Rasanya rata-rata pasangan suami isteri lebih suka menyediakan satu akaun bersama untuk kegunaan perbelanjaan dalam urusan rumah tangga. Ini membuktikan suami isteri bersama-sama menyumbang dalam perbelanjaan melalui simpanan tersebut. Paling penting, dengan adanya akaun bersama, suami isteri menunjukkan mereka saling mempercayai dalam setiap pengeluaran wang.
Walau bagaimanapun, ada juga suami isteri yang memikirkan adalah lebih baik tidak dikongsi. Biarkan duit isteri itu untuk perbelanjaannya dan urusan rumah tangga dikeluarkan duit suami sepenuhnya. Beruntungnya isteri.
Menurut Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM), suami isteri yang mempunyai akaun bersama ada baik dan buruknya. Dari segi baiknya, pasangan suami isteri akan terasa bersama, mengurangkan jurang prasangka dan tidak timbul rasa puas hati terhadap pasangan kerana pergerakan kewangan boleh diketahui bersama-sama.
Cara ini akan membuatkan suami merasa dihormati (apabila isteri diberi kebenaran bekerja) memberikan hasil pendapatan untuk membantu kegunaan keluarga. Namun, dari sudut hukumnya, harta isteri adalah hak isteri tetapi tidak mustahil ada juga isu seorang isteri bekerja tetapi tidak membantu keluarga sehinggakan suami merasa tidak dihormati.
“Jika ingin mengasingkan, biarlah cadangan daripada suami kerana ia boleh menampakkan keunggulan dirinya yang tidak memerlukan wang isteri dalam menyara keluarga. Dalam erti kata lain, keduanya perlu bertoleransi dan menghormati antara satu sama lain,” jelasnya.
Tidak dinafikan, ada sesetengah suami yang mengambil kesempatan daripada isteri yang berpendapatan lebih tinggi. Adalah tidak adil untuk suami mengambil kesemua pendapatan isteri untuk digunakan sebagai perbelanjaan yang menjadi tanggungjawab dirinya.
“Dalam pemilihan akaun simpannan bersama, sebaiknya pilihlah simpanan yang tidak memberikan bunga atua riba. Elakkan daripada harta atau pengurusan harta yang tidak halal kerana kita perlu memikirkan tentang rezeki membesarkan anak-anak,” terang beliau lagi
Untuk pasangan suami isteri yang berhasrat membuka akaun bersama, lakukan. Ini kerana ia menampakkan kesatuan hati dan kepercayaan satu sama lain. Jika sekalipun akaun berlainan, biarlah pasangan itu saling telus, berkongsi atau berbincang bersama.
“Elakkan daripada kita menjadi terlalu berkira dan syak wasangka. Sebolehnya, semaikan rasa percaya pada pasangan anda dan sentiasa telus tentang kewangan dengan pasangan. Insya Allah, suami isteri akan jadi lebih terbuka untuk memikirkan tentang kepentingan masa depan bersama,” nasihat Prof.