“Kita Pecat Azlan Man Berkuatkuasa Hari Ini, Dia Jadi Menteri Besar Tanpa Parti!” Datuk Seri Shahidan Kassim

Share

“Kita memecat Azlan Man berkuatkuasa hari ini. Selepas ini pusat yang kena maklumkan dan keluarkan surat”

Itulah yang diberitahu oleh Pengerusi BN negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang turut dihadiri oleh sembilan ADUN BN Perlis yang gagal hadir pada majlis mengangkat sumpah jawatan itu pagi ini.

Datuk Seri Azlan Man yang baharu sahaja mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis tadi telah dipecat sebagai ahli Umno kerana ingkar arahan parti.

Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengesahkan perkara itu berkata, keputusan tersebut telah dibuat tetapi masih menunggu pengumuman rasmi daripada Umno Pusat.

“Ini disebabkan perlantikan Azlan sebagai Menteri Besar Perlis tidak mendapat sokongan majoriti Adun daripada BN.

“Umno perlis dan BN Perlis memecat Azlan Man. Jadilah menteri besar tanpa parti.”

Sidang media tersebut turut dihadiri sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN yang tidak bersetuju dengan pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Shahidan menganggap pelantikan Azlan itu sebagai tidak adil kerana pelantikannya bukanlah melalui sokongan majoriti.

“Seminggu sebelum raya nanti, semua sembilan Adun BN ini akan menghadap raja untuk lantikan Menteri Besar yang dipilih. Saya juga berharap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masuk campur bagi membetulkan perkara ini.

“Kami berhak tentukan siapa pemimpin kami,” katanya.

Terdahulu, Azlan, 60, yang juga Adun Bintong sah menjadi Menteri Besar Perlis untuk penggal kedua apabila mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Balai Menghadap, Istana Arau, Arau, hari ini.

Bagaimanapun, sembilan Adun BN tidak hadir pada istiadat mengangkat sumpah berkenaan dan hanya 3 Adun Pakatan Harapan serta 2 Adun PAS yang hadir.

Shahidan sebelum ini menamakan adiknya, Datuk Ismail Kassim sebagai calon Menteri Besar baharu.

Pada PRU14 lalu, BN memperoleh 10 kerusi Dun, Pakatan Harapan (3) dan Pas (2) untuk Perlis.

Raja Perlis Murka

Manakala Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka dengan tindakan sembilan wakil rakyat BN tidak hadir pada majlis istiadat dan angkat sumpah menteri besar Perlis, hari ini.

Baginda kecewa kerana semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit berada di Perlis ketika jemputan dihantar kepada mereka dua hari lalu.

“Ini adalah kepentingan sesetengah puak, segan untuk saya sebut nama tapi tuan-tuan pun tahu siapa. Hari ini sebilangan besar mereka tidak hadir sebab apa (tidak hadir) saya pun tak tahu, sedangkan jemputan dibuat dua hari lalu dan mereka masih berada di Perlis ketika itu.

“Sekarang mereka berada di Kuala Lumpur, semalam mereka pergi menaiki kapal terbang… ini berdasarkan laporan yang saya terima,” titah baginda pada majlis istiadat dan angkat sumpah Menteri Besar di Istana Arau, pagi tadi.

Sumber: Sinar Harian + Berita Harian

Published by
Nadia