Hiburan

Krisdayanti, Mulan Jameela Terjun Dunia Politik, Jadi Ahli Parlimen Indonesia!

Share

Dikenali dalam bidang hiburan, siapa sangka dua orang selebriti ini terbuka hati mengambil keputusan menceburi dunia politik dan berkhidmat untuk rakyat serta negara. Dua artis popular Indonesia, Krisdayanti dan Mulan Jameela antara 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen Indonesia bagi sesi atau penggal 2019-2024, pada hari ini.

Krisdayanti, 44, dan Mulan, 40, memenangi pilihan raya Indonesia pada 17 April lepas, masing-masing mewakili anggota DPR Jawa Timur V dan Jawa Barat XI.Krisdayanti, artis yang turut popular di Malaysia itu, bertanding sebagai calon Partai Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), manakala Mulan, yang juga isteri kepada artis Ahmad Dhani, bertanding sebagai calon Partai Gerakan Indonesia Raya.

Proses angkat sumpah itu akan dilakukan di depan Ketua Mahkamah Agung, Prof. Dr. H. M. Hatta Ali, dan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dijadualkan turut hadir pada majlis itu. Jokowi, yang menang pada pilihan raya Presiden 2019, dijadual mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal keduanya (2019-2024) pada 20 Oktober ini.

Ketua Biro Hubungan Masyarakat Majlis Perwakilan Rakyat (MPR), Siti Fauziah berkata, antara agenda yang dijadual bermula 8 pagi esok itu adalah proses mengangkat sumpah 575 anggota DPR, 136 anggota Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dan 711 anggota MPR untuk penggal 2019-2024.

Umum Rasmi Jadi Ahli Parlimen Indonesia

Kedua-dua selebriti ini juga ada mengumumkannya di Instagram serta berkongsi harapan harapan masing-masing setelah secara rasminya menjadi ahli parlimen Indonesia.

 

Beberapa Jalan Utama Ditutup

Sementara itu, Ketua Bidang Hubungan Masyarakat, Polis Metro Jaya (Polis Jakarta), Argo Yuwono berkata, sebanyak 20,500 anggota polis ditugaskan bagi menjaga keamanan di kawasan parlimen Indonesia.

Jalan utama kawasan parlimen iaitu Jalan Gatot Soebroto yang juga jalan utama di Kota Jakarta, telah ditutup sejak seminggu lepas berikutan beberapa siri demonstrasi dan rusuhan, menjelangnya angkat sumpah itu.

Beberapa siri demonstrasi berskala kecil bermula sejak tiga minggu lepas, dan menjadi semakin buruk bermula 24 September lalu, apabila ribuan mahasiswa, pelajar dan pihak tertentu mengadakan demonstrasi di luar kawasan parlimen Indonesia, membantah pelaksanaan pindaan Rang Undang-undang Kitab Hukum Pidana atau RUU KUHP.

Rancangan pindaan undang-undang itu didakwa mengurangkan kuasa Komisi Pembanterasan Korupsi atau badan yang menangani kes-kes rasuah di Indonesia, menyekat kebebasan hak asasi manusia serta melindungi kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

Jokowi telah mengarahkan penangguhan undian parlimen terhadap undang-undang itu pada 20 September lepas, dan pastinya menjadi tanggungjawab anggota baharu DPR yang akan mengangkat sumpah esok untuk proses tindakan selanjutnya.

Baca Disini; Kris Dayanti Ambil Suntikan DNA Ikan Salmon Untuk Kekal Awet Muda

MW: Tahniah diatas pelantikan sebagai ahli parlimen Indonesia. Meskipun berlainan bidang dan memberikan cabaran baru, semoga dapat menjalankan tugas dan berkhidmat buat rakyat dengan sebaiknya.

Sumber: kosmo, krisdayantilemos, mulanjameela1

Published by
Suhaidah Abd Wahab