Banyak Punca Perceraian, Hal Remeh Pun Boleh Jadi Sebab!

Share

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan perceraian Orang Islam yang direkodkan pada 2017 adalah 39,709. Ada sedikit penurunan, 3.0 peratus berbanding 41,030 (2016).

Walaupun ada penurunan jumlah perceraian, tetapi sudah tentu data ini sangat membimbangkan kerana boleh menjadi pemula tindak balas berantai kepada banyak masalah sosial yang lain.

Bukan Hanya Masalah Komunikasi

Banyak kajian dan analisa yang menunjukkan bahawa masalah komunikasi menduduki tempat teratas yang menyebabkan perceraian ini tetapi ada banyak faktor lain yang tidak boleh diketepikan.

Dalam setiap apa yang kita lakukan, kita memerlukan satu niat yang betul. Kenapa anda berkahwin dengan pasangan anda dulu? Adakah betul-betul ikhlas mahu mencari reda Allah atau kerana panik sebab rakan-rakan semua sudah ada suami dan anak?

Anda Dan Dia Tak Sama

Anda tahu bagaimana orang panik berfikir? Sebenarnya orang panik tidak berfikir. Mereka hanya bertindak dengan harapan tindakan itu betul. ‘Kalau semua perkara kena fikir alamat tidak kahwin la aku’.

Kita menunjukkan segalanya sempurna dengan kesungguhan berbelanja besar untuk majlis perkahwinan tetapi itu seperti menambah bahan api kepada apa-apa percikan pembakar dalam rumah tangga nanti. Setelah habis bulan madu, baru anda tahu perangai sebenar lelaki yang tiba-tiba menjadi suami anda itu.

Masa Bercinta Semua Wangi!

Semua orang akui bahawa semasa bercinta semua kelihatan, kedengaran dan terasa sangat indah dan wangi. Apabila berkahwin kenapa segala-galanya berubah?

Dulu anda terpikat kepadanya kerana dia lelaki berwawasan jauh tetapi kenapa sekarang baru anda tahu dia kata yang dia sangat bersyukur dengan apa yang ada hari ini.

Tidak perlu berfikir hal-hal masa depan dan serahkan semua kepada takdir. Dan takdirnya anda tidak bersedia dengan perubahan yang tidak disangka ini. Itulah kesilapan anda.

Dulu Lucu, Sekarang…?

Sebelum berkahwin, anda selalu ketawa spontan kerana dia lucu dan kelakar. Mana ada gadis yang tidak terpikat dengan lelaki begitu bukan? Tambahan pula anda ialah wanita yang mempunyai kerjaya yang memerlukan anda serius berfikir hal-hal besar. Semasa bercinta dahulu, lawak jenaka spontannya memang boleh menghilangkan stres.

Tapi setelah berkahwin baru anda sedar. Cara dia dan cara anda melihat masa depan adalah sangat berbeza. Pada anda masa depan itu perlu dirancang. Pada dia masa depan itu biarlah takdir menentukan. ‘Jangan merancang supaya tidak kecewa’ kata dia. Nampak sangat anda dan suami tidak serasi dalam cara berfikir.

Bertengkar Disebabkan Hal Remeh

Kata orang, tidak ada suami isteri yang tidak pernah berselisih faham. Semua orang pernah bertengkar. Cuma yang berbeza anda dan suami bertengkar lebih daripada tiga kali dalam sehari. Hampir semua disebabkan hal-hal remeh.

Bayangkan dalam sebulan hampir 100 kali anda bertengkar. Ada versi sekadar perang mulut. Ada yang sekadar sindir menyindir. Ada sekadar bermasam muka. Ada ketika pula memang ada pinggan mangkuk melayang.

Siapa yang boleh tahan? Mungkin dalam keadaan ini anda berdua perlu duduk berbincang dengan perantaraan orang ketiga yang dihormati kedua-dua pihak. Bukan semua perkara perlu dipertengkarkan. Hal-hal kecil jangan dibesarkan.

Beza Suami Dan Isteri  berbelanja

Sebenarnya isu kewangan ini tidak semestinya berkaitan dengan kelemahan ekonomi tetapi lebih kepada ketidakserasian pengurusan kewangan antara suami-isteri itu. Lelaki dan perempuan tertarik antara satu dengan lain kerana cinta. Namun apabila bercakap hal duit mereka memang jauh berbeza.

Wanita lebih teliti berbelanja tetapi lelaki lebih buas mengeluarkan duit untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. Sebab itu hanya kereta suami yang tayar melimpah dengan ekzos sebesar buah tembikai.

Wanita lebih memikirkan duit baju anak mereka yang belum ditukar sejak tahun lepas. Apabila cara berbelanja antara suami dan isteri terlalu berbeza ianya boleh menjadi isu besar. Walaupun kedua-dua berpendapatan tinggi, hal duit boleh menjadi api peruntuh masjid rumah tangga.

**Artikel ini dikongsikan oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.

Published by
Nurul Azwa