
Isi Kandungan
ToggleSajian untuk petang ini KHANOM KHAI NOK GRATAA @ THAI FRIED SWEET POTATO yang enak kalau dimakan bersama kopi o panas. Resepi ini dikongsikan oleh Puan Hafizah Fiza dari Perlis. Sedap, lemak manis dan ranggup diluar meleleh di dalam! Jom, cuba buat sendiri.
Bahan-bahan:
500grm ubi keledek oren
2 1/4 cawan tepung ubi (225gm)
1/3 cawan tepung gandum (30grm)
1 sudu besar baking powder
4 sudu besar gula putih
1/2 sudu tea garam
Cara Buat:
1. Ubi keledek dikupas dan dipotong kemudian dikukus selama 20 minit.
2. Toskan masukkan ke dalam bekas kemudian lenyet/tumbuk bagi halus.
3. Masukkan semua tepung ubi, gandum, gula, garam dan baking powder gaul bagi sebati.

4. Bentukkan menjadi bulat-bulat, jangan besar sangat sebab bila menggoreng nanti dia akan menggelembung.
5. Jika melekat ditangan pedapkan tepung sedikit di jari. Bulatkan sehingga habis kemudian panaskan minyak. Goreng dengan api sederhana panas untuk mendapat warna keemasan.
6. Sambil menggoreng bulatkan bola kecil, bila dah kekuning keemasan angkat dan toskan.
7. Sruktur kulit luarnya akan menjadi bulat dan halus sebab kita dah masukkan tepung ubi lebih dari tepung gandum.
Selamat mencuba!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Penjelasan Kedudukan Khunsa Dalam Islam Dari Segi Penentuan Jantina, Hak Pewarisan & Perkahwinan

Isi Kandungan
ToggleMungkin ramai yang masih keliru dengan status Khunsa yang ditafsirkan sebagai individu yang memiliki dua alat kelamin serta hak-hak yang mereka boleh diperolehi. Sebenarnya dalam Islam, kekeliruan ‘insan terpilih’ ini dapat dijelaskan dari segi penentuan jantina, hak dalam perwarisan serta perkahwinan.
Berikut merupakan kupasan lanjut mengenai isu ini yang dihuraikan didalam page Sahabat Mahkamah Syariah sebagai rujukan.
Pengertian Khunsa
Khunsa berasal daripada perkataan Arab yang membawa erti sebagai lembut. Kamus Dewan edisi keempat mentafsirkannya sebagai orang yang mempunyai dua alat kelamin. Fiqh Islam membahagikan khunsa kepada dua keadaan, pertama, khunsa wadih dan khunsa musykil.
- Khunsa Wadih adalah seseorang yang mempunyai dua alat kelamin (zakar dan faraj) dan bagi sesetengah khunsa, salah satu alat kelamin berkenaan berfungsi.
- Khunsa Musykil adalah seseorang yang tidak dapat ditentukan jantinanya kerana kedua-dua alat kelamin yang ada tidak nampak jelas berfungsi.
Keadaan khunsa kedua pula adalah apabila seseorang itu tidak langsung mempunyai alat kelamin, sebaliknya hanya mempunyai sekadar lubang untuk kencing.
1.Penentuan Jantina Khunsa
Dalam menentukan jantina khunsa sama ada lelaki ataupun perempuan, cendekiawan membahagikannya kepada dua hal, iaitu sebelum dan selepas baligh. Profesor di Universiti al-Qassim, Arab Saudi, Abdul Bin Mohamad Bin Ahmad al-Tayyar menggariskan, bagi golongan khunsa yang belum mencapai umur baligh, ia dapat dilihat daripada cara mereka kencing.
“Jika khunsa itu kencing dan airnya keluar daripada faraj (kemaluan) dan dia didatangi haid, maka ditentukan jantinanya sebagai seorang perempuan.
Sekiranya dia memiliki kedua-dua alat kelamin, tetapi air kencing keluar dari zakar dan dia tidak didatangi haid, maka ditentukan jantinanya sebagai lelaki.
Pandangan ini juga dipersetujui majoriti ulama. Jantina khunsa dewasa pula dapat dikenal pasti melalui perubahan dialami, seperti tumbuh janggut, halkum dan misai bagi lelaki.
Dalam menentukan jantina perempuan pula, antara tanda yang dapat dikenal pasti seperti kedatangan haid, tumbuh buah dada dan hamil.
Namun begitu, jika tidak terdapat padanya sebarang tanda yang menunjukkan jantina, maka dapat dilihat dari segi pergaulannya.Jika dia cenderung kepada wanita, maka dia adalah lelaki dan begitulah sebaliknya.
Imam al-Baihaqi di dalam Kitab Sunan Al-Baihaqi meriwayatkan: Hussin Bin Kathir mendengar daripada bapanya yang menyatakan bahawa: “Aku melihat Saidina Ali dalam menentukan jantina khunsa, di mana beliau berkata: Lihatlah kepada jalan keluarnya air kencing, maka ditentukan jantinanya daripada itu.”
Dalam satu riwayat lain, Ali RA berkata: “Sekiranya air kencing itu keluar melalui zakarnya, maka dia adalah lelaki. Dan sekiranya ia keluar dari faraj (kemaluan), maka ia adalah perempuan.”
Selain itu, terdapat cara lain dalam menentukan jantina khunsa iaitu dengan mengira tulang rusuknya.
Dalam satu riwayat, menceritakan peristiwa khunsa ketika zaman pemerintahan Saidina Ali apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita khunsa yang memiliki dua kelamin.
Dalam tempoh perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata dan selepas daripada itu, suaminya menghadiahkan seorang pembantu (jariah) untuknya.Pada masa sama, isteri berkenaan tertarik kepada pembantunya lalu menyetubuhinya sehingga pembantu berkenaan melahirkan anak.
Perkhabaran itu disampaikan kepada Saidina Ali, lalu beliau menghantar pakar untuk menghitung tulang rusuk wanita itu bagi mengenal pasti jantinanya.
Idea dan pandangan Saidina Ali ini bertepatan dengan ketentuan Allah SWT yang menjadikan Hawa dengan mengambil satu tulang rusuk sebelah kiri Nabi Adam AS dan selepas itu Saidina Ali memutuskan bahawa wanita khunsa itu adalah lelaki lalu memisahkan perkahwinannya dengan suaminya kerana dianggap tidak sah.
2.Hak Khunsa Dalam Perwarisan
Sekalipun khunsa tidak dinyatakan secara terperinci dalam kedua-dua sumber rujukan utama, namun Islam tidak pernah menyisihkan mereka. Hal ini jelas apabila Islam tetap memperuntukkan hak dan bahagian mereka dalam agihan harta pusaka.Namun, setiap pewarisan diterima berbeza berdasarkan jenis dan/atau keadaan khunsa itu sendiri.
Imam Abu Hanafiah berpendapat, khunsa wadih mendapat hak seperti perempuan ataupun lelaki.
Pandangan ini tidak dipersetujui Imam Malik, Abu Yusuf dan golongan syiah al-Imamiyyah, di mana mereka berpandangan khunsa wadih berhak mendapat harta pusaka secara pertengahan antara bahagian lelaki dan perempuan.
Namun begitu, Imam Abu Hanafiah membezakan bahagian golongan khunsa musykil dalam penerimaan pewarisan harta pusaka, di mana dia hanya berhak menerima bahagian dengan kadar melebihi sedikit daripada apa diperoleh perempuan ataupun lelaki.
3.Hak Khunsa Dalam perkahwinan
Walaupun khunsa mempunyai dua alat kelamin, namun ia tidak menghalangnya membina sebuah keluarga.Perkahwinan adalah fitrah dan keinginan setiap manusia termasuk golongan khunsa.
Meskipun begitu, Islam membataskan had demi menjaga maqasid syariah. Oleh itu, Islam meletakkan bahawa harus bagi seorang khunsa wadih berkahwin dengan pasangan yang berbeza jantina.
Ibn Qudamah menyatakan, jika tanda menunjukkan jantina jelas, tidak menjadi masalah baginya berkahwin.

Namun begitu, tidak bagi khunsa musykil, di mana majoriti ulama menyatakan bahawa tidak sah perkahwinan golongan ini.
Ini disebabkan jantina khunsa itu sendiri tidak mampu dikenal pasti dan mempunyai pelbagai kemungkinan sama ada dia lelaki ataupun perempuan.
Namun begitu, jika golongan khunsa musykil ini didatangi nafsu syahwat, bagaimana cara mengatasinya?
“Rasulullah SAW bersabda dalam hadis bermaksud: “Barang siapa di antara kamu berkemampuan, maka laksanakanlah perkahwinan kerana sesungguhnya ia mampu menjaga pandangan dan kemaluan kamu (daripada zina). Dan barang siapa yang tidak mampu, maka berpuasalah. Sesungguhnya puasa itu mampu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang terlarang.”
Bagaimanpun, sekiranya mereka tidak mampu berpuasa dan dalam keadaan seperti ini, Sheikh Muhammad Bin Shalih al-Utsaimin, ulama kontemporari dalam bidang sains fiqh menyatakan, adalah perlu untuk mereka mendapatkan nasihat doktor serta mengambil ubat-ubatan disarankan.
Sesungguhnya larangan Islam ini bukan untuk menganiayai golongan khunsa musykil, tetapi menjaga nilai dan matlamat suci sesebuah ikatan perkahwinan.
“Oleh demikian, berdasarkan fatwa diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989, membincangkan kedudukan mak nyah dalam Islam menyatakan, seseorang yang dilahirkan khunsa musykil iaitu dilahirkan dengan dua alat kemaluan diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang berfungsi supaya dapat digunakan mengikut keadaan sesuai.”
Kecelaruan jantina bukan sesuatu yang perlu ditertawakan. Sudah tiba masanya pihak berkenaan bertindak aktif mendekati golongan ini bagi maksud dakwah.
Dakwah bukan hanya terhad kepada kuliah di masjid, tetapi turun ke gelanggang menghayati dan memahami serta merawati penyakit masyarakat yang juga adalah suatu jihad.
Sumber: Sahabat Mahkamah Syariah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hadiah Pakaian Akhir Rupanya Petanda Anak Chot Pulang Ke Kampung Abadi

Rindu bapa ini masih bersisa. Baru empat hari, permata hatinya, Muhammad Sher Harraz seusia empat bulan meninggalkan ayahnya, Hazmeer Hassan (pelawak Chot) dan ibunya, Siti Zafirul Azzah Moh Idris.
Dan kala kerinduan datang bertamu, doa mak ayahlah jadi peneman anak syurga ini. Bermain-main di taman syurga Ilahi.
Malah itulah yang diharapkan ibu yang ditinggalkan ini. Sebagaimana kongsi ibunya beberapa hari lalu di instagram.
“Baru lepas ziarah anak syurga. Mommy, daddy rindu Sher Harraz. Kalau nak tahu, Sher Harraz sebelah kubur dengan pakcik Mommy.”
“Bermain-mainlah sayang dengan adik mommy. Hanya doa kami kirimkan pada awak sayang.” luah ibu yang dalam kerinduan ini.
Bayi pasangan ini meninggal dunia disebabkan masalah injap terbalik.
Pakaian Pertama Dan Terakhir Buat Anakanda Kami
Ketika mengimbas memori lalu inilah pelawak Chot dari kumpulan XOXO ini berkongsi satu berita sedih. Memori yang memberinya petanda awal akan pemergian anak kesayangannya.
Tentang hadiah kemenangan berupa set kelengkapan jenazah yang diterimanya beberapa bulan lalu.
“Waktu ini saya dinobatkan juara bagi pertandingan ‘PENCARIAN DJ MELAKA FM’. Kami dihadiahkan dengan set kelengkapan jenazah.”
“Waktu ini isteri saya masih sarat lagi mengandung. Sekitar 3 ke 4 bulan lagi waktu ni.”
“Kami baru sedar ada hikmahnya hadiah utama di saat itu. Rupa-rupanya PAKAIAN PERTAMA DAN TERAKHIR BUAT ANAKANDA KAMI.”

Benarlah kehadiran setiap anak itu ada rezekinya. “Terima kasih anakku sebab bagi mommy dan daddy rezeki juara dan ada di tahap ini.”
“Sesuatu yang tak mudah nak dilupakan.” Zahir Chot dalam instagram miliknya semalam.
Dan ketika ditemubual mstar, penyampai radio Melaka FM ini memaklumkan yang set kelengkapan pengurusan jenazah itu tak sempat digunakan untuk menguruskan jenazah anaknya.
Namun, Chot percaya itulah hadiah yang Allah mahunya simpan sebagai kenangan untuknya mengingati cinta hatinya mereka.
Sumber/Foto : chotxoxo, mstar
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Semua Kuasa Allah, Saya Hamil ‘Naturally’ Tanpa Sebarang Rawatan – Zizie Izette

Sejak hamil, Datin Seri Zizie Izette, 39 tak pernah tak kelihatan cantik. Berseri saja wajahnya. Sentiasa positif dengan senyuman yang menawan. Dalam diam, ramai juga peminat yang nak tahu petua kehamilannya.
Sebab dekat 8 tahun juga beliau dan suami, Datuk Bung Mokhtar Radin, 58 yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menunggu kehadiran cahaya mata.
Bulan ini, kehamilannya sudah memasuki trimester ke-3. Bak kata Zizie Izette di dalam instagram miliknya, “Macam dah sarat benar. Pada kehamilan 7 setengah bulan ini, saya rasa macam nak ‘bersalin’ bila-bila masa‘.
Walaupun demikian, beliau berdoa biarkan bayi kembar yang dikandungnya itu duduk lebih lama dalam perut. Sampailah tiba masa untuk si comel itu melihat dunia.
“Ramai yang masih DM dan bertanya petua mengandung dari saya. Jika saya ada makan ubat subur atau suplemen untuk hamil.
“Saya tak keberatan apatah lagi malu untuk berkongsi kalau ada. Saya conceive naturally tanpa sebarang rawatan apa-apa. Semua kuasa Allah.”
Kita Plan, Allah Pun Plan
Menurutnya lagi, sebelum ini pun doktor yang merawatnya pernah mendiagnos yang dirinya tidak mempunyai apa-apa masalah berkaitan kehamilan.
“Cuma saya percaya mungkin waktu tu rezeki masih belum ada.” Itulah kata-kata semangat yang diberikan oleh pemilik nama Zizie Izette Abdul Samad.
Walau ke mana saja langkahnya, terserlah rasa bahagia di samping anak angkatnya Laila Nur Jenna.

Nasihatnya lagi, isteri-isteri yang masih sedang berusaha untuk hamil, jangan sesekali berputus asa.
“Kita plan, Allah pun dah plan untuk kita juga. Jangan berhenti berdoa dan berusaha. Semoga Allah makbulkan doa-doa kalian.”
Sumber/Foto : Instagram Zizie Izette
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI