Kisah duda ini cukup tragis. Dinodai rakan sejenis membawa kepada kisah rumah tangga yang berantakan. Kerana tidak mahu menanggung dosa, lelaki ini (yang MW rahsiakan namanya) melepaskan isteri yang begitu baik.
Demi menghormati permintaan ibu, aku akhirnya bersetuju mendirikan rumah tangga dengan Hayati. Gadis pilihan ibu ini memang sempurna, baik, berpendidikan tinggi dan cantik rupa parasnya.
Ramai yang mengatakan aku beruntung memiliki Hayati. Aku hanya mampu mengukir senyuman. Dalam hati tuhan sahaja yang tahu. Bukan aku tak bersyukur tapi sebenarnya aku bimbang tidak dapat menunaikan tanggung jawab sebagai suami dengan baik.
Secara zahirnya memang aku mampu tapi jauh si sebalik tubuh sasa ini tersimpan rahsia. Semasa melanjutkan pelajaran di UK dulu, aku pernah terjebak dengan ‘cinta songsang’.
Sungguh aku tak sangka hubungan kawan dengan James menjadi sebaliknya. Aku juga tidak terfikir akan menjadi kekasih kepada James.
Namun layanan James membuatkan aku tertewas. Mungkin kerana aku bersekolah di sekolah lelaki lantaran aku kekok berkawan dengan perempuan. James rupanya sudah lama memerhatikan aku.
Dalam diam dia memasang jerat, aku yang buta dengan niat jahatnya terpedaya. Mujur Allah memberi hidayah kepadaku.
Aku kembali ke jalan yang benar, walaupun aku mendapat tawaran bekerja di UK. Aku memilih untuk pulang ke tanah air, iman aku sangat rapuh aku bimbang terjebak dengan hubungan yang jijik.
Sejak kejadian di UK, aku menjadi pendiam. Aku malu dengan Allah. Walaupun aku susah insaf namun aku masih trauma dengan apa yang berlaku.
Aku berasa jijik dengan diriku. Berbalik kepada kisah rumah tanggaku dengan Hayati. Secara luaran kami kelihatan bahagia, aku memberikan segalanya buat Hayati.
Layananku kepadanya seperti permaisuri. Cuma satu sahaja yang aku tidak berikan…Layanan batin. Bukan sekali dua Hayati cuba menggoda tapi nafsuku mati.
Aku sering mengelak untuk bersama dengan Hayati. Aku sibukkan diri bekerja dan sering out station. Aku tahu Hayati sangat terseksa dengan sikapku.
Dia pasti mengharapkan layanan mesra seorang suami. Akhirnya selepas tiga bulan berkahwin, aku mengambil keputusan untuk berterus terang dengan Hayati.
Aku katakan aku mempunyai masalah batin sehingga tidak mampu memenuhi tanggung jawab kepadanya.
Aku katakan padanya, aku rela melepaskan dia. Aku mahu dia hidup bahagia bersama lelaki yang mampu memberi layanan kepadanya.
Hayati hanya menitiskan air mata. Dia mengatakan amat menyayangi aku dan sanggup menunggu sehingga aku mampu melayannya. Malah Hayati mencadangkan aku berubat cara tradisional untuk pulihkan masalah batinku.
Sungguh aku tersepit. Ingin sahaja aku bercerita tentang kisah silamku tapi aku teramat malu dan aku sangat takut jika Hayati membenci diriku.
Masa terus berlalu, hubungan kami semakin dingin. Aku menjauhkan diri daripada Hayati. Setahun hidup bersama akhirnya kesabaran Hayati sampai di penghujung.
Kami akhirnya berpisah dengan cara baik, aku lepaskan Hayati dengan talak satu. Aku amat menyayangi Hayati, dia isteri yang baik.
Aku doakan Hayati bertemu dengan lelaki yang dapat membahagiakan dia. Aku pula sehingga kini masih trauma.
Aku berdoa kepada Allah akan memberi kekuatan kepadaku untuk melupakan kisah silam dan dapat menjalani hidup seperti insan lain. Semoga ada bahagia buatku.