Anak sekolah ini antara mangsa langgar lari pemandu tidak bertanggungjawab yang kini menerima rawatan lanjut di Hospital Selayang.
Guru sekolahnya, Cikgu Mohd Fadli Salleh berkongsi kisah sayu abang sulung yang begitu kasihkan adik-adiknya. Namun, dalam keadaan terlantar ini, apa yang semua pihak harapkan agar nasib Ayin terbela.
“Ayin. Ayin. Bangun. Tengok siapa datang ni,” bisik si ibu sambil menggongcangkan badan adik Nazrin perlahan.
“Eh, Cikgu Fadli.”
Terus dihulur tangan untuk bersalam. Berkerut mukanya menahan kesakitan tulang rusuknya yang patah.
Dikucup tangan aku. Kemudian dia cuba senyum dan berlakon macam tiada apa-apa. Ah, anak ini sungguh kuat!
Padahal tubuh badannya cedera, kulit tersiat, empat tulang rusuknya patah, ada pendarahan dalam kepala. Namun dia tidak merengek, meraung mahu pun menangis.
10 minit kemudian, si ayah sampai bersama 3 lagi anak-anak mereka termasuk yang baby baru berusia 5 bulan. Malam tadi mereka hanya tidur ditemani ayah mereka sementara si ibu menemani Ayin di hospital.
Sebaik ayahnya melihat aku, terus air matanya melunjur laju. Sebak dan sedih yang tidak mampu ditahan-tahan.
Aku gosok bahunya seraya menenangkan. Adik-adiknya meluru ke arah abangnya sambil menangis memanggil nama.
Kakak datang bersalam dengan aku lantas memeluk pinggang aku. Si adik pun sama, lepas bersalam terus datang peluk aku.
Ah, anak-anak ini sememangnya rapat dengan aku. Menangis teresak-esak mereka berdua dalam pelukan yang kemas dan kejap.
Mereka kemudiannya bersalam dengan abang mereka yang masih lemah.
“Ibu. Nak baby. Nak cium baby,” minta Ayin perlahan.
Dia memang abang sulung yang sangat kasihkan adik-adiknya. Terus ibunya sua baby itu untuk dikucup abang.
Tidak lama kemudian, PK Hem sekolah Ayin sampai. Post aku tular hingga ke pengetahuan mereka. Alhamdulillah, ramai juga guru Ayin yang hadir tadi.
Semua pakat mengirim sumbangan, semua pakat mendoakan, semua pakat memberi semangat pada anak ini.
Alhamdulillah. Ayin makin positif. Walau empat batang tulang rusuknya patah, walau masih ada darah beku dalam kepala, dia masih kenal semua orang disekelilingnya.
Perkembangan positif ini sangat bagus. Lagi pun Ayin dah dibenarkan makan. Dia boleh menelan makanan lembut dengan baik. Sebelum ini terpaksa berpuasa sebagai persediaan untuk operation.
Kata doktor, mereka akan buat Ct Scan 8 jam sekali untuk lihat darah dalam kepala. Jika makin banyak, operation akan dilakukan segera.
Dan jika; jika otaknya membengkak, tempurung kepala yang dibuka semasa pembedahan tidak akan di pasang semula. Ini paling merisaukan.
Namun jika otaknya tak bengkak, tempurung yang dibelah itu boleh dicantumkan kembali.
Jom kita pakat doakan agar pendarahan dalam kepala itu tidak serius dan tidak perlukan pembedahan lanjut.
Mungkin asbab doa dari ribuan kawan-kawan sejak semalam, dan juga usaha pihak doktor yang merawat, perkembangan Ayin sangat positif hari ini.
Terima kasih atas doa semua.
Oh ya. Ayin sebenarnya dilanggar lari. Semalam, Ayin menemani ayahnya menghantar buah ke Port Dickson. Ayahnya bekerja sebagai pemandu lori buah. Semalam, Ayin nak ikut sama.
Ayahnya bawa ke sana. Seronok Ayin dapat teman ayahnya menghantar buah ke dalam kem askar di Port Dickson.
Sebaik pulang, ayahnya menghantar anak ini ke rumah dan meminta duduk sahaja di rumah. Ayin masuk ke dalam rumah dan terlihat ada barang ayahnya tertinggal di atas meja.
Dia ambil barang tersebut dan berlari mengejar lori ayahnya. Katanya, dia dilanggar di depan Petron, Selayang. Ayahnya tak sedar pun kejadian tersebut dan teksi yang melihat kejadian itu terus membawa Ayin ke hospital. Sementara pemandu yang melanggar Ayin terus berlalu pergi.
Menjelang Maghrib, si ayah dan ibu mula risau bila Ayin tidak pulang-pulang. Baru sahaja mereka keluar untuk mencari Ayin, ada panggilan mengatakan Ayin di zon merah wad kecemasan, Hospital Selayang.
Begitulah kisahnya. Di harap pemandu yang melanggar Ayin dan saksi dapat tampil membuat laporan polis. Ayah Ayin juga akan buat report polis petang ini.
Sebelum beredar, aku kirim sumbangan Dana Kita kepada ibu dan ayahnya.
Mereka sangat berterima kasih atas kunjungan aku dan mendoakan semua kawan-kawan yang baik hati dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur. Terus aku aminkan doanya.
Moga-moga doa tersebut diangkat ke langit dan diperkenankan Allah taala. Amin, Ya Rab.
MW : Semoga pemandu yang melanggar Ayin berani tampil bersemuka dengan ahli keluarga Ayin.
Sumber/Foto : Mohd Fadli Salleh
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.