Koperal Safwan Yang Dilanggar Pemandu Mabuk, Disenangi, Selalu SENYUM Walaupun Pendiam

Share

Kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk bukanlah sesuatu yang baru, tetapi telah menyebabkan ramai insan tak berdosa kehilangan nyawa. Kes kemalangan yang melibatkan Koperal Safwan Muhammad Ismail yang menjadi mangsa langgar pemandu mabuk ketika bertugas mengundang rasa pilu di hati masyarakat.

Mengorbankan masa dan tenaga untuk negara dan akhirnya kehilangan nyawa sendiri. MW mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham. Koperal Safwan merupakan seorang anggota yang disenangi semua pihak. Ketua Polis Negara menganggap kejadian ini sebagai kejadian yang memilukan.

Disenangi Semua Pihak

Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail disifatkan sebagai anggota polis memiliki prestasi kerja cemerlang dan disenangi semua pihak.

Dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) jam 2 pagi tadi, Safwan, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang Deputi Superintendan Rodney Pasla Haris Haris berkata, arwah adalah seorang anggota yang patuh arahan pegawai atasannya.

Seorang Pendiam, Namun Selalu Senyum

Jelasnya, arwah mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Mei 2009 dengan bertugas di Mahkamah Shah Alam sebelum ditugaskan di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang pada awal 2012.

“Sepanjang mengenalinya, arwah adalah seorang yang pendiam, namun selalu senyum kepada semua yang mengenalinya.

“Malah, sepanjang perkhidmatan penugasannya di IPD Kajang, arwah mempunyai prestasi kerja yang cemerlang,” katanya ketika dihubungi.

Rodney berkata, sikapnya yang pendiam dan sering senyum juga menyebabkan ramai pihak senang bekerja bersamanya.

“Hari ini, ramai Timbalan Pendakwa Raya menghubungi bertanyakan mengenai kejadian menimpa arwah. Ini kerana arwah mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkenaan yang senang bekerja dengannya,” katanya.

Koperal Safwan Seorang Yang Baik

Sementara itu, jiran arwah, Mohd Fauzi Zakaria, 38, berkata, Safwan adalah seorang yang baik.

“Setiap kali berselisih, arwah kerap senyum, walaupun dia tidak banyak bercakap. Arwah tinggal bersendirian sepanjang tempoh 13 tahun dia menetap di Taman Muhibbah Kajang, manakala keluarganya tinggal di Ipoh, Perak,” katanya.

Kejadian Yang Memilukan- Ketua Polis Negara

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan kemalangan maut membabitkan anggota polis di sekatan jalan raya ini sebagai insiden yang memilukan.

Abdul Hamid berkata, beliau difahamkan arwah adalah seorang yang cukup baik dan tergolong dalam kalangan anggota polis yang berprestasi tinggi.

“Saya juga difahamkan arwah yang mempunyai sembilan adik-beradik adalah seorang pendiam. Malah, ada di antara ahli keluarga arwah bekerja sebagai polis iaitu bapanya yang juga bekas komander di S69 di Ulu Kinta, Perak dan sudah tiga tahun bersara.

“Kejadian ini yang berlaku pada bulan Ramadan amat memilukan hati. Saya rasa sedih apabila pada awal pagi tadi dikejutkan dengan berita berlaku kemalangan ini yang tidak sepatutnya berlaku dan anggap ini sebagai takdir,” katanya ketika ditemui di luar Hospital Serdang, hari ini.

Beliau yang tiba di hospital berkenaan kira-kira jam 9 pagi tadi meluangkan masa hampir satu jam di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang bagi menziarah jenazah anggota polis berkenaan.

Dikenakan Hukuman Maksimum

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemandu berkenaan dan saya berharap dia akan dikenakan hukuman maksimum atas perbuatannya sebagai pengajaran supaya ia tidak berulang lagi.

“Ada segelintir individu yang tidak menghiraukan langsung keselamatan pengguna dan petugas di jalan raya. Harus diketahui bahawa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua pergerakan dihadkan.

“Namun, ada lagi yang sempat mengambil minuman keras dan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan maut. Itu adalah jelas satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sumber: Harian Metro

MW: Semoga keluarga allahyarham dapat menerima pemergiannya, apatah lagi dia dijemput Ilahi di bulan ramadan. Ternyata kehilangannya sangat dirasai oleh semua pihak dan diharap pesalah mendapat hukuman yang setimpal. 

Published by
Syazwani Mehat