Kongsi Password Handphone Untuk Elak Curiga Dan Curang

Share

Tiba-tiba hati isteri terdetik nak melihat apa yang ada dalam telefon suami. Tup-tup-tup, kena ada kata kunci atau password. Terkedu, marah atau sedih.

Mana tidaknya, bila pasangan mula merahsiakan kata kunci telefon. Bukan untuk ‘menjaga tepi kain suami atau isteri’ tetapi sekali skala ingin melihat apa yang ada dalam telefon bimbit pasangan. Nak tahu pasangan kita curang atau tidak. kita tengok pandangan daripada Prof Madya Ustaz Hj Mohd Nor Mamat ini.

Ada Sebab Rahsiakan Password

Tidak dinafikan, merahsiakan password  juga membawa kepada menutup kecurangan dan keburukan, takut terkantoi dengan pasangan dan sebagainya.

Banyak sebab lain pasangan patut elakkan daripada mengakses telefon pasangan. Antaranya:

1.Elak salah faham kerana kadang-kadang perbualan sesama lelaki mudah disalah ertikan oleh isteri dan perbualan sesama perempuan yang menimbulkan marah suami.

2.Ada perkara penting untuk disimpan oleh isteri tetapi kurang disukai oleh suami. Begitu juga sebaliknya. Jadi, masing-masing merasakan adalah lebih baik menjadikan telefon mereka private. Jika ada toleransi dan saling memahami, situasi ini tidak akan timbul.

3.Sebenarnya untuk tujuan keselamatan daripada orang lain, tetapi disalah ertikan oleh pasangan.

4.Dalam keadaan tertentu, memang ada kewajaran sesuatu yang sangat rahsia dan lebih baik tidak diketahui oleh pasangan atas sebab tertentu yang wajar.

Oleh itu, tidak perlulah sampai memaksa untuk pasangan menceritakan segalanya, tanpa memikirkan kesan baik atau buruk.

Cara Terbaik!

  • Cara yang terbaik adalah pasangan sama-sama memiliki password
    untuk keselamatan, tetapi juga mesti sama-sama tahu password
    masing-masing.
  • Elakkan dari mencuri-curi melihat telefon pasangan kerana ia boleh menyuburkan rasa curiga.
  • Menetapkan password telefon bukanlah masalah besar, tetapi merahsiakannya daripada pengetahuan pasangan atau bertukar-tukar password untuk mengelirukan pasangan adalah tindakan yang kurang positif.
  • Jika keadaan ini dilakukan, ia mungkin bermula dengan kecurangan yang dilakukan atau mungkin curiga yang keterlaluan daripada pasangan.
  • Elakkan daripada kedua-duanya.

Jangan Kerana Password Jejaskan Kerukunan Rumah Tangga

Berahsia bukanlah bermakna tidak jujur atau menipu. Contohnya, isu telefon peribadi tidak sepatutnya menjadi punca curiga dan saling menyiasat antara satu sama lain. Jangan ada sesuatu yang disembunyikan atau mudah menimbulkan salah faham.

Kepercayaan satu sama lain adalah asas kebahagiaan dalam hubungan dan ia menjadi faktor lebih menghargai dan mudah rasa bersalah melakukan kecurangan kepada pasangan kita.

Isteri kena ambil tahu no pin, kad ATM, password handphone suami, dokumen penting lain.

Tip Buat Pasangan

  • Elakkan berahsia.
  • Elakkan menyelongkar rahsia pasangan.
  • Jangan suburkan rasa curiga kerana ia menguburkan hormat dan kasih sayang
  • Jaga kepercayaan pasangan anda, elakkan kecurangan.
  • Berkongsilah banyak perkara, asalkan tidak membawa kepada salah faham.
  • Elakkan mendengar daripada pihak ketiga atau tekaan tafsiran sendiri kerana mudah hanyut kepada salah faham.
  • Ia boleh hilang sekelip mata, tetapi mungkin bertahun untuk membinanya semula!
Published by
Nora