Kongsi ilmu anak ‘speech delay’ Tasha kurangkan gajet, “akhirnya umur 3 tahun anak sebut ayat lengkap”. Bersyukur ke hadrat Ilahi penyanyi Tasha Mashahar sebelum ini pernah berhadapan dengan situasi anak sulungnya mengalami masalah percakapan atau ‘speech delay’.
Namun dia dan suami Raqib Majib berasa sangat bersyukur apabila kini anak sulungnya Muammar Rafiqi kini berusia tiga tahun boleh menyebut ayat lengkap.
Kongsi Ilmu Anak ‘Speech Delay’ Tasha Kurangkan Gajet
Tasha menerusi perkongsian di akaun Instagramnya telah berkongsi ilmu bermanfaat kepada mak-mak di luar sana yang mengalami masalah yang sama dengan anaknya itu.
Paling utama Tasha menerangkan dia dan suami mengambil langkah dengan mengurangkan penggunaan gajet di rumah.
“There was one time I sgt risau sebab Muammar belum sebut apa-apa perkataan.
“Kalau ikut guideline, Muammar kira lambat jugak bercakap. Pernah masa pergi check up 1y6m, doktor tanya perkataan apa je dia dah sebut. I kata, “takde”. Sebab mmg takde.
“Dia buat bunyi, tp takde perkataan bermakna. Apa mksd perkataan bermakna? Contoh anak sebut “mama” dan mama tu mmg dia tujukan utk ibu dia.
“Bukan semua benda mamamamamama. Tu tak dikira perkataan bermakna. Contoh lain, susu. Contoh dia sebut “shu” walaupun pelat, tp dia sebut bila dia nak susu. Dan kita faham perkataan “shu” tu dia maksudkan susu. Tu dikira perkataan bermakna. Faham kan?
Ads
“Generally, 1y6m anak dah mula sebut beberapa perkataan bermakna. Tp Muammar lgsg takde masa tu. Lg pulak doktor tanya if kitorg nak dia buatkan referral letter ke therapist. As first time mom, tipulah kalau tak risau. Tp at the same time, tak adil utk Muammar kalau I in denial.
“For me, if kita betul syg anak kita, kita patut bg peluang utk dia dptkan bantuan kalau dia mmg perlukan. Itu hak dia. So I discuss dgn Raqib, then we decided utk bg masa sampai dia 2 tahun. Jd dlm tempoh ni kitorg try mcm2 (I share dlm comment section).
Boleh Borak Dengan Rakan & Pandai Menyanyi
“Alhamdulillah, masa umur 2 tahun dah mula ada perkataan bermakna. Kitorg continue lg usaha, and seingat I masa dia nak masuk 2y6m, dia dah boleh gabung 2 – 3 perkataan. Lambat sikit kan? Tp ada progress Alhamdulillah. Ni dah nak masuk 3 tahun Jun 2022, masyaAllah tabarakAllah, dah boleh buat ayat lengkap, dah boleh buat kawan borak, dah pandai nyanyi.
“Ahamdulillah what makes me feel like sharing this is because yesterday I belikan dia nugget, sambil buka box nugget tu dia cakap,
“Banyak ayat lain dia dah ckp tp ayat atas ni sgt random terus I teringat masa I risau dia lambat cakap dulu. Setiap anak progress dia berbeza2. Don’t compare. Tp as parents, do our best to help them, appreciate them sebab sesungguhnya anak-anak ni lah yang ajarkan kita byk perkara ♥️ Semoga anak-anak kita sentiasa dlm lindungan Allah,” kongsi Tasha.
Tip Buat Mak-Mak Semoga Bermanfaat
Apa kitorg buat?
Kurangkan gajet.
Mulakan dgn buat bunyi mcm “waaaahhh”, “o’oooo”, “opsss”, “haaaaa” beserta eksperi wajah.
“Auntie Doakan Muammar Sentiasa Dilindungi Allah Dunia Akhirat”
Menerusi ruangan komen ramai yang mendoakan Muammar dilindungan Allah SWT dan menjadi anak soleh. Malah mereka juga berterima kasih kepada Tasha kerana sudi berkongsi ilmu bermanfaat ini.
Mingguan Wanita : Seronok lihat cara Tasha mendidik anak-anak.
Tiada wanita yang inginkan penceraian berlaku dalam rumahtangga yang dibina. Namun tatkala, rasa cinta semakin hambar, maruah diri dan kehormatan bagai dipijak-pijak serta hilang segala kepercayaan buat insan yang bergelar suami, inilah nokhtah keputusan yang dirasakan paling bahagia.
Semoga perkongsian kisah benar pengalaman hidup oleh seorang wanita bernama Anisah, yang baru sahaja bergelar janda selepas diceraikan suami dengan talak 3 akibat campur tangan keluarga mertua dan kecurangan suami didalam rumahtangga, dapat dijadikan pengajaran buat wanita lain.
Ikuti coretan yang dikongsikan oleh wanita cekal ini.
Assalamualaikum Admin. Terima kasih siarkan cerita ni.
Akhirnya hari ini, Jumaat, 13 April 2018, selepas 7 tahun berkahwin, saya diceraikan dengan talak tiga dan ini lah hari paling bahagia buat saya. 7 tahun bukan tempoh masa yg sekejap, tapi sebenarnya tak cukup untuk perempuan selemah saya.
Sebelum kahwin, suami dan keluarga mertua sangat baik. Ketika bertunang, saya mula nampak sikit-sikit sikap keluarga suami yang tak menyenangkan tapi saya ambil positif, saya anggap tak ada pun manusia sempurna, jadi bersabarlah. Semakin dekat tarikh kahwin, semakin ketara sikap mengawal anak yang ditunjukkan oleh mertua saya tapi saya masih positif, ibu bapa mana tak sayang anak, jadi bersabarlah.
Ujian demi ujian, saya senyum dan beritahu diri sndiri, bersabarlah. Seminggu selepas mendirikan rumah tangga, keluarga mertua sudah rancang nak buat hari keluarga. Saya okay saja, namun tak sangka pada hari nak berlangsung, ayah saya dimasukkan ke wad. Saya minta suami hantar, tapi mertua saya cakap kakak2 awak kan ada. Awak duduk sini sambut hari keluarga, biar mereka yg lain pergi hospital. Suami setuju dgn ibu bapanya. Saya mengalah, malam itu ayah saya meninggal dunia. Yup, saya bodoh.
Kali Pertama Tangan Naik Ke Muka
Tahun kedua perkahwinan, alhamdulillah kami dikurniakan bayi lelaki. Puasa hari ke 28, kami bersiap nak balik ke kampung suami ( setiap tahun raya pertama wajib di rumah ibu bapanya ), ibu saya diserang strok. Saya tak mahu ulang kebodohan lalu, dan saya bertegas untuk hantar ibu ke klinik dan menjaganya, suami masih dengan alasan adik beradik awak yang lain boleh jaga. Saya berkeras, dan itulah kali pertama tangannya naik ke muka saya. Akhirnya saya mengalah kerana takut. Sebulan lebih selepas itu ibu saya pula meninggal dunia dan adik beradik memulaukan saya atas tindakan saya yang mengikut suami dan keluarganya sepanjang masa. Masih saya diam. Yup, saya bodoh.
Pada Januari 2014, usia anak kami 2 tahun, adik suami saya berkahwin dengan wanita pilihannya, lulusan ijazah kejuruteraan, bermulalah episod telinga saya berdarah dengan segala macam cemuhan, sindiran dan perbandingan. Menantu baru diangkat setinggi tingginya. Saya yang lulusan STPM hanya tersenyum sambil mendukung anak, tiap kali dibandingkan dari segi akademik. Saya masih sabar dan menganggap mereka masih keluarga suami yg mesti dihormati. Yup, saya bodoh.
Mohon Melanjutkan Pelajaran
2015, saya memohon melanjutkan ijazah di UiTM Shah Alam, secara jarak jauh. Kelas hanya pada hari minggu. Alhamdulillah, permohonan berjaya. Suami agak keberatan dan meminta saya bertanya pada ibunya. (Dalam hati terdetik, apa kena mengena ibunya dengsn saya nak melanjutkan pelajaran?) dan bila suami lihat saya seperti berat mengikut katanya, dia sendiri hubungi ibunya, membuat loud speaker dan meminta pendapat.
Jelas dan terang ayat ibunya, ”Hai, nak bersaing tahap akademik dengan biras ke?” Saya tetap berkeras. Walau saya takut-takut ditampar lagi, dikongkong lagi, saya juga takut sekiranya diceraikan (ibu bapa saya dah tak ada, adik beradik pula dah benci), saya sebatang kara. Kawan kawan juga dah renggang selepas saya berkahwin. Akhirnya suami beri kata putus, “Kalau awak nak sangat, yuran bayar sendiri.” saya akur.
Bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar, pekerja, isteri, ibu, dan menantu. Walaupun anak saya baru berusia 3 tahun lebih waktu itu, dia seperti mengerti kesibukan saya. Amar anak yang baik dan tak buat perangai sangat. Pada waktu saya rasa satu dunia menentang saya, saya lihat wajah Amar dan saya tenang. Saya masih ada Amar, satu satunya manusia di dunia yang masih sayangkan saya dan hormat saya. Berulang alik ke Shah Alam menaiki bas, terpaksa bayar lebih kepada pengasuh kerana hantar Amar bukan pada hari bekerja, yuran belajar, tiket pergi balik, semuanya duit saya. Saya gagahkan diri. Saya kuatkan diri bukan untuk masa depan saya, tapi masa depan Amar.
Suami Ada Perempuan Lain
Tahun 2016, terdengar ura-ura suami saya nak kahwin lagi satu. Saya tersentak, tapi saya pegang pada prinsip, selagi bukan dari mulutnya, maka saya akan abaikan. Sampai lah satu malam selepas tidurkan Amar, saya sedang menyiapkan assignment, dan suami cakap nak berbincang. Saya dapat rasa jantung saya berdegup sangat laju, tangan saya yang pegang pen terasa berpeluh dan menggeletar. Dan ya, dia beritahu sedang berkawan dengan perempuan lain. Saya tanya, sejak bila. Dia beritahu sudah 1 tahun.
Patutlah, dia tak kisah sangat saya ke Shah Alam, rupanya dia pun boleh dating dengan perempuan itu kerana Amar di rumah pengasuh. Tapi dia menyambung ayat “Awak jangan risau, saya belum nak kahwin dengan dia. Kami hanya berkawan. Kalau nak kahwin pun saya tak perlu minta izin awak. Tapi saya ni lelaki yang berani, jadi saya jujurlah dengan awak” Mendengar ayat ini, saya senyum dan tanya, “habis bila abang nak kawin dengan dia?” Dia jawab, “tahun depan?” Saya angguk. Saya kemaskan buku dan laptop, dan masuk tidur.
Pada jam 4 pagi, saya terjaga. Suami nyenyak tidur. Saya bangun dan solat sunat. Saya ke bilik sebelah dan tengok Amar. Saya peluk Amar dan menangis sepuas puasnya sehingga Amar terjaga tapi masih mamai. Satu ayat keluar dari mulut Amar yg mengubah hidup saya. Amar, anak yang baru berusia 4 tahun itu, dalam keadaan mamai, berkata pada saya: “Mak, Amar tak suka Babah.” Dan dia sambung tidur.
Mula Lakukan Perubahan Dalam Hidup
Selepas itu saya renung wajah Amar. Entah apa jadi pada saya malam itu, saya rasa saya bukan lagi perempuan yg sama. Saya rasa satu perubahan di hati saya. Di bilik Amar, sehingga ke subuh saya menimbang tara, menyusun hidup, dan membuat pilihan. Akhirnya saya nekad dengan satu keputusan terbesar dalam hidup.
Esoknya saya ke tempat kerja, saya tanya pada rakan sepejabat, ada tak apa-apa kerja part time yang boleh saya buat di rumah. Dia kata boleh kalau tolong isikan borang poslaju (dia berniaga online) dan saya bersetuju. Memang bayaran sikit, tapi dalam sebulan, lepas untuk keperluan susu Amar (update: suami tak pernah hulur nafkah keperluan saya dan Amar kerana dia tahu saya bekerja , melainkan bil-bil rumah, barang nak masak dan sewa rumah, kerana ibunya kata adik adiknya ada yang bersekolah, jadi dia yang sulung mesti bantu.)
Saya mula pergi kelas tiap-tiap minggu, sebelum itu saya pergi selang dua minggu, saya ambil subjek sehingga maximum credit hours, saya crampkan jadual saya sehabis habisnya, kerana saya nak cepat habis belajar. Saya buat kerja part time itu ini. Saya menyimpan di tabung haji. Sampai lah badan saya yang agak gempal beransur kurus. Suami masih mabuk bercinta, tapi tak apa. Misi terulung saya harus dilaksanakan.
Fokus Pada Misi
Dengan duit simpanan, saya keluarkan RM3800, saya beli kereta kancil 2nd hand. Suami tanya kereta siapa, saya jawab sayalah. Dia tanya kenapa beli, saya cakap mudah ke kelas, abang tak nak hantarkan saya, saya pun letih naik bas, saya belilah. Dia mungkin rasa tercabar (sebab saya tak pernah buat keputusan sendri tanpa tanya dia) lalu menendang sikit tayar kereta saya sambil berkata “kancil je pun.. besi buruk atas highway”. Tak apa, saya senyum. Fokus pada misi…misi..misi…
Di tempat kerja, saya tanya ada tak yang nak sewakan bilik. Alhamdulillah, ada sorang staff baru, dia nak sewakan bilik tapi dia pelik, untuk siapa sebab saya dah berkahwin. Jadi saya jawab, kalau saya dan anak saya, cuma untuk sementara, boleh? Dia okay.
Setiap malam, saya mengira bajet. Saya mencongak, menyusun masa depan. Badan semakin susut. Baju baju zaman bujang semua boleh pakai balik.
Suami Ditangkap Khalwat
Akhirnya, November 2017, Amar berusia 5 tahun, saya dikejutkan berita suami ditangkap khalwat. Saya masih senyum, keluarga suami sangat mempercayai bahawa dia dianiaya. Dan mereka menerima perempuan itu jika mahu berkahwin kerana perempuan itu seorang eksekutif yang bergaji besar. Ibu mertua siap berkata “Kena redha lah dimadukan. Orang suruh jaga suami, pulun nak sambung belajar.” Saya senyum. Fikirkan misi…misi…misi….
Disember 2017 mereka dikahwinkan. Saya waktu itu sibuk dengan persediaan final exam UiTM yang akan berlangsung Januari 2018. Selepas berkahwin baru, suami memang makin tak ambil tahu hal saya dan Amar. Tak apa, bila dia tak ada dirumah, saya senang menguruskan kerja part time dan Amar. Selesai peperiksaan akhir, suami ajak saya tinggal bersama dengan madu dirumah madu. Kerana dia dah tak mampu bayar sewa rumah yang diduduki saya waktu itu.
Saya menolak dengan baik dan dia kata ” kau pandai-pandai cari rumah lain, aku takkan bayar sewa rumah ni dah. Duit depo pun aku akan dapat bulan depan. barang-barang perabot aku nak pindahkan kat umah madu kau esok”. Saya hanya menjawab, “OK.”
Dijatuhkan Talak 3
Malam itu, saya kemas baju-baju dan barang keperluan yang penting untuk saya dan Amar. Dia tanya nak kemana hoi? Saya jawab, ke rumah sewa baru. Dia dengan mata terbeliak, berkata “kau keluar dari rumah ni malam ni, jatuh talak tiga” Saya dengan senyuman yang sangat bangga, mengambil barang-barang, Amar, dan kunci kereta. Saya terus ke rumah yang saya nak sewa bilik dengan rakan sekerja tu.
Selepas itu bertalu-talu whatsapp masuk handphone saya;
“Hoi, mana rak dalam bilik?” “Perempuan setan, kau ambil iron dan iron board?” “Betina, kenapa barang rumah banyak yang tak ada?”
Saya jawab dengan balasan ringkas, “Saya ambil semua yang saya beli dengan duit sendiri, jumpa di mahkamah.”
Sebenarnya sepanjang dia mabuk bercinta, saya persiapkan diri untuk berdikari. Saya beranikan diri memandu jauh. Saya tawakkal beli kereta 2nd hand( alhamdulillah kancil tu terbaik hahahahaha), dan lepas dia kahwin baru dan jarang balik tu, saya pindahkan sikit-sikit perabot dengan bantuan rakan pejabat.
Hari ini, selesailah urusan mahkamah selepas dua bulan lebih talak tiga dijatuhkan di rumah itu. Saya akhirnya seorang janda tapi saya janda yang sangat bahagia. Saya dah bersedia menjadi janda, physically and mentally. Financially too.
Sekarang saya nak tumpu pada Amar, dan nak cari balik adik beradik dan kawan-kawan dulu yang saya tinggalkan untuk minta maaf atas kebodohan saya. doakan saya ya.
-Anisah
Buat wanita ini, sesungguhnya anda memang seorang wanita yang kuat, cekal dan tabah! Bukan mudah untuk bangkit, membina benteng kekuatan diri untuk persiapan masa depan. Namun anda berjaya membuktikannya dan tidak mengharap simpati daripada bekas suami.
Buat wanita lain, yang mungkin senasib dan sama perjalanan seperti wanita ini, Jadikan kisah ini sebagai satu pengajaran. Berani lah untuk ‘melangkah’ lebih jauh. Sentiasalah bersedia, persiapkan diri dengan ilmu, kewangan, kerjaya dan paling penting mampu berdikari walaupun tanpa insan yang bernama suami.
Tak sangka pelakon dan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz ditahan kerana didakwa memukul isterinya di sebuah pusat hiburan di Cheras, petang semalam.
Kalau ikutkan sumber yang ditular, isteri Aliff, Dayang Nabelah, 23, telah pergi ke premis hiburan tersebut bersama ibunya kira-kira jam 4.30 petang untuk mencari suaminya.
Namun jadi panas apabila tiba di sana, Nabelah tengok suaminya bersama wanita lain dalam sebuah bilik karaoke dan mengambil gambar mereka sebelum berlaku pertengkaran mulut antara pasangan suami isteri itu.
Aliff yang berang dengan tindakan Nabella telah merampas telefon bimbit isterinya itu dan memadam gambar bukti diambil sebelum mencampakkan telefon ke arah mangsa.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, berkata kejadian mengakibatkan mangsa luka di muka dan lutut akibat dipukul, selain mendakwa ditolak dengan siku oleh suaminya.
“Selepas kejadian, artis terbabit meninggalkan pusat hiburan berkenaan bersama wanita di bilik berkenaan dan meninggalkan isterinya sendirian yang menahan kesakitan.
“Mangsa menerima rawatan pesakit luar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan tampil membuat laporan polis selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga November tahun lalu dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia 20 hari.
Susulan laporan itu, artis berkenaan ditahan pada jam 2.30 pagi tadi di Jalan Peel, Cheras dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah tangga (KRT) 1994.
Psstt: Wanita yang dimaksudkan bersama Aliff itu ialah seorang artis baharu. Katanya baru selesai menjalani penggambaran drama sebelum singgah di pusat hiburan tersebut. Hmm… Agak sedih bila berlaku macam ini, moga masalah rumah tangga ini boleh selesai dengan cara yang lebih ‘manis’.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sesungguhnya ajal dan maut itu adalah ketentuan tuhan. Bagaimana dan dimana kejadiannya semuanya telah tertulis oleh yang Maha Esa. Mungkin hanya satu kebetulan, namun adakalanya setiap perkara yang berlaku itu merupakan satu petanda meninggalkan dunia yang sementara ini.
“Arwah sebelum ini bertanyakan maksud namanya… lepas itu tanya pula nama malaikat maut, selain syurga dan neraka,” kata Sharifah A Rahim, 35, ibu kepada kanak-kanak yang maut dihempap tiang elektrik semalam.
Dalam kejadian di Kampung Belukar dekat Jalan Kampung Darat, Changlun, Muhammad Aqil Wafiq Ruslizan, 10, meninggal dunia, manakala dua lagi rakannya cedera selepas longgokan tiang elektrik jatuh menghempap mereka ketika bermain di situ.
Petanda Arwah Meninggalkan Keluarga
Sharifah berkata, dia tidak menyangka pertanyaan Muhammad Aqil Wafiq menjadi petanda yang arwah akan meninggalkannya serta keluarga untuk selama-lamanya.
Menurutnya, ketika pertanyaan itu diajukan, dia sempat berpesan pada arwah agar belajar rajin-rajin seperti maksud namanya iaitu bijak dan terpelajar.
“Saya terkejut dengan apa yang berlaku kerana kejadian berlaku hanya 50 meter dari rumah neneknya (Zaiton Abu, 64).
“Arwah mungkin ikut kawan-kawan main kerana sebelum ini dia tak pernah ke situ (longgokan tiang),” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.
Difahamkan rakan arwah, Wan Aliff Danish Abdullah, 10, masih kritikal dan seorang lagi yang berusia 11 tahun masih dirawat di Hospital Jitra.
Sharifah berkata, dia reda dengan pemergian anak kedua daripada tiga beradik itu, meskipun kini hanya tinggal seorang sahaja anak selepas kakak Muhammad Aqil Wafiq meninggal dunia ketika berusia empat minggu.
Longgokan Tiang Sejak Aidilfitri
Dakwanya, longgokan tiang elektrik sudah berada di kawasan berkenaan sejak sebelum Aidilfitri lalu dan dia sempat mendengar bunyi kuat ketika kejadian berlaku.
“Memang boleh nampak tiang itu dari rumah mak dan tiang itu pula ditahan (daripada bergerak) dengan kayu sahaja.
“Ketika bunyi kuat itu, saya syak ada benda buruk berlaku tapi tak sangka rupanya anak saya terhempap dan meninggal dunia,” katanya yang memberitahu jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Berona Kanan, Jeniang.
Murid Yang Baik & Rajin
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Dato Wan Kemara, Changlun, Mohd Nizam Saidin berkata, pihak sekolah terkejut dengan kejadian yang menimpa dua daripada muridnya.
Katanya, mereka turut berdukacita dengan kejadian berlaku memandangkan kedua-dua murid itu baik dan rajin di sekolah.
“Kami mengadakan bacaan Yasin untuk arwah dan seorang lagi murid yang masih dirawat di hospital, selain mengadakan kutipan untuk bantuan buat keluarga mereka,” katanya.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.