Muzik

Kongsi pentas bersama anak-anak, Dato Jamal Abdillah bakal gegar Plenary Hall hujung minggu ini!

Share

Konsert Jamal Abdillah Live in Concert yang dijadualkan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 September lalu bakal diadakan pada 26 November ini di lokasi yang sama.

Penganjur, Shiraz Projects memaklumkan konsert tersebut terpaksa ditunda ke tarikh 26 November kerana berdepan masalah teknikal.

“Saya difahamkan penganjur, jadual pengarah muzik dari Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), Ahmad Muriz Che Rose yang sepatutnya terbabit dengan konsert skala besar itu bertindih dengan acara lain.

“Saya ada mencadangkan kepada penganjur untuk menggantikan tempat Ahmad Muriz kepada komposer terkenal, S Atan dan pasukan muziknya tetapi terpulang pada penganjur kerana saya cuma menyanyi saja,” katanya.

Kongsi pentas bersama anak-anak

Menjengah laman Instagram milik Dato Jamal Abdillah, kelihatan penyanyi lagenda tersebut sedang sibuk membuat persiapan sempena konsertnya yang bakal diadakan pada hujung minggu ini.

Terdahulu, beliau pernah menyatakan hasrat untuk mengadakan persembahan bersama anak-anaknya di atas satu pentas. Nampaknya, keinginannya kali ini bakal tertunai apabila Konsert Jamal Abdillah di Plenary Hall KLCC ini turut mengundang Zaki Yamani dan Yamani Abdillah sebagai artis jemputan. Selain itu, penyanyi Wany Hasrita juga bakal membuat kemunculan di konsert berkenaan.

Penyanyi yang popular dengan lagu-lagu popular antaranya termasuklah kekasih Awal & Akhir, Azura, Penghujung Rindu dan sebagainya itu menjanjikan sebuah persembahan yang bakal menjadi kenang-kenangan untuk para peminatnya yang sentiasa memberi sokongan dalam kerjayanya selama ini.

“Saya akan buat persembahan dengan penyanyi jemputan yang merupakan seorang legenda besar dalam industri. Selain bawa anak-anak bersama, saya juga akan bawa rapper untuk menyanyikan lagu saya dan Malique.

Untuk konsert ini saya akan menyampaikan dalam 15 ke 20 buah lagu, mungkin akan ada tiga atau empat segment.

Dalam pada itu, hero filem Azura ini sempat berseloroh dengan menyatakan bahawa berkemungkinan ini adalah konsert terakhirnya.

Saya harap rakan-rakan media dapat beri sokongan kepada saya dan Shiraz Projects untuk menguar-uarkan konsert…Ini rasanya konsert terakhir.

 

Tiket konsert masih boleh didapati pada harga RM255 (Silver), RM355 (Gold), RM495 (Platinium), RM595 (Diamond) dan RM995 (Meet & Greet) menerusi platform www.mytiket.asia.

 

 

 

Published by
Rosmah Idayu