Terimalah hakikat, kita tak mampu nak jaga anak 24 jam. Yakinlah dengan Allah. Didik diri berlapang dada dan meletakkan penggantungan pada Allah.
Siapa yang tak sayangkan anak? Jika boleh kita mahu sentiasa jaga anak dan berada di sisi mereka. Tapi semua itu tidak mungkin berlaku, suka atau tidak kita pasti ‘berpisah’. Samada mereka dihantar ke rumah pengasuh, pusat penjagaan kanak-kanak mahupun ke sekolah.
Begitu juga apabila mereka meningkat remaja seterusnya dewasa. Mereka akan melanjutkan pelajaran dan mempunyai kehidupan sendiri. Ini adalah lumrah kehidupan. Justeru, sebagai mak ayah kita perlu berlapang dada dan menerima kenyataan ini.
Anak-anak dipinjamkan Allah kepada kita, mereka adalah milik Allah sepenuhnya. Kita hanya sebagai pemegang amanah. Terimalah hakikat, kita takkan mampu melindungi dan menjaga mereka sepanjang hayat. Usah disangkal fakta ini.
Jangan Bimbang Melampau, Yakinlah Pada Allah
Saya tidak nafikan kasih sayang yang menebal terhadap anak-anak membuatkan kita sanggup berkorban jiwa raga. Kita mahu pastikan mereka dapat yang terbaik, sihat dan bahagia dunia akhirat. Malah ramai di kalangan ibu bapa yang diserang kebimbangan melampau apabila terlalu memikirkan masa depan anak-anak.
Ads
Sebenarnya kita tidak perlu menyiksa diri sehingga sebegitu, kita mesti yakin dengan Allah. Letakkan sepenuh pengharapan dan penggantungan kepada Allah. Senjata kita adalah doa. Kita doa dengan sepenuh jiwa agar Allah sentiasa melindungi dan merahmati insan-insan yang kita sayang.
Kita doa semoga Allah pandu hati pengasuh dan guru-guru menjaga serta mendidik anak-anak kita dengan baik. Kita doa agar mereka dijauhkan musibah dan dipelihara iman. Kita doa dan terus doa. Jangan pernah berputus asa…
Ads
Yakinlah Allah tahu apa yang terbaik untuk insan kita sayang. Sebagai mak ayah, kita berusaha mendidik mereka dengan penuh tanggung jawab. Lakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas.
Selebihnya, kita serahkan kepada Allah. Apa juga yang direncanakan Allah, terima dengan redha. Sebaik-baik perancang adalah Allah. Allah beri apa yang kita perlukan bukan apa yang kita nak.
Semoga kita terus istiqomah dan melatih diri untuk sentiasa dekat dengan Allah dan yakin dengan perancangan-Nya. Amin ya rabb.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Tipulah tiada rasa malu, tapi ini ketentuan. ” Tidak simpan dendam, sudah maafkan ayah, kerana dia telah pun menerima hukuman.
Sebagai manusia apatah lagi kala itu baru berusia lapan tahun ketika kejadian, sudah tentu dirinya dihimpit rasa malu. Namun lama-kelamaan gadis ini redha dengan takdir Allah.
Tipulah Tiada Rasa Malu
Kejadian 1.30 pagi 12 tahun lalu meninggal seribu kenangan yang tidak mungkin terpadam dalam lipatan sejarah hidup saya buat selamanya.
“Dalam kejadian 8 Ogos 2010, ketika saya sedang tidur tiba-tiba wajah saya terasa panas dan sakit selepas terkena asid yang disimbah bapa,” kata Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 20, dari Kampung Sekayu, Kuala Berang, Terengganu.
Menurutnya, walaupun kejadian sudah lama berlalu dan bapanya sudah menerima hukuman atas perbuatan itu namun dia tidak menyimpan dendam serta sudah memaafkan bapanya.
Katanya, pada peringkat awal kejadian situasinya amat sukar kerana perlu menghadapi pelbagai tanggapan negatif selain menjadi tumpuan masyarakat.
Dahyatul berkata, dia mengakui tidak mempunyai kekuatan mental selepas kejadian itu memandangkan usianya ketika itu baru lapan tahun.
“Tipu sekiranya tidak malu dengan keadaan seperti ini namun saya menerima ketentuan yang sudah ditakdirkan oleh Allah dengan hati yang terbuka.
“Bapa selalu datang menjenguk saya dan adik-beradik lain sekiranya mempunyai masa terluang dan kami sekeluarga juga akrab dengannya yang tinggal di kampung sebelahan,” katanya.
Menurutnya, akibat kejadian itu, dia kini sesekali mengalami masalah sukar bernafas berikutan keadaan hidung yang tidak sempurna.
Katanya, sekiranya diberi peluang untuk mendapatkan rawatan dia masih mahu meneruskannya kerana ingin mengurangkan kesan akibat luka yang berlaku pada wajahnya.
Jelas Dahyatul, dalam kejadian itu ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang dan adiknya, Mohd Irfan Firdaus Mat Haizan turut terkena asid yang disimbah bapanya namun kecederaan keduanya tidak seteruk dirinya.
“Semoga apa yang berlaku kepada diri saya ini menjadi tauladan kepada masyarakat di luar sana supaya tidak mengambil tindakan mengikut nafsu ketika berlaku perselisihan keluarga hingga mendatangkan kecederaan kepada anak-anak,” katanya.
Mingguan Wanita : Murni sungguh Dahyatul, dia redha dengan apa yang berlaku serta mampu memaafkan ayahnya. Semoga adik Dahyatul terus kuat menghadapi ujian mendatang.
ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.
Apabila bergelar seorang isteri dan ibu, tidak dinafikan kita inginkan rumahtangga dan anak-anak segalanya diuruskan dengan sempurna. Adakala apabila terlalu inginkan ‘kesempurnaan’ itu, segalanya ingin diuruskan seorang diri tanpa mengharapkan bantuan. Ia membuatkan diri sendiri rasa cukup penat dan lelah.
Kesannya, mulalah diri rasa tertekan, jiwa terbit kemurungan dan hilang kebahagiaan dalam diri demi memastikan segalanya memenuhi kesempurnaan yang diinginkan.
Jika mak-mak mempunyai sikap begini, seeloknya hentikanlah. Berhentilah jadi isteri dan ibu yang sempurna,sebaliknya pilihlah untuk bahagiakan diri sendiri dahulu.
Jemput hayati perkongsian nukilan oleh Puan Najibah Mustaffa ini;
Selalu kita dengar orang cakap, bila perempuan ini pandai serba serbi. Untunglah suami dan anak-anaknya. Bahagialah keluarganya. Pandai memasak sedap, hebat mengemas, menghias rumah, berdandan berhias pun tak kalah. Didik anak-anak pun mantap. Cantik pulak tu. Ewah.
Saya pun di awal perkahwinan cuba untuk jadi begitu. Anak seorang OK lagi, masa tu boleh je buat sendiri semua. Hatta kalau gas habis pun, boleh je pergi kedai beli dan angkat masuk rumah. Haha dia punya power.
Bukan suami tak tolong, diri sendiri yang tak pandai minta tolong. Sebabnya acah acah mahu jadi sempurna semuanya. Terbiasa berdikari pun sama. Rumah mesti kemas, kain mesti berlipat, baju kerja suami siap bergosok, makan minum siap hidang terjaga semuanya. Masak tu mesti meriah lauk. Ewah lah sangat.
Bila anak sudah bertambah, dari satu jadi dua, tiga dan kini empat. Lama kelamaan, badan jadi sangat penat. Usia pun semakin meningkat. 4 tahun sahaja lagi nak cecah 40 tahun. Sakit pun dah terasa sana sini.
Tambah lagi bila saya mula berniaga. Mana nak tengok WhatsApp, coaching team, pantau outlet, guide staf, buat marketing, bla bla dengan senarainya yang panjang.
Penat.
Fasa Penat
Perempuan bila tenang gembira dia sangat comel macam teddy bear atau hello kitty. Tapi bila penat dia akan jadi orang lain. Kadang tu singa, harimau, hantu kak limah segala.
Saya pernah lalui fasa penat dan tertekan ini selepas melahirkan anak keempat. Dengan dia susah nak tidur, nak menyusu sahaja. Melekat dengan ibu. Tak boleh langsung ibu jauh. Masa tu saya tak rasa seronok pun duduk rumah sendiri. Tak rasa kasih pun tengok suami dan anak-anak. Serabut.
Sebabnya? Penat. Penat ni boleh jadi pintu masuk Syaitan hasut itu ini. Mengeluh, mengungkit, sedih, kecewa bla bla yang negatif. Bila penat solat pun tak khusyuk. Huhu.
Mujurlah saya tersedar yang ini bukan kehidupan yang saya cari. Saya tak boleh biar berterusan dengan penat. Cari ilmu, baca perkongsian di FB.
Berhenti Jadi Sempurna
Tahulah saya jawapannya. Saya perlu berhenti jadi sempurna. Hanya perlu jadi bahagia. Saya perlu mula belajar minta tolong ahli keluarga dan orang lain.
Seminggu sekali saya ambil bibik. Dia kemas rumah, lipat kain, tukar cadar, kadang tu basuh langsir, sental tandas, mop lantai semua. Complete satu rumah dikemas.
Hari hari lainnya saya mengemas 2 kali sehari sahaja. Pagi sebelum anak bangun, petang sebelum Maghrib. Kemas pun sekadar pastikan rumah tidak berselerak sangat sebab ada anak anak kecil yang suka bawa mainan sana sini, lantai disapu, dan dapur bersih dari pinggan mangkuk tak berbasuh dan sampah.
Kain baju berbakul, kalau larat dan sempat, lipat. Kalau tak pejam mata tunggu bibik datang minggu depan.
Saya selalu sahaja sebut kepada suami dan anak-anak, ibu penat, ibu nak rehat. Tak mahu paksa diri berlebihan.
Yang saya jaga sangat hanyalah makan minum keluarga. Memang memasak 2-3 kali sehari. Itupun ringkas sahaja. Ada karbo, protein, sayur cukup. Syukur yang penting kenyang. Sebab saya selalu percaya, masakan mengikat kasih sayang keluarga dengan sangat indah. Ada juga lah hari beli je lauk bila tak sempat atau tak ada bahan basah dalam peti. Hihi.
Malam malam berehat sahaja. Bergolek dengar cerita anak-anak.
Pilih Untuk Bahagia
Sudah tua tua begini. Saya mahu lebih masa untuk tambah ilmu, baiki ibadah. Mahu lama lama di tikar sejadah, mahu tadabbur alquran, mahu baca buku banyak-banyak dan buat apa yang menggembirakan.
Benar, khidmat kepada rumahtangga adalah medan pahala. Namun janganlah sampai menekan diri. Ramai ibu hari ini tertekan. Bacalah banyak kisah yang berlegar di media sosial.
Kita pilih untuk bahagia dulu. Barulah semuanya terlihat sempurna pada mata kita. Walaupun tidak pada mata orang lain.
Dan para suami, bantulah isteri anda bahagia dengan kurangkan rasa penatnya. Sebab bila ibu gembira dan bahagia, seisi keluarganya turut berbahagia.
Najibah Mustaffa
Catatan sementara tidurkan anak.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan buat kita.Berhentilah jadi isteri dan ibu yang sempurna,sebaliknya pilihlah untuk bahagiakan diri sendiri dahulu.
Bukan mudah nak dapat tidur malam yang lena ketika kandungan ibu hamil sudah membesar dan memasuki trimester ketiga. Bermacam cara dan ubah posisi tidur tapi tetap tak selesa. Cuba 10 tip yang disarankan Mingguan Wanita ini. Semoga tidur lena ibu boleh sampai mimpi bulan bintang.
Mata dah mengantuk tapi tak boleh nak tidur malam, itulah yang sering menjadi keluhan ibu hamil yang menunggu saat melahirkan. Perut yang membesar dan rasa tidak selesa sering mengganggu tidur nyenyak pada malam hari.
Waktu tidur yang diperlukan oleh ibu hamil adalah sekitar 7 hingga 9 jam. Ia penting kerana dapat membantu menjaga tekanan darah untuk berada pada tahap normal. Apa pula jadi kalau tidur kurang dari lima jam? Untuk ibu hamil yang tidur kurang dari jumlah jam yang disarankan berisiko untuk mengalami gangguan preeklamsia.
Preeklamsia merupakan komplikasi kehamilan serius yang bersangkut paut dengan peningkatan tekanan darah. Namun begitu, tidur malam atau siang hari terlalu banyak juga boleh mengundang masalah. Lebih dari 10 jam dalam semalam juga dapat meningkatkan risiko yang sama.
10 tip dibawah ini sesuai untuk ibu hamil amalkan bagi tidur malam yang nyenyak setiap malam:
1. Ibu Hamil Mandilah Dengan Air Suam
Mandi dengan air suam dan gunakan sabun yang dapat menimbulkan kesan relaks seperti lavender. Rasa segar yang ditimbulkan setelah mandi akan membantu ibu untuk lebih nyenyak tidur.
2. Posisi Tidur Selesa Paling Utama
Untuk membuat tidur lebih selesa ibu hamil perlu dapatkan posisi tidur yang terbaik. Posisi tidur terbaik yang disarankan ketika kehamilan adalah posisi tidur mengiring ke sisi kiri. Ini dapat membantu melancarkan pengaliran darah, oksigen dan nutrisi ke plasenta.
3. Segelas Susu Panas/Suam, Oh Nikmatnya!
Minum segelas susu panas/suam akan membantu tidur nyenyak. Susu mengandungi amino tryptophan yang meningkatkan kadar serotonin dalam otak yang akan membantu anda untuk tidur.
5. Praktikkan ‘Deep Breath’ Untuk Tidur Malam Yang Selesa
Latihan menarik nafas atau ‘deep breath’ dalam yang teratur dapat menolong mengurangi ketegangan otot dan membantu untuk tidur lebih baik. Carilah posisi yang selesa buat anda, duduk, berdiri ataupun berbaring, lalu tariklah nafas melalui hidung secara perlahan, tahan nafas selama 1-2 minit. Keluarkan nafas melalui mulut secara perlahan, lakukan beberapa kali.
6. Berehatlah Ibu Mengandung
Sempatkan berehat selagi ada peluang. Kenali waktu yang selalu berlaku gerakan janin yang aktif, sehingga di luar waktu tersebut ibu dapat memanfaatkannya untuk tidur malam hari yang lebih nyenyak.
7. Masa Inilah Buat Apa Yang Anda Suka
Membaca buku supaya perasaan panik dapat dipindahkan, mendengarkan muzik, atau kalau perlu lakukan hubungan intim dengan suami.
8. Menjelang Malam Elakkan Minum Air Berlebihan
Kurangkan pengambilan air minum menjelang tidur mengurangkan kekerapan ibu hamil ke bilik air. Jadi tidur ibu akan lebih nyenyak. Bayangkan kalau tiba-tiba nak buang air kecil semasa separuh masa dah lena, tentu mengganggu. Nak bangun ke bilik air sudahlah bukan semudah dulu.
9. Sokong Badan Dengan Bantal
Untuk mengurangkan rasa nyeri di bahagian belakang ibu, gunakanlah bantal yang selesa pada bahagian pinggang atau pinggul. Letakkan bantal pada peha juga boleh membuatkan tidur malam hari ibu hamil lebih selesa. Jangan perli isteri hamil ya suami di luar sana. Masa nak masuk sembilan bulan inilah, bantal memang dah jadi BFF mak mengandung. Terutama bila nak tidur malam hari.
10. Kalsium Jangan Ditinggalkan
Gangguan pada kaki (kesemutan), dapat dikurangkan dengan melakukan urutan ringan pada kaki dan cukup dengan mengambil kalsium mengikut saranan doktor. Kalsium yang lengkap juga bagus untuk ibu, Nanti selepas anak dilahirkan, ibu kurang berisiko untuk alami asteoporosis.
11. Banyakkan Berzikir Dan Berdoa
Paling utama, jangan lupa berdoa. Apa saja agama yang mak-mak anuti tuntutan berdoa itu satu hal yang disarankan. Jadi berdoalah dengan cara masing-masing agar hati jadi tenang, jiwa bertambah lapang. Sakit-sakit itu normallah.. bersabarlah ya. Bagi anda yang Muslim amalkan berzikir Ya Fattah, Ya Latif dan bacalah surah-surah Maryam atau Yusuf agar memudahkan proses bersalin. Dalam masa yang sama, bayi anda akan lebih tenang sepanjang kehamilan ini.
Semoga dengan 10 tip memudahkan ibu hamil tidur lena ini dapat membantu bakal mak-mak yang sedang sarat mengandung.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!