krisis rumah tangga
Percayalah krisis rumah tangga inilah yang akan rosakkan hubungan laki bini, malah selalunya isteri yang lebih merasa bimbang. Macam-macam yang difikirkan. Walaupun ada ayat-ayat yang tidak elok terlepas di mulut tetapi akhirnya isteri yang berusaha keras mencari kalau ada silap sendiri.
Sudah puas difikirkan tetapi masih tidak berpuas hati maka ditanya pula kepada orang yang dipercayai. Apa lagi yang kurang pada dirinya? Krisis tetap berlarutan. Apa yang lagi yang perlu dia lakukan? Dia tidak tanya kepada suami kerana suaminya sendiri selalu tidak tahu apa yang dia mahukan.

Ini jawapan dan tindakan untuk baiki semula hubungan suami isteri….

Ada ketikanya perkara terbaik untuk menyihatkan rumah tangga ialah perkara yang anda tidak buat. Ya, selama ini anda terlalu mengambil berat tentang dirinya. Ke mana dia pergi, apa yang dia buat semuanya anda tanya. Anda rekodkan dan anda semak semula apabila dia kembali. 
Sesungguhnya anda berusaha gigih menjadi isteri yang begitu prihatin. Sehingga ke satu peringkat barulah anda tahu itu sebenarnya isu besar. Jika tak dirawat krisi rumah tangga akan berlarutan. Sebenarnya lelaki tidak selesa begitu. Ada masa dan ketika dia perlukan masa bersendirian. Jangan fikir atau tuduh dia sudah tidak sayangkan anda. Dia hanya mahu bersendirian. Itu sahaja.
Lelaki berfikir secara analitikal. Mereka mahukan maklumat dan hanya boleh diyakinkan dengan logik dan fakta. Pengalaman anda dengannya menunjukkan walaupun dia itu suami tetapi tidak semestinya dia sentiasa betul. Jika begitu keadaannya maka anda sebagai isteri memang berhak memberi pendapat.
Gunakan hak itu dengan bijaksana. Jangan sesekali membangkang atau sukarela memberi komen tanpa bersedia. Jangan memaksa suami untuk memahamkan anda. Dapatkan maklumat, fakta atau perkara sebenar sebelum memberi pendapat. Buatkan suami merasa yang anda adalah aset atau penasihat kanannya. Anda tidak perlu memaksa dia mengatakan anda ‘cerdik’ tetapi dia pasti akan merasakan anda istimewa jika dapat membantunya membuat keputusan yang lebih betul.

Jalan Penyelesaian

1. Memang betul dunia hari ini patut digelar zaman komunikasi. Segala-galanya ada di dalam telefon pintar di hujung jari anda. Ada isteri yang merungut apabila suaminya tidak menghantar text kepadanya. Dulu sebelum berkahwin, text dan SMS darinya pasti masuk sejam sekali. Semakin hari semakin jelas dalam fikiran, dia telah berubah dan sudah tidak sayangkan anda lagi.
Hakikat sebenarnya tidak begitu. Dia sekarang telah sah menjadi milik anda dan saling bertemu setiap hari. Sebagai lelaki memang sangat berat kepada dia untuk berkongsi perasaan dengan menghantar text sejam sekali seperti dahulu. Bukannya dia telah berubah perasaan tetapi dia tahu yang dia boleh berkongsi segala-galanya apabila dia balik dari pejabat nanti.

Bagaimana jika anda tetap mahukan text daripadanya seperti dahulu?

Cara terbaik berterus terang. Buatkan dia tahu yang anda suka menerima text dengan kartun comel yang dia hantar. Buatkan dia tahu yang anda sentiasa berfikir tentang dirinya. Secara bijak hantarkan text yang comel dan lucu kepadanya. Sesuatu yang ajaib boleh berlaku Minda bawah sedarnya nanti akan bertindak balas dan mula berfikir tentang anda.
2. Antara masalah terbesar dalam rumah tangga ialah apabila anda rasa yang dia sudah tidak peduli lagi tentang anda. Dia tidak fikir lagi apa yang anda rasa. Dia tidak kisah lagi tentang masalah anda. Sudah tentu sebagai isteri anda sememangnya betul apabila merasa begitu. Seperti juga wanita, lelaki juga boleh bersikap mementingkan diri sendiri. Namun apa yang anda perlu tahu ialah lelaki lebih bersifat ‘penyelesai’.
Pada ketika wanita lebih cenderung menghayati perasaan itu, lelaki secara automatik mahu mencari ‘penyelesaian’nya. Sama ada dia mampu atau tidak menyelesaikannya itu perkara lain. Apa yang pasti sekiranya dia tidak mampu mencari penyelesaian maka dia akan merasa tidak selesa. Usah biarkan krisis rumah tangga berlarutan.
Jika anda mempunyai cukup kekuatan jiwa maka apa salahnya anda berikan peluang itu kepadanya? Jangan berkias dan mengharapkan radarnya mengesan apa yang sedang anda rasa. Beritahu dia masalah anda dan apa yang anda rasa. Apa yang anda boleh buat selepas itu ialah pinjamkan telinga. Dengar dan kurangkan mempertikai apa yang dia sebutkan.

Apa Yang Penting…

Perkahwinan adalah perjalanan bersama yang panjang dan getir. Jika muncul perasaan tidak dihargai atau tidak dipedulikan, sudah pasti menjadikan perjalanan itu lebih sukar. Apa yang penting ialah jangan berputus asa. Suatu masa dahulu anda berdua berjaya sebagai kekasih sehingga ke jinjang pelamin, jadi tentu dengan usaha, doa dan kesabaran daripada kedua-dua pihak tentu anda boleh mengulanginya lagi sekaligus menamatkan krisis rumah tangga yang dihadapi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI