Kos orang gaji cecah RM30,000, Duta Besar Indonesia ingatkan “kalau mahal jangan ambil, guna negara lain”. Sejak dahulu lagi, rakyat Malaysia sudah terbiasa menerima orang gaji dari Indonesia.
Dahulu, kosnya tidak setinggi mana kerana adanya banyak permintaan. Tapi hari ini, untuk mendapatkan amah dari negara seberang memerlukan kos RM15,000 seperti mana termetrai perjanjian dibuat kedua buah negara. Tapi hari ini, kos dikatakan mencapai RM30,000 kerana wujudnya calo atau orang tengah.
Dan kos sebegitu dianggap terlalu mahal apatah lagi banyak isu amah lari selepas satu atau dua bulan bekerja dan sudah tentu pihak majikan rugi. Dalam pada itu Duta Besar Indonesia mengingatkan, jika kos mendapatkan amah dari Indonesia mahal, boleh dapatkan khidmat dari negara lain.
Memetik laporan Berita Harian, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, berkata pihaknya bersedia membawa isu kos mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia melambung tinggi yang didakwa berkait bayaran khidmat orang tengah atau ‘calo’ di negara itu, untuk dibincangkan pada mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama pada masa terdekat.
Sebelum ini, Indonesia dan Malaysia mewujudkan jawatankuasa kerja yang dijadual mengadakan perbincangan setiap tiga bulan sekali bagi memantau serta mencari penyelesaian sebarang masalah khususnya membabitkan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) di negara ini.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Suami Jangan Kedekut Sedialah Simpanan Kecemasan, Bila Sakit Isterilah Dicari Bukan Orang Gaji!
Suami Sama-samalah Pikul Kerja Rumah, Dulu Raja SEHARI Sekarang Macam Orang Gaji
Petua Dari Indonesia, TELUR REBUS Jadi Berkilat, Mudah Dikupas, Masukkan 2 Bahan Ini
Lembu, Restoran, Antara Ganjaran Pemenang Pingat Emas Pertama Indonesia Di Olimpik Tokyo
Bagaimanapun, Hermono menjelaskan, Indonesia bersikap terbuka jika agensi perkhidmatan pembantu rumah di Malaysia mahu mengambil pekerja berkenaan dari negara lain.
Katanya, agensi perkhidmatan berkaitan di Malaysia boleh melakukan sedemikian jika menganggap caj dikenakan agensi terbabit di Indonesia adalah tinggi.
Malah, beliau berpandangan dengan mendapatkan pembantu rumah daripada pelbagai sumber lain, kos keseluruhan terbabit dijangka menurun dengan sendirinya.
“Kalau dianggap mahal, jangan ambil dari Indonesia… boleh ambil dari negara lain.
“Nanti kos akan turun juga,” katanya kepada BH, di sini.
Beliau mengulas laporan BH, semalam, bahawa khidmat orang tengah atau ‘calo’ yang digunakan di Indonesia bagi mencari mereka yang berminat menjadi pembantu rumah, didakwa menyebabkan kos mendapatkan amah dari negara itu untuk berkhidmat di Malaysia melambung tinggi hingga mencecah RM30,000.
Difahamkan, calo berkenaan perlu dibayar antara RM4,000 hingga RM6,000 (12 juta hingga 20 juta rupiah) seorang, belum dicampur pelbagai kos lain termasuk dokumentasi, penginapan, latihan, tiket penerbangan dan makanan sebelum amah berkenaan dihantar ke negara ini.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (PIKAP), Fiona Low ketika mendedahkan sedemikian, dipetik mendakwa perkara itu dimaklumkan dalam sebut harga oleh Agensi Perkhidmatan PDI di republik itu.
Pada April tahun lalu, Malaysia dan Indonesia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pengambilan serta perlindungan PDI dengan disaksikan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo, di Istana Merdeka, Jakarta.
MoU itu antara lain menetapkan kos maksimum pengambilan pembantu rumah Indonesia pada kadar RM15,000.
MoU itu turut menggariskan seorang pembantu rumah Indonesia hanya boleh berkhidmat untuk isi rumah tidak lebih enam orang, selain gaji mereka perlu dibayar sebelum hari ketujuh setiap bulan.
Selain itu, sistem tunggal diperkenal bagi mengintegrasikan proses penempatan PDI bermula dari peringkat pengambilan, persiapan, keberangkatan, penempatan hingga kepulangan yang dipantau kerajaan.
Media sebelum ini melaporkan setakat 31 Januari tahun lalu, jumlah keseluruhan pekerja warga asing di negara ini seramai 1,157,481 orang, meliputi 86,084 pembantu rumah asing (PRA).
Majoriti PRA terbabit adalah dari Indonesia (59,605), diikuti Filipina (22,803), Vietnam (1,031), Kemboja (976) dan lain-lain.
Malaysia sebelum ini dilaporkan turut berunding dengan Vietnam, Kemboja, Sri Lanka, Nepal dan Bangladesh bagi membawa masuk pembantu rumah ke negara ini. Foto :- Free Malaysia Today (FMT).
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
NAK KAHWIN TAK PERLUKAN TANDATANGAN ISTERI PERTAMA PUN, INI PENJELASAN PEGUAM SYARIE.