‘Kita Boleh Je Rotan Anak Yang Degil, Tapi Buatlah Dengan Lafaz Bismillah’ Pengakuan Jujur Ibu Yang Pernah Ada Anak Nakal

Share

Terkejutkan bila baca cerita murid ponteng sekolah 53 hari sebab malam main game sampai tak boleh bangun pagi. Nak dijadikan cerita, pihak sekolah pun sampai minta bantuan polis untuk kejutkan anak tadi.

Dari catatan itu katanya ibu ayahnya tak sampai hati nak kejutkan anak pagi hari. Apa pun alasan itu, cuma merekalah yang memahami hakikat sebenar kisah dalam keluarga mereka. Kita yang membaca terkesan sebenarnya dengan cerita-cerita sebegini.

Rasa betapa semakin sukarnya mahu mendidik anak di zaman sekarang. Inilah yang turut dialami Puan Ina Mohd, ibu 4 orang anak perempuan dan seorang lelaki yang pernah satu ketika berdepan dengan kerenah anak degil yang bukan biasa-biasa punya nakal.

Tapi lihat cara ibu ini tangani salah laku anaknya. Yang mana akhir cerita nanti akan buat anda sayu dan rasa bahagia. Kerana anak yang berusia 33 tahun ini akhirnya berubah menjadi orang berjaya.

Viral Anak Main Game Sampai Tak Boleh Bangun

Susahkan nak didik anak sekarang. Pengalaman saya pun sama. Seorang je anak lelaki. Masa umur 11 tahun dia dah terpengaruh dengan game sampai ponteng sekolah. Ambil duit tanpa pengetahuan.

Basikal yang saya belikan untuk ke sekolah dijualnya untuk main game. Lepas itu dia bagitau basikal hilang kena curi. Nakalnya Ya Allah.

Sampaikan kita kunci pintu depan tak bagi keluar rumah, dia boleh terjun ikut pintu belakang dari tingkat dua dengan tali. Hanya DIA je yang tahu.

Tapi masa tu saya tak percaya anak saya sampai tahap tu pengaruhnye. Sehinggalah suatu hari Kak Long mengadu yang abang ni tak pergi sekolah. Kena rotan kat perhimpunan. Macam-macam di usia baru 11 tahun.. huuu ape lagi. Mengamuk laaa si mama ni.

Pintu Saya Rotan Sampai Pecah

Ujar ibu ini lagi, waktu zaman anaknya permainan video game cuma ada di kedai. Tak macam sekarang yang mudah search di handphone.

Saya pergi kedai game warning jangan sampai anak saya masuk lagi. Kat rumah saya rotan (acah-acah rotan). Tak cukup rotan dia, pintu saya rotan sampai pecah pintu (sebetulnye).

Sehinggalah suatu pagi tu dia cakap (ALLAH bukakan pintu hati dia).

Mama kalau nak abang jadi baik, hantar abang kat sekolah tahfizlah.”

Pada mulanya terkesima juga tapi demi untuk menjadikan dia seorang manusia, saya pejam mata cari sekolah tahfiz.

Di usia 13 tahun dah berpisah dengan dia. Walaupun ada mulut-mulut yang berkata anak tak ada akademik nak kerja apa. Hati remuk tak payah nak cakap sebab satu-satunya anak lelaki.

Hari-hari tanpa dia tak tidur juga malam-malam. Tapi Alhamdulillah bila tengok dia seperti selesa dapat jugalah pujuk hati saya untuk lepaskan dia.

Cumanya tiap-tiap minggu akan ke sekolah dia. Sehinggalah tamat pengajian tahfiz kat Shubro Mesir.

Sujud Syukur Ibu PadaNya

Waktu dia di Mesir tu, 2 minggu juga saya kat sana temankan dia. Balik Mesir baru ambil SPM tanpa belajar di usia 23 tahun. Dan Allah bersamanya. Alhamdulillah sekarang dia merupakan seorang anak yang berjaya dengan bisnesnya serta kelas Al-Qurannya. Sujud syukur padaNYA. Umur dia pun dah 33 tahun sekarang. Adik Kak Long.

Pengajaran kat sini kita boleh je rotan anak yang degil tapi rotanlah dengan lafaz bismillah kerana Allah bukan dengan perasaan nafsu amarah. InsyaAllah Allah akan bantu kita. Pandanglah syurga di wajah mereka.

Bukan nampak kenakalan mereka semasa merotan. Ingatlah ibu adalah guru pertama untuk mencorakkan mereka.

“Mama akan sentiasa mendoakan abang untuk menjadi seorang insan jutawan dunia akhirat dan dapat bersama-sama KakLong untuk tarik tangan Mama..Aamiin.. Mama bangga dengan abang sekarang.”

Nota: Waktu Mingguan Wanita meminta keizinan siar semula kisah Puan Ina di web kami, beliau mohon agar sama-sama memberi sedeqah Al-Fatihah untuk bidadarinya, Kak Long yang telah kembali ke kampung akhirat.

Sumber/Foto : Ina Mohd

Published by
Netty Ah Hiyer