Wanita sememangnya makhluk ciptaan Allah yang istimewa dan mampu menghadapi apa jua cabaran yang mendatang di dalam hidupnya. Semangat dan perjuangan tidak mudah mengaku kalah menjadi elemen utama dalam kehidupan wanita untuk selangkah mara ke hadapan dalam apa jua yang ingin dilakukannya.
Begitu juga halnya buat seorang doktor gigi, Dr Alyssa Azlan yang mengakui dirinya pernah hilang semangat ketika berlakunya pandemik namun ia menjadi pemangkin semangat untuk dirinya meneroka bidang perniagaan dengan membuka klinik sendiri.
Bagi merealisasikan impiannya, Dr Alyssa terpaksa memohon pembiayaan melalui pinjaman bank dan tertubuhnya Klinik Gigi Stellar di Setia Alam pada tahun 2020, ketika pandemik masih lagi belum menemui jalan penghujungnya. Berkat kesabaran dan kecekalan dalam bidang perniagaan, ia diikuti cawangan kedua yang terletak di Kota Damansara yang dibuka dalam tempoh 3 tahun.
Pemegang Sijil Lanjutan dalam bidang Implantologi & Ortodontik dari New York University (NYU) ini memberi fokus kepada perkhidmatan estetik dan kosmetik gigi yang semakin popular di kalangan rakyat Malaysia.
“Kami memilih untuk menawarkan perkhidmatan estetik dan kosmetik gigi selari dengan keputusan semasa terutama bagi golongan yang mengutamakan kecantikan serta kebersihan oral.
Mengambil kira kemajuan dan lambakkan teknologi dalam sektor pergigian mempunyai permintaan tinggi kerana percayalah, satu senyuman mampu mengubah kehidupan.
“Tidak dinafikan, senyuman seseorang itu menunjukkan keyakinan sekali gus lebih menyerlahkan keyakinan dan penampilan seseorang,” jelas Dr Alyssa yang turut aktif di laman TikTok berkongsi ilmu mengenai penjagaan gigi.
Tambahnya lagi, pengalaman membuat rawatan kosmetik gigi kepada pelanggan memberikan reaksi positif apabila menyatakan kosmetik gigi mampu mengikir rasa malu dalam diri.
Graduan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini turut bersyukur kerana minatnya dalam bidang kosmetik pergigian mendapat sokongan suami tersayang, Hafiz Khairudin yang turut bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif rangkaian Klinik Gigi Stellar.
“Meskipun Hafiz berkelulusan dalam bidang kejuruteraan, namun dia berperanan sebagai pegawai operasi dan menguruskan kewangan syarikat serta merupakan tulang belakang di sebalik kejayaan kami.
Ikutkan, kami berdua tiada basic dalam bidang bisnes. Tetapi kami sahut cabaran ini untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan Alhamdulillah perkhidmatan yang ditawarkan semakin meraih kepercayaan para pelanggan,” ujar Dr Alyssa yang turut aktif mengikuti pelbagai kursus perniagaan sebagai usaha menambah pengetahuan dalam menguruskan perniagaan.
Aktif di laman TikTok, Dr Alyssa turut berkongsi mengenai trend rawatan gigi yang ditawarkan namun menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan pelbagai tawaran yang tidak masuk akal.
“Pakej yang ditawarkan di pusat rawatan kecantikan berisiko tinggi dan boleh memudaratkan kesihatan gigi seperti gusi berdarah dan gigi goyang dan sebagainya. Malah, terdapat juga pusat terbabit yang tidak mempunyai lesen sebagai doktor gigi selain tidak diiktiraf.
Jadi, sebagai pengguna, perlu bijak memilih rawatan yang diiktiraf agar masalah-masalah lain tidak timbul,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.