Terlalu cepat. Kluster Sivagangga dikatakan merebak lebih cepat berbanding sembilan kluster lain dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan kajian bagi mengenal pasti puncanya bagi mengekang sebaik mungkin kluster Sivagangga ini dari terus merebak.
Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kluster Sivagangga merebak dengan lebih cepat berbanding sembilan lagi kluster yang dilaporkan dalam negara sebelum ini.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM kini sedang giat menjalankan kajian bagi mengenal pasti punca penyebaran lebih cepat itu.
“Kita lihat kluster ini merebak dengan cepat dibandingkan sembilan kluster lagi seperti di Sarawak.
“Kita sedang jalankan kajian adakah kita sedang menghadapi satu kluster Genom 614 iaitu kluster ‘Super Spreader’ seperti yang laporkan di Mesir dan Pakistan.
“Besar kemungkinan ini (kluster Sivagangga) adalah kluster Super Spreader tetapi kita kena laksanakan ujian teliti dan akan kulturkan virus itu di makmal.
“Jika bacaan ‘Rt’ adalah satu, ini bermakna 100 orang disahkan positif jadi akan menjangkiti 100 orang yang lain dan KKM perlu memastikan bacaan Rt kurang daripada satu, kita akan dapat kawal Covid-19 di Malaysia,” katanya ketika sidang media Covid-19 di Putrajaya dekat Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, KKM akan terus menjalankan saringan bersasar bagi kluster Sivagangga dan kini fokus masih lagi tertumpu kepada pelanggan yang ke sebuah restoran nasi kandar di Napoh, Kedah.
Selain itu, saringan bersasar juga dilakukan untuk penduduk yang tinggal dalam radius satu kilometer dari lokasi restoran berkenaan tetapi mereka yang mempunyai kontak rapat dengan perlu menjalankan saringan segera.
Baca Juga Di sini:
Kluster Sivagangga: 5 Sekolah Di Kedah Diarah TUTUP Serta Merta
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Dr Noor Hisham berkata, sehingga 12 tengah hari ini, enam kes baharu membabitkan kluster Sivagangga direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 30 kes.
Kes keenam adalah kontak rapat dengan individu positif kerana pernah mengunjungi premis itu dan dikesan mengalami gejala pernafasan pada 2 Ogos lalu dan disahkan positif semalam.
Bagi kes selebihnya, mereka mempunyai sejarah mengunjungi kawasan yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Kedah.
“Semua yang positif kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah dan mereka adalah generasi kedua dalam kluster Sivagangga,” katanya.
MW: Diharap seluruh penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Malahan tak lupa mengharapkan seluruh pembaca MW mendoakan keadaan di sana kembali pulih seperti sediakala.
Sumber: myMetro