Ada mak ayah gigih pakaikan bayi bedak sebab nak bagi bau wangi dan ada yang berniat nak hilangkan ruam yang kulit bayi. Tetapi bagaimana pula dengan kesan bedak itu pada bayi?
Selamat ke?
Nah, sebelum pergi lebih jauh, mak ayah boleh buat keputusan terbaik dengan membaca perkongsian daripada Dr Zubaidi Hj Ahmad tentang keburukan bedak pada bayi kecil.
Ramai para ibu yang menggunakan bedak pada bayi mereka selepas dimandikan. Tujuannya agar bayi menjadi lebih wangi, lebih segar dan bagi mengelakkan ruam pada kulit.
Namun begitu saya mencadangkan agar menggunakan bedak bayi dengan cara yang betul. Jika tidak bedak bayi boleh mendatangkan kemudaratan.
American Academy of Pediatrics tidak menggalakkan penggunakan bedak bayi kerana ia boleh mendatangkan masalah berkaitan dengan pernafasan.
Ramai para ibu yang tidak menyedari hal ini. Mereka tidak menyedari jika digunakan dengan banyak boleh menyebabkan bayi terhidu bedak ini.
Bedak merupakan partikel yang kecil dan halus seperti debu. Jika terhidu (walaupun sedikit) secara berterusan setiap hari, ia boleh menyebabkan batuk, selsema malah menyebabkan paru-paru mudah berlendir.
Terutama jika bayi mengalami masalah seperti berat badan yang kurang ketika dilahirkan, lahir pramatang, mengalami masalah pernafasan akibat masalah jantung dan paru-paru sejak lahir.
Malah ada kalanya bedak bayi boleh menyebabkan alahan pada kulit bayi kerana bedak itu memerangkap peluh pada kulit. Jika tidak dibersihkan segera ia akan menyebabkan bayi mengalami ruam dan rasa gatal.
Walaupun bedak bayi digunakan bertujuan untuk mengurangkan ruam dan alahan, ia harus digunakan dengan betul. Pilih bedak bayi yang sesuai.
Pilih bedak bayi yang tidak memiliki bau yang terlalu kuat.
Jangan menepuk-nepuk bedak bayi menggunakan kapas atau puff powder, sebab dapat membuat partikel bedak berterbangan dan boleh menyebabkan senang masuk ke dalam rongga pernafasan.
Bila bedak bayi menyebabkan kemerahan dan rasa gatal pada bayi, atau menyebabkan bayi mengalami selsema dan batuk, hentikan penggunaannya.
Banyak lagi cara mengurangkan ruam pada bayi seperti menggunakan pakaian yang longgar dan lembut, dan perbaiki pengudaraan dalam bilik menggunakan kipas.
Kulit bayi sememangnya sangat lembut dan wangi. Mengapa perlu diletakkan bedak lagi?
Semoga bermanfaat.