Benar untuk mendapat hidayah perlu dimulakan dengan usaha.Mulakan hijrah dengan sedikit muhasabah.Jauhnya perjalanan ke syurga, bukan boleh atas nasib-nasib saja, kena ada usaha dan konsisten dalam melakukannya.Cuba tanya diri kita, tatkala melakukan dosa, adakah terbit rasa kesal atau biasa sahaja tak rasa apa-apa?
Baca Lagi Di Sini;
Tak Pernah Solat Sepanjang Berkahwin, Usaha Isteri Ini Lakukan Akhirnya Suami Dapat Hidayah!
Solat Taubat Kena Buat Selalu Sampai Hati Rasa Lapang
Hadamkan perkongsian hijrah Penulis, Bonda Nor ini.Semoga dapat menjentik hati kita berusaha menjadi lebih baik.
Masa mula-mula menikah dengan suami, saya masih berada ‘di zaman jahiliyah’. Zaman huha-huha. Zaman merempit dan mereput.Solat on off. Kalau sempat, buat. Tutup aurat pun on off. Kalau rajin, pakai. Hidup beragama tapi masih hidup sesuka hati juga.
Penghijrahan berlaku secara perlahan-lahan. Kerana sedikit muhasabah diri. Kerana sedikit demi sedikit pemerhatian yang menyentuh hati.
Saya masih ingat satu peristiwa yang berlaku dan menjadi salah satu perkara yang amat menyentuh hati saya.Hari tu, saya dan suami keluar shopping dengan adiknya. Ralit sampai terlewat solat Asar. Dalam kereta, mereka tampak gelisah saja.
Jalan jem pulak. Haihh..
Sampai saja rumah, hanya ada beberapa detik saja lagi azan Maghrib akan berkumandang.
Ketika saya sibuk memindahkan barang-barang yang dibeli dari bonet kereta ke dalam rumah, suami saya dan adiknya langsung tidak peduli. Mereka berkejar ke bilik air. Mahu ambil wudhu’ segera. Mahu solat juga.
Saya jadi hairan. Dalam hati terdetik.. apa yang kecoh sangat? Dah tak sempat solat, nak buat macam mana. Qadha’ sajalah! Begitulah pemikiran saya. Simple, kononnya.
Tapi saya lihat adik ipar saya bersungguh mengejar masa yang berbaki. Mahu solat juga. Saya lihat suami saya termenung lama di atas sejadah. Terpamer kekesalan pada wajahnya. Dia menangis!
Waktu itu, saya mula rasa pelik. Suami saya jarang menangis. Kami bergaduh pun, saya saja yang bengkak mata, dia biasanya tenang saja. Tapi ini.. tak sempat solat pun sampai macam tu sekali?
Allahu Akbar.
Waktu itulah terdetik pelbagai rasa di hati saya. Berkecamuk. Hairan.Cemburu. Tertanya-tanya..
‘Kenapa aku tak rasa macam tu?’
Sungguh.. saya cemburu! Cemburu kerana di saat saya tak rasa apa-apa pun kerana meninggalkan solat, mereka tampak kesal dan menyegerakan taubat.
Lalu diam-diam, saya menanam azam. Berdoa kepada Allah agar diberikan rasa yang sama. Saya mahu rasa berdosa jika melakukan dosa.Dan saya mahu kekal ada rasa itu.. rasa cemburu melihat orang lain mendekatkan diri pada Allah supaya rasa itu boleh memaksa saya untuk turut berubah.
Ia satu kisah penghijrahan yang panjang. Tentu saja banyak liku-liku dan jatuh bangun saya dalam mujahadah itu.
Tapi apa yang ingin saya kongsikan ialah tentang pentingnya pergantungan total kita kepada Allah dalam mengundang hidayah.
Kawan,
Kita ni boleh masuk syurga bukan boleh atas nasib-nasib saja. Kena ada usaha. Allah nilai belaka walau pun atas sedetik niat baik yang ada dalam hati kita. Walau pun pada secebis amal kebaikan yang kita cuba usahakan.
Muhasabah saja situasi kita hari ini.
Bulan Ramadan, kita tengok orang berlumba-lumba nak rebut tawaran Allah. Nak banyakkan sedekah. Nak banyakkan baca al-Quran. Nak khatam.Kita dengar orang beriya-iya nak rebut fadhilat Lailatul Qadar. Nak qiyamullail, solat tahajud, solat hajat, Masing-masing nak rebut kesempatan ni nak kejar reda dan keampunan Allah.
Kita macam mana? Tak rasa apa-apa ke?
Kalau kita tak rasa cemburu dan tak rasa terinspirasi, maka kita kena rasa risau. Kena rasa takut. Ketahuilah dosa-dosa kita sedang mengepung kita dari melangkah menuju ke syurga.
Habis nak buat macam mana?
Mulakan hijrah dengan sedikit muhasabah.
“Ya Allah.. kenapa orang lain bersungguh nak beribadah tapi aku rasa tak kisah? Keras sangat ke hati aku ni, Ya Allah? Ampunilah aku, Ya Allah..Lembutkanlah hati aku yang keras ini ya Allah..”
Kena istighfar banyak-banyak. Sambil duduk-duduk, istighfar. Sambil memandu, istighfar. Sambil basuh pinggan, istighfar. Istighfar setiap kali teringat. Buang satu persatu titik hitam yang terjadi dari dosa-dosa kita tu.
Serahkan diri kita sepenuhnya pada Allah. Akui salah kita. Akui kelemahan kita. Minta Allah tolong. Minta sungguh-sungguh!
Kawan, Allah dah janji dalam al-Quran..
“Barangsiapa yang bertawakal bersandar meminta pertolongan kepada Allah, maka Allah akan mewujudkan keinginannya.” Surah At-Talaq : 3
Itu janji Dia. Kalau kita ada sedikit pun azam, Allah akan bantu kuatkan azam kita tu. Maka, kita ni walau pun dosa banyak mana sekali pun, harapan untuk masuk syurga masih ada. Jangan putus asa.
Kalau kita tak mampu bermula dengan mujahadah, mulakan dulu dengan muhasabah. Serahkan diri kita yang kotor, yang lemah ini dalam jagaan Allah..
Mulakan dulu dengan menanam cemburu. Insya-Allah, lama kelamaan nanti, akan terbit pula rindu. Semuanya mungkin tak akan berlaku sekelip mata, tapi tetap juga kita perlu bermula. Kita kena cuba!
Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita dan melorongkan kita ke syurga- Nya. Amin. Amin.
MW: Allahu, semoga perkongsian ini bermanfaat. Bersama-sama kita memperbaiki diri, berusaha menanam rasa ‘cemburu’ melihat orang lain mendekatkan diri pada Allah, dan berasa kesal apabila melakukan dosa demi mengejar hidayah dan ganjaran syurgaNya.
Sumber: Bonda Nor