Bukannya calang-calang orang boleh berhadapan dengan ujian yang dilalui oleh gadis yang berasal dari Melaka yang juga pemilik nama Nur Sarah, 30 ini. Semasa di awal temubual anak bongsu dari lima beradik ini, cukup risau jika kisahnya akan mengguris hati keluarga yang hingga kini masih belum mengetahui tentang penghijrahannya. Namun dek kerana semangat jitunya yang boleh dijadikan contoh terbaik dalam mengorak langkah sebagai seorang muslim pastinya warna warni kehidupannya mampu memberi contoh terbaik kepada mereka yang senasib.
Memeluk Islam pada tarikh 28 Oktober 2014, rahsianya itu disimpan rapi daripada pengetahuan keluarga, namun ibunda tercinta baru-baru ini dapat menghidu pengislamannya apabila melihat perubahan yang berlaku pada Nur Sarah. Gadis yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia, sangat bersyukur kerana ibunya menghormati dan menerima pendiriannya dalam memilih agama Islam.
“Selepas saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam, maka perasaan saya bercampur baur kerana keluarga masih tidak mengetahui penghijrahan ini. Pada awalnya saya berasa sangat tertekan kerana hingga kini saya masih tinggal bersama keluarga. Hingga kini saya perlu berpura-pura di hadapan keluarga. Di mana apabila di depan mereka saya tidak bertudung dan apabila berada di luar saya akan mengenakan hijab. Saya akui terlalu banyak cabaran jika ingin saya nyatakan, namun saya tidak mudah mengalah.
“Apabila berada di rumah saya mempunyai masalah untuk lakukan solat kerana takut diketahui oleh ibu dan ayah. Semasa mula-mula memeluk Islam, setiap kali nak solat di rumah saya terpaksa berlakon seperti saya sedang mandi, disebabkan tandas bilik saya berhubung dengan bilik ibu bapa, kadang-kadang masa sedang solat ibu memangggil. Jadi saya terpaksalah batalkan solat. Kadangkala saya perlu tunggu sehingga semua orang sudah terlena barulah saya akan mengerjakan solat.
“Saya pernah luahkan kisah saya kepada seorang ustaz dan dia menasihati untuk melakukan solat tahjud. Setiap malam saya akan bangun untuk solat tahjud, keajaiban berlaku hari demi hari, di maan Allah mendengar rintihan saya. Segala urusan saya di rumah dipermudahkan sekarang, alhamdulillah ibu yang baru tahu mengenai hijrah saya ini menerima dengan baik, cuma ayah dan ahli keluarga yang lain masih belum mengetahui hal ini,” jelas Nur Sarah.
Agama Islam bukanlah satu perkara baru bagi nak kacukan Cina dan India ini, di mana semasa zaman persekolahannya terutama ketika sekolah menengah dia gemar memakai baju kurung uniform.
“Saya selalu lepak dengan kawan-kawan, teman mereka ke surau di sekolah bola tiba waktu solat. Malah sewaktu SPM juga saya mengambil subjek Tasawur Islam. Memandangkan di sekolah tidak ada subjek tersebut saya ke rumah ustazah bagi kelas tambahan. Malah ayah sendiri yang menghantar saya ke rumah ustazah. Perasaan mendalam pada Islam Islam tidak sahaja berhenti di situ, sewaktu sy meneruskan pendidikan di peringkat Diploma dan Ijazah, saya juga mengambil Bahasa Arab sebagai bahasa kedua. Tidak dinafikan, saya lebih selesa bergaul dgn kawan-kawan Melayu dan kebanyakkan kawan-kawan baik saya merupakan orang Islam.
“Setelah dua tahun berkeja, tiba-tiba perasaan sy untuk mendalami agama Islam kembali. Pada waktu itu perasaan saya sangat kuat dan saya menghubungi rakan baik saya. Dia menasihati saya untuk ke kelas-kelas agama dan saya juga ke Perkim Seksyen 17, Petaling Jaya. Apabila ke sana ustaz menyangka saya mahu belajar mengaji kerana wajah saya persisi orang Melayu, kemudian saya terangkan hajat sebenar saya dan ustaz berkata “Allah jemput awak datang ke rumah Dia dengan rahmat”. Saya berasa sebak dari saat itu saya mula belajar mengaji dan agama Islam dan tiga bulan kemudian saya memeluk Islam,” luah Nur Sarah yang gemar melihat cara orang Islam lakukan solat dan menghafal doa-doa sebelum memeluk Islam.
Tidak pernah terfikir untuk melafazkan syahadah, Nur Sarah berasa cukup tenang selepas bergelar muslim.
“Selepas memeluk Islam sy mendalami ilmu agama dengan mengikuti kelas di Masjid Shah Alam yang dianjurkan oleh ABIM untuk pelajar-pelajar Mualaf. Di sini ustaz mengajar agama Islam secara asas termasuklah Fiqah dan Tauhid. Saya juga sangat beruntung kerana mendapat sokongan moral dari kawa-kawan rapat yang banyak memberi penerangan setiap apa yang menjadi kekeliruan dalam diri saya.
“Saya juga akan menghafal surah menerusi bacaan yang dibaca ole rakan-rakan. Setiap kali di dalam kereta saya akan memasang surah hinggalah saya mampu menghafal. Selain itu saya juga ke kelas anjuran MAIS setiap hari di Madrasah Hidayah di Seksyen 9, sinilah saya belajar mengaji dan syukur saya makin hmpir untuk habiskan Iqra 6, dan tidak lama lagi boleh mula membaca al-Quranal-Quran.
Nur Sarah juga mengakui dalam kesusahan yang perlu ditempuhinya ini, insyaAllah akan disusuli dengan hikmah dan rahmat dari Allah terutamanya buat umatnya yang bersabar.
“Alhamdulilah, kini saya berasa sangat bersyukur dengan segala ujian yang saya lalui ini. Saya selalu berpegang kepada ayat al-Quran dalam Surah Insyirah, di mana setiap kesusahan, akan datang kesenangan. Saya juga percaya hikmahnya di mana hanya Allah sahaja yangmaha mengatahui. Jika Allah simpan rahsia pengislaman saya selama ini saya percaya, jika Dia berkehendak bila-bila masa kebenaran akan terbongkar. Selepas merahsiakan empat tahun pengislaman akhirnya ibu ketaui hal ini.
“Ujian terbesar saya adalah untuk berhadapan dengan ayah, kerana ayah merupakan seorang yang sangat garang. Namun saya percaya hari tersebut akan sampai dan ayah akan ketahui hal sebenar. Apabila ayah mengetahui kelak saya berharap dia dapat menerima saya seadanya. Malah sejak beragama Islam saya dapati kehidupan saya semakin diberkati. Saya berjaya menyambung pelajaran dengan tajaan dari Lembaga Zakat Selangor,” akui Nur Sarah yang sangat mengsyukuri rahmat dari Allah SWT.
Berbuka Puasa Dengan Keluarga Angkat
Bulan Ramadan cukup dinantikan oleh umat Islam termasuklah Nur Sarah. Bagi dirinya ketika bulan puasa amalan perlu diperbanyakkan. Malah dia juga pada kebiasaannya akan berbuka di masjid dan melakukan solat terawih.
“Saya akui sangat sedih apabila terpaksa buka bersendirian. Saya gemar berbuka di masjid dan kemudian lakukan solat terawih. Alhamdulilah sebenarnya saya tidak pernah berseorang, Allah temukan saya dengan ramai kawan-kawan dan saudara Islam. Malah ramai kakak dan keluarga angkat yang sudi menjemput saya berbuka puasa di rumah mereka. Saya berasa sangat terharu dengan pelawaan mereka dan hilang rasa duka kerana berpuasa bersendirian tanpa keluarga.
“Bila bersahur di rumah sudah tentu saya tidak akan bangun sahur kerana takut keluarga tahu. Jadi pada kebiasaannya saya akan makan kurma, minum susu dan roti di dalam bilik yang gelap. Supaya tidak ada yang perasan saya bangun untuk bersahur. Namun itu semua bukanlah satu halangan dalam saya meneruskan perjuangan saya sebagai seorang muslim,” akhiri Nur Sarah yang cukup beruntung kerana dikelilingi sahabat-sahabat yang cukup baik dan sangat memahami.