Walau di zaman moden sekali pun, konflik mentua menantu tetap jadi isu yang tak pernah habis dibincangkan. Punyalah susah nak selesaikan, kerana konflik ini bukan sekadar melibatkan fizikal tapi jiwa dan raga dipertaruhkan.
Suami tersepit di tengah-tengah. Mahu lebihkan isteri, mak terasa. Nak dilebihkan mak, isteri pula merajuk berhari-hari.
Sebaliknya, dia sebagai orang tengah akan memainkan peranannya dengan baik. Sebaik anak yang taat dan suami yang sayangkan isteri dan setia.
Ketiga-tiganya nanti akan dapat manfaat. Sayangnya ramai yang tak ambil pendekatan itu. Tak nak kusut punya pasal, salah satu dilepaskan.
Jika isteri dipilih, sanggup menjauh dari mak ayah sendiri. Pandai-pandailah adik beradik lain pujuk mak ayah. Sebaliknya, mak ayah jadi pilihan, maka berkorban kasihlah pasangan suami isteri itu.
Sebelum melarat teruk, nah! Mingguan Wanita kongsikan tip ambil jalan tengah yang adil untuk kedua-dua belah pihak.
Ads
1. Suami Jangan Jadi Boneka
Kalau isteri mengadu tak puas hati pasal mak mentua. Dengar dulu ceritanya, tapis mana yang patut kau nasihatkan isteri itu.
Cara berbaik dengan mak. Lagipun, suami kan dah hidup lama dengan mak. Tentu dia tahu mana yang mak suka dan tak suka.
Jelaskan dengan isteri. Jangan pula kau ikut saja kehendak isteri. Dan jangan kau paksa pulak isteri tu ikut apa yang mak mentua mahu jam jam tu jugak.
Isteri pun orang, ada emosi, ada rasa.. beri dia masa untuk sesuaikan diri. Jangan sampai isteri tu makan hati baru kau nak pulihkan keadaan salah tu.
2. Jadilah ‘Orang Tengah’ Yang Adil
Bila mak kau cerita betapa dia berbulu tengok menantu yang dia tak berkenan tu, kau sebagai suami.. diam dulu. Dengar, hadam baik-baik.
Ads
Terangkan dekat mak betapa isteri tu sebenarnya tak seperti yang dibayangkan mak sendiri.
Teranglah background isteri tu macam mana. Dan tak semua anak-anak dibesarkan dengan cara yang sama. Masing-masing, ikut cara didikan mak ayah masing-masing juga akhirnya.
Bila dah berkahwin, berdepan dengan keluarga mentua.. barulah didikan itu di ‘blend’. Mana yang baik ambil, yang kurang sesuai tapis buang. Itu pun jika ada inisiatif untuk ‘blend’. Syaratnya jangan dipaksa ya. Biarlah perubahan itu dilakukan dengan ikhlas.
Mungkin picit ubat gigi dari atas tu normal untuk isteri dan ahli keluarganya. Sebaliknya janggal bagi mak dan ayah yang membesarkan anda.
Tapi benda boleh bincangkan. Teranglah sejelasnya. Mintalah mak ayah berdamai dengan takdir dan jodoh pilihan anaknya itu.
Jangan didesak-desak.
Ads
Kalau melibatkan kewangan pun begitu. Misal kata anak dah tak lagi memberi seperti sebelumnya, fahamlah yang anak kini sudah berkeluarga.
Berilah dia masa.
Dan kalau disindir mak ayah sendiri. Cepat-cepatlah, pujuk mak ayah dengan cara paling halus. Belanja mak ayah saja keluar makan ke. Dan dari situ ceritalah situasi anda dan isteri. Mohon pengertian mereka.
Ada sesetengah mak ayah ni kadang mereka terlalu sayang dengan anaknya, sampai susah nak terima hakikat yang anaknya itu dah jadi milik orang lain juga.
Jadi, gunalah kuasa memujuk sebagai anak untuk berlaku adil.
Memang hal ini tak semudah menulis dan membaca. Nak praktikkan tu pun ya ampun.. Apa pun ketika dilanda masalah sebegini, dekat-dekatkanlah diri padaNya.
Doakanlah ibu dan isteri anda agar kedua-duanya dapat bersatu hati dan berdamai menerima takdir masing-masing.
Jangan kerana tidak tahan dengan kerenah yang ditimbulkan, akhirnya isteri makan hati. Dan jalan perpisahan jadi pilihan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Orang ketiga punca rumah tangga runtuh, cetus konflik hingga jejas hubungan suami isteri. Kehidupan rumah tangga sepatutnya menjadi tempat di mana kasih sayang, kepercayaan, dan kesetiaan antara pasangan suami isteri dipupuk dan dipelihara.
Namun, dalam realiti kehidupan, tidak semua hubungan perkahwinan dapat bertahan dengan utuh. Salah satu punca utama yang sering menyebabkan keruntuhan rumah tangga adalah kehadiran orang ketiga.
Orang ketiga merujuk kepada individu luar yang mengganggu keharmonian sesebuah perkahwinan, sama ada secara sedar atau tidak sedar. Kehadiran orang ketiga ini boleh membawa kepada pelbagai konflik dan masalah yang akhirnya menjejaskan hubungan suami isteri.
Antara faktor yang menyebabkan kehadiran orang ketiga termasuklah:
Kurangnya Komunikasi
Komunikasi yang tidak berkesan antara suami isteri boleh membuka ruang untuk orang ketiga masuk. Apabila pasangan tidak lagi berkongsi perasaan, masalah, atau kebimbangan, mereka mungkin mencari pendengar lain di luar perkahwinan. Ini boleh membawa kepada perasaan keterikatan emosi dengan orang ketiga tersebut.
Kurangnya Perhatian dan Kasih Sayang
Setiap individu dalam perkahwinan memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada pasangannya. Apabila salah seorang merasa diabaikan atau tidak dihargai, mereka mungkin mencari perhatian dan penghargaan daripada orang lain. Ini boleh membuka pintu kepada hubungan sulit yang merosakkan rumah tangga.
Masalah Kewangan
Tekanan kewangan sering menjadi punca kepada pertengkaran dalam perkahwinan. Apabila masalah kewangan tidak ditangani dengan baik, ia boleh menyebabkan ketegangan dan kekecewaan yang seterusnya membuka peluang kepada orang ketiga untuk masuk dan memberikan sokongan emosi yang diperlukan.
Perbezaan Nilai dan Matlamat Hidup
Setiap individu mempunyai nilai dan matlamat hidup yang berbeza. Apabila pasangan suami isteri tidak lagi sehaluan dalam mencapai matlamat hidup mereka, perbezaan ini boleh menyebabkan perasaan tidak puas hati. Orang ketiga yang berkongsi nilai dan matlamat yang sama dengan salah seorang pasangan boleh menjadi daya tarikan yang kuat.
Media Sosial dan Teknologi
Kemajuan teknologi dan penggunaan media sosial telah memudahkan komunikasi dengan orang luar. Hubungan yang bermula dengan perbualan yang nampak tidak berbahaya di media sosial boleh berkembang menjadi hubungan yang lebih intim dan akhirnya menjejaskan perkahwinan.
Memetik laporan Berita Harian, Peguam syariah, Nurul Izzah Zainol, berkata faktor usia tidak menentukan berlaku perceraian, berikutan punca terlerai ikatan boleh terjadi disebabkan berapa lama tempoh perkahwinan ditempuhi mereka.
“Memang diakui satu-satu masa trend menunjukkan pasangan muda bercerai, namun pada satu ketika, pasangan berkahwin dengan tempoh 20, 30 bahkan 50 tahun pula mahu berpisah, kerana perubahan didambakan bertahun-tahun terhadap pasangan tidak menjadi kenyataan.
“Sebagai contoh, anak guam saya berusia 70 tahun mahu bercerai, kerana masing-masing tiada lagi ruang kesefahaman, walaupun sudah membina rumah tangga lebih 50 tahun.
“Hal ini membuktikan usia bukan faktor penentuan sama terus bertahan atau berpisah, kerana perceraian dipilih apabila seseorang itu dicurangi, tidak diberi nafkah, dicederakan hingga tiba satu masa, mereka bertekad memfailkan perceraian kerana tidak mampu lagi bertahan,” katanya.
Beliau berkata, ramai pasangan memilih pendekatan untuk bertahan walaupun dari awal perkahwinan dirinya dipukul, dibiarkan menanggung sepenuhnya beban kewangan tetapi masih tidak mahu mengambil keputusan berpisah demi masa depan anak-anak.
“Wanita seolah-olah imun (kebal) walaupun mereka dikasari namun sampai satu masa, kesabaran sampai kemuncaknya, mereka mula sedar kembali bujang lebih menjanjikan kehidupan bahagia.
“Sebab itu perceraian tidak berlaku secara tiba-tiba hanya kerana dicurangi, tetapi disebabkan faktor lain seperti wujudnya parasit atau peranan yang tidak seimbang antara pasangan, memaksa golongan wanita perlu bekerja keras berikutan semua beban ditanggungnya sendirian,” katanya.
Namun, menurut Nurul Izzah, persepsi ramai apabila seseorang itu merujuk masalah rumah tangga kepada peguam, hubungan itu pasti berakhir perceraian, adalah kurang tepat.
“Sebenarnya kita bukan bulat-bulat mengusulkan perceraian, tetapi peguam menasihatkan anak guam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan haknya untuk bercerai. Pilihan menggunakan haknya di sisi undang-undang atau tidak adalah atas individu itu.
“Peguam berperanan memberikan maklumat undang-undang misalnya, tiga bulan tidak diberi nafkah, wanita ada hak mohon cerai fasakh dan jika empat bulan tidak diberi nafkah, boleh memohon cerai ta’liq.
“Bagaimanapun, intervensi guaman biasanya menjadi penyelesaian terakhir selepas segala usaha tidak membuahkan hasil contohnya berkaitan isu nafkah, ada wanita hingga ke peringkat menderita tekanan mental.
“Jadi kita memberi saranan sepatutnya seperti tiga bulan tidak diberi nafkah, wanita ada hak memohon cerai, khidmat guaman adalah penyelesaian terakhir selepas segala usaha tidak membuahkan hasil,” katanya.
Beliau berkata, perkahwinan sepatutnya kedua-dua pihak mendapat manfaat yang lebih dan ikatan itu sewajarnya lebih memperbaiki banyak keperluan dan gaya hidup serta mempertingkatkan potensi, kecemerlangan, karier dan kewangan lebih baik.
“Itu tujuan perkahwinan. Bagi saya, apabila perkahwinan itu tidak mencapai matlamat daripada pelbagai sudut dan berlaku kepincangan, maksiat, maka matlamat perkahwinan sudah tidak lagi tercapai.
“Justeru, penyelesaiannya adalah perceraian, apabila perkahwinan tidak lagi menjadi ladang pahala, bahkan lebih banyak kemungkaran dan dosa, kualiti hidup juga tidak semakin membaik. Apa lagi yang ditunggu?
“Perkahwinan tidak seharusnya memandulkan potensi dan produktiviti setiap orang. Jika kita dimandulkan oleh perkahwinan sehingga tidak memberikan perubahan yang positif kepada diri dan masyarakat, itu bukan perkahwinan yang dimahukan dalam Islam.
“Jadi asas kita untuk menilai wajarkan sebuah perkahwinan itu dipertahankan adalah dengan melihat apa nilai positif dan negatif yg wujud daripada perkahwinan itu.
“Sekiranya lebih banyak mudarat berbanding kebaikan, maka perpisahan adalah jalan yang terbaik,” katanya
Keruntuhan rumah tangga akibat kehadiran orang ketiga adalah sesuatu yang menyedihkan dan sering meninggalkan kesan yang mendalam kepada pasangan suami isteri serta anak-anak.
Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, pasangan perlu sentiasa menjaga komunikasi yang baik, memberikan perhatian dan kasih sayang yang mencukupi, serta berusaha untuk memahami dan menghargai satu sama lain.
Kesetiaan dan kepercayaan adalah asas yang kukuh dalam sesebuah perkahwinan. Dengan berpegang kepada nilai-nilai ini, pasangan boleh mengharungi cabaran dan dugaan dalam perkahwinan dengan lebih berkesan, sekaligus mengelakkan kehadiran orang ketiga yang boleh meruntuhkan rumah tangga mereka.
Hidup manusia tidak lari daripada masalah setiap hari. Tidak kiralah masalah kecil atau besar, setiap masalah perlu diselesaikan dengan baik.
Jika sendiri kurang pasti akan sesuatu perkara, carilah orang terdekat yang pernah berdepan dengan masalah yang sama. Atau mencari orang yang lebih pakar akan masalah yang dilalui.
Oleh itu, jika berdepan dengan sesuatu amsalah carilah orang yang tepat untuk beri pandean, bukannya penambah masalah sedia ada. Ikuti perkongsian Peguam Syarie ini, Puan Rabiatul Adawiyah Ramli dan hadam penjelasannya:
Jika Berdepan Masalah Carilah Orang Yang Tepat Beri Panduan
Saya cadangkan jika ada sesuatu perkara atau masalah nak diluahkan carilah seseorang yang benar-benar ingin memberi panduan keluar dari masalah bukan yang tambahkan lagi masalah.
Sebagai contoh :
1. Jika anda ada masalah kesihatan gout contohnya, carilah kenalan yang telah atau sedang mempunyai masalah yang sama kerana potensi untuk sama-sama pulih itu tinggi kerana masing-masing sedang mencari ubat atau penawar yang terbaik. Dalam masa yang sama carilah Doktor Perubatan yang bertauliah.
2. Jika anda mempunyai masalah atau buntu ingin buat pembelian rumah atau kereta. Carilah kenalan yang dahulunya pernah atau sedang mempunyai masalah yang sama.
Potensi yang tinggi untuk dapatkan cara pembelian dan agensi pembelian yang terbaik kerana masing-masing akan bertukar fikiran untuk dapatkan manfaat yang terbaik.
Carilah Kenalan Yang Ada Pengetahuan
3. Jika anda tidak pandai memasak, carilah rakan atau kenalan yang dalam pengetahuan anda juga tidak pandai memasak tetapi sedang cuba belajar memasak, kerana potensi untuk anda pandai memasak amatlah tinggi kerana masing-masing mempunyai matlamat yang sama iaitu ingin pandai memasak.
4. Begitu juga jika anda mempunyai masalah rumah tangga, masalah dengan isteri, masalah dengan suami, masalah untuk didik anak-anak.
Maka carilah kenalan atau rakan-rakan juga keluarga yang mungkin atau sedang atau telahpun menghadapi masalah,masalah tersebut untuk bantu anda.
Kerana potensi untuk anda dapatkan petunjuk atau nasihat adalah jauh lebih baik dari mendapatkan nasihat dari yang tidak atau tiada pengalaman dengan rencah berkeluarga.
Bukannya Mencari Penambah Masalah
Kesimpulannya adalah. Carilah yang mempunyai pengalaman sama ada pengalaman yang dilaluinya sendiri atau yang mempunyai kepakaran dalam keadaan-keadaan tertentu.
Kerana tidak ada mana-mana manusia yang mana telah diduga dengan ujian yang perit inginkan perkara yang sama berlaku kepada kenalan mahupun saudara-mara terdekat. Masing-masing pasti inginkan yang terbaik.
Walau apa keadaan anda sekalipun, mohonlah pada Allah S.W.T agar temukan anda dengan orang yang tepat untuk meluah rasa, meluah masalah, mengadu dan sebagainya. Kerana hanya kepada Dialah sebaik-baik tempat mengadu dan meluah rasa.
Laluilah setiap saat ujian dan dugaan dengan senyuman. Sesungguhnya Allah tidak akan membebani sesuatu perkara pada hamba-Nya yang tidak mampu. Anda diuji? Hadapi ia dengan tenang kerana andalah manusia pilihan SYURGAWI.
MW: Selain bergantung pada sesama manusia, mak ayah kembalilah pada Allah dan memohon petunjuk dari-Nya apabila berdepan dengan masalah. Insyallah Allah akan mempermudahkan urusan mak,ayah.
Ujian untuk mak ayah yang berpisah selain pembahagian harta dan nafkah, adalah hak penjagaan anak-anak. Ada yang sampai turun naik mahkamah bertahun-tahun sebab nak dapatkan hak jagaan anak-anak.
Sudahnya, tanpa sedar proses itu bukan memberi kesenangan pada mak ayah, sebaliknya beri kesan emosi yang mendalam pada anak-anak yang sedang meningkat dewasa.
Tak mahu hal sebegini terjadi pada anak, Ariff Ismail pilih jalan berdamai dengan bekas isteri. Masing-masing turunkan ego kerana perasaan anak lebih utama lagi. Dan inilah yang pasangan berpisah ini telah lakukan.
Bila Giliran Ayah Jaga Anak
Macam ni la hidup saya sebagai duda bekerjaya, nak tak nak turn saya jaga anak tetap kena jaga. Nasib la buat “business ” sendiri, boleh angkut anak sekali jumpa client.
Saya dan bekas isteri setuju untuk sistem giliran jaga anak, kami ambil langkah, “anak ada hak dengan ayah dan umi “.
Kami tak memilih untuk naik turun mahkamah tuntut hak penjagaan anak.
Yang berpisah kami, yang tidak sefahaman kami bukan anak. Oleh itu kami memang amal kan sistem giliran untuk jaga anak tunggal kami.
Alhamdulillah sudah hampir setahun kami amalkan begini.
Tak Ada Alasan Lepaskan Tanggungjawab Pada Bekas Isteri
Anak pun mulai faham, sentiasa beri kerjasama. Tiada alasan bagi saya untuk lepas kan tangungjawab jaga anak 100% pada bekas isteri.
Macam mana dia jaga anak, begitu juga saya.
Jadi anak pon tetap rapat dengan umi dan ayah. Membesar dengan kasih sayang umi dan ayah walau pada hakikat umi dan ayah dah tak duduk serumah.
Kita ni bila fikir anak lebih dari ego kita atau diri kita, tak kan jadi masalah bergaduh naik turun mahkamah nak rebut hak penjagaan anak.
Berebut Hak Jagaan, Emosi Anak Pun Terganggu Sama
Bila kita duk berebut, emosi anak pon akan terganggu.
Perkembangan pembesaran anak akan terganggu bila berlaku pergaduhan atau perebutan hak penjagaan anak. Kita kahwin dulu boleh bincang elok elok, dah bercerai pon lakukan perkara sama.
In sha Allah anak akan dapat kasih sayang kedua ibu bapa.
MW : Banyak benarnya, ego masing-masing itulah yang buatkan masing-masing sukar beralah. Semoga tuhan lebih melembutkan hati kita yang diuji ini.