh rawat ya sayang. Nanti aisya comel semula, saya tak sempat balas kesemua komen dari anda, PM dari anda kerana terlalu banyak.
Terima kasih pada semua yang membantu. Buat kesemua customer saya hp saya masih tidak ditemui dan segala detail anda saya tiada. Tapi kesemua barang saya memang dah pos..kepada customer biskut saya insyaah saya usahakan sebelum raya untuk hantar. Harap faham keadaan saya sekeluarga di duga sebegini.
Kepada semua mohon terus berdoa untuk aisya kembali sihat, beliau masih dalam trauma.
Kalau ikutkan memang rasa geram bila tengok keadaan anak kecil itu yang dah digigit serangga, kasihan yang amat! Namun apa pun, syukur Alhamdulillah sebab bayi kecil itu dah dijumpai. Moga anak kecil itu cepat-cepat sihat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Panas sungguh cerita suami lepaskan isteri demi mengejar cinta perempuan lain. Mak-mak yang baca pun panas hati, suami yang prihatin pun sama, geleng kepala tak faham tindakan suami semacam ini.
Banyak benarnya apa yang dikongsi Andy Sulaiman ini. Tentang ciri-ciri isteri yang tak patut suami lepaskan. Sebab, di kemudian hari suami akan menyesal tak sudah.
Renung 5 Tanda Ini, Kalau Ada Pada Bini Kita Fikir Semasaknya
“Kecoh juga hal si Abu tu ceraikan bini dia tu ya? Tak tahu lah apa ada dalam kepala dia. Nak komen lebih-lebih, karang ada cerita lain pula dari pihak bini dia. Terlebih cerita, jadi bawang pun tak seronok juga.”
“Tapi, sebelum nak tinggalkan bini sebab nak kejar ke perempuan lain, renung 5 tanda ni. Kalau ada pada bini kita, fikir lah semasaknya.”
1. Jika masa bercinta isteri kau kurus sekarang dah gemuk, itu tanda dia bahagia dengan kau. Jarang orang kecewa berat badan makin naik. Dia pun sanggup tak makan lepas tu, melompat bersenam tunggang langgang semata-mata nak sedap mata kau memandang.
2. Jika dah ada ramai anak, kenangkan berapa kali dah dia pertaruhkan nyawanya sendiri masa bersalin, tanda sanggup korbankan nyawa lahirkan benih kau. Kau sembelit, lobang terluka sikit pun, kerja nak marah orang je.
3. Dalam kereta, kau kentut pun dia steady je. Tak ada menggelabah. Itu contoh mudah tanda baik buruk kau, elok selekeh kau dia terima seadanya. Tutup hidung tu biasa lah. Alah kau ni.
4. Kau ada rezeki lebih, dia tak meminta bukan-bukan. Kau tak ada pendapatan, dia hulurkan bantuan. Tanda susah senang, dia setia di sisi. Orang luar yang kau gila-gilakan, belum tentu ada waktu kau dalam kesusahan.
5. Pandang cermin dan lihat diri kita. Syukur lah ada wanita yang mencintai dan menyayangi kita. Itu tanda walau kau tak hensem, dia tetap ada.
Kenapa nak lukai hati isteri kalau dia dah setahap ini. Yakin ke di luar boleh cari yang lebih baik lagi?
Aku pun banyak silap. Dari kesilapan, kita terus mencuba jadi suami yang baik.
MW : Haa.. suami, sebelum nak sakitkan hati isteri fikirlah semasak-masaknya.
Sumber/Foto : Andy Sulaiman
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kehamilan merupakan suatu proses yang sangat mengujakan terutamanya kepada wanita yang pertama kali melaluinya kerana fisiologi badan wanita berubah secara drastik. Perubahan yang berlaku semasa wanita hamil boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan saluran kencing (urinary tract infection- UTI). Dr. Nooranisah Mohd Razali, Pegawai Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Kuala Lumpur mengupas lebih lanjut tentang bahaya jangkitan saluran kencing semasa hamil.
Menurut Dr. Nooranisah, perubahan hormon dan proses mekanikalnya menggalakkan air kencing menjadi kurang lancar dan refluks vesicouretral. Ditambah pula wanita hamil yang mengalami kesukaran untuk menjaga kebersihan asbab terhalang oleh perut yang makin membesar dan juga faktor semulajadi wanita yang mempunyai urethra (salur kencing) yang pendek berbanding lelaki iaitu lebih kurang 3-4cm panjang sahaja.
Tambahnya juga bagi wanita hamil yang mengalami masalah jangkitan saluran kencing, terdapat beberapa tanda yang biasanya akan dialami oleh ibu-ibu hamil. Berikut merupakan tanda-tanda anda mengalami jangkitan saluran kencing:
- Rasa panas (burning sensation) ketika kencing
- Kencing tidak lawas
- Kencing berdarah
- Sakit di bahagian bawah abdomen, kadang-kadang disalahtafsirkan sebagai ‘contraction pain’
Jelasnya lagi, ada juga ibu mengandung yang tiada tanda jangkitan seperti yang disebutkan di atas. Hal tersebut dinamakan “asymptomatic UTI”. Namun, biasanya ia dapat dikenalpasti melalui ujian air kencing yang dihantar ke makmal.
Saluran kencing (urinary tract) dan juga vagina sememangnya mempunyai normal flora yang mendiami kawasan tersebut. Namun, ada beberapa bakteria yang boleh menyebabkan UTI, iaitu:
Escherichia Coli (E. Coli) (80-90%)
Klebsiella pneumoniae (5%)
Proteus mirabilis (5%)
Enterobacter species (3%)
Proteus species (2%)
Staphylococcus saprophyticus (2%)
Group B beta-hemolytic Streptococcus (GBS; 1%)
Jangkitan semasa proses kelahiran (intrapartum transmission) boleh menyebabkan kesan yang serius kepada bayi seperti pneumonia (jangkitan paru-paru), meningitis (jangkitan pada otak), kuman dalam darah (sepsis) dan seterusnya menyebabkan kematian.
“Kebanyakan UTI tidak berbahaya dan jarang sekali membawa kesan yang serius kepada bayi mahupun ibu. Namun sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan jangkitan pada buah pinggang (pyelonephrithis), bacteria dalam darah (sepsis) yang boleh meragut nyawa ibu, kelahiran bayi pramatang dan kurang berat badan seterusnya memerlukan penjagaan di NICU (neonatal intensive care unit).”
Cara rawatan UTI
UTI boleh dirawat dengan antibiotik, perlu dihabiskan mengikut tempoh preskripsi yang diberikan oleh doktor. Sekiranya tidak dihabiskan, risau boleh menyebabkan ‘resistance’ dimana badan memerlukan antibiotik yang lebih kuat untuk melawan bakteria tersebut. Selain daripada itu, teruskan minum air putih yang secukupnya dan pengambilan makanan yang berkhasiat sepanjang tempoh kehamilan.
“Selamat menikmati kesihatan yang baik sepanjang tempoh kehamilan anda. Semoga anak yang bakal lahir menjadi penyejuk mata hati ibu ayah!”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI