Gara-gara sikap pentingkan diri dan tidak bertanggungjawab tidak mematuhi SOP yang ditetapkan, menyebabkan penularan jangkitan pada ramai orang.

Lima buah sekolah di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap di Kedah yangdikaitkan dengan kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga diarah tutup bermula hari ini sehingga 29 Ogos depan. Tindakan itu diambil oleh kerajaan negeri dalam usaha menyekat penyebaran wabak COVID-19.

Kerajaan negeri, dalam kenyataan hari ini, berkata sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, SMK Megat Dewa, Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba dan SK Megat Dewa di Kubang Pasu manakala di Padang Terap ialah SK Kubang Palas.

“Kesemua sekolah ini ditutup selama 28 hari yang merangkumi 14 hari tempoh kuarantin dan 14 hari tempoh pemerhatian,” menurut kenyataan kerajaan negeri itu.

Perkara itu diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mesyuarat bersama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor hari ini.

Ia selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (TEMCO) di Mukim Ah, Mukim Hosba dan Mukim Binjal (Kubang Pasu) serta Kampung Ulu Padang Sanai (Padang Terap).

“Ia meliputi kawalan pergerakan orang awam dalam radius satu kilometer daripada Restoran Nasi Kandar Salleh, Napoh yang terbabit,” katanya.

IKLAN

“Oleh itu, kesemua guru yang tinggal di kawasan TEMCO sama sekali tidak dibenarkan untuk hadir bertugas manakala guru yang tinggal di luar kawasan berkenaan tidak dibenarkan untuk ke sekolah yang berada berhampiran kawasan TEMCO.

“Guru yang tinggal dan bertugas di luar kawasan TEMCO tetapi perlu melalui kawasan berkenaan dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

Jangkitan Import, Langgar SOP

Kluster Sivagangga menular akibat jangkitan import selepas seorang individu yang juga pemastautin tetap pulang ke Malaysia dari India pada 13 Julai lalu (kes ke-8,937).

Dia yang juga pemilik kedai nasi kandar di Napoh itu dilaporkan melanggar SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana mereka yang dikuarantin tidak dibenarkan keluar daripada rumah.

Pemilik kedai makan itu bagaimanapun dilaporkan pergi ke premis berkenaan sebelum penularan jangkitan di kawasan itu berlaku.

Sehingga semalam (2 Ogos) terdapat 11 kes baharu dikesan dari Kluster PUI Sivagangga. 3 kes daripada jangkitan kes 8976. Manakala baki 8 kes adalah jangkitan kes 8975.

Penularan wabak COVID-19 daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga di Kedah juga sudah membabitkan dua generasi.

Berdasarkan maklumat terbaru dikeluarkan Kementerian Kesihatan, ia susulan dua kes daripada generasi pertama membabitkan pelanggan di restoran milik kes induk kluster itu, dikesan menjangkiti ahli keluarga dan rakan sekerja mereka.

Seorang pelanggan yang juga kes ke-8,975 daripada kluster itu didapati menjangkiti isteri, dua anak, ibu, ibu saudara dan bapa saudara, adik ipar serta seorang rakan sekerjanya, manakala seorang lagi pelanggan (kes ke-8,976) pula dikesan menjangkiti isteri, anak dan dua cucunya.

MW: Gara-gara sikap tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri mengakibatkan penularan jangkitan ini. Patuhi la SOP yang ditetapkan, kuarantin di rumah bila diarahkan. Ingat kita belum menang.Cukup bimbang jika berlakunya gelombang jangkitan ketiga dan keadaan jadi tidak terkawal.

Sumber: Bharian