Kalau bercerita tentang sedekah ini, rasanya macam-macam yang kita lakukan. Melalui sedekahlah, makin bertambah rezeki. Kena ingat, ingin bersedekah bukan hanya dengan memberi duit semata-mata tetapi ada banyak cara yang boleh kita buat.
Ada sesetengah daripada kita, cukup berkira-kira untuk sedekah terutamanya dalam bab-bab yang melibatkan duit. Kadang-kadang, kita takut duit kita akan habis bila bersedekah. Sedangkan kita tak tahu, dengan sedekah inilah makin bertambah rezeki, boleh jadi juga rezeki yang tidak disangka-sangka.
Perkongsian daripada Rohamah Muda boleh mencetuskan rasa kesedaran dan ingatan buat kita semua. Mungkin kisah sedekah ini boleh dijadikan pengajaran untuk kita semua.
Di zaman Nabi Musa a.s ada sepasang suami isteri yang hidup dalam kemiskinan. Namun, mereka mengadapinya dengan penuh kesabaran.
Suatu ketika, tatkala mereka beristirehat, si isteri bertanya kepada suaminya, “Wahai suamiku, bukankah Musa boleh berbicara dengan Tuhannya (Allah)?”
Lalu si suami menjawab, “Ya, benar.”
Ads
Si isteri berkata lagi: “Kenapa kita tidak pergi saja kepada Musa untuk mengadu keadaan kita yang sangat miskin ni? Kita memintanya berdoa kepada Allah agar Dia memberi kekayaan kepada kita.”
Akhirnya mereka mengadu kemiskinan mereka kepada Nabi Musa a.s.
Lalu Nabi Musa bermunajat meminta Allah kabulkan permintaan suami isteri tersebut.
Allah SWT pun berfirman kepada Nabi Musa, “Wahai Musa, katakanlah kepada mereka, aku akan memberikan kekayaan, tetapi dalam tempoh setahun sahaja. Selepas habis tempoh setahun, aku akan kembalikan mereka menjadi miskin.”
Lalu Nabi Musa menyampaikan kepada mereka bahawasanya Allah telah kabulkan permohonan mereka, dengan syarat kekayaan itu hanyalah setahun sahaja.
Mereka menerima khabar tersebut dengan penuh kebahagiaan dan kegembiraan.
Beberapa hari kemudian, datanglah rezeki yang melimpah dari jalan yang tidak diketahui dari mana arahnya. Dan, mereka pun menjadi orang yang terkaya di saat itu. Keadaan hidup mereka berubah dengan kejayaan yang melimpah
Ads
Lalu si isteri berkata kepada suaminya, “Wahai suamiku, selama setahun ini kita akan memberi makan kepada orang-orang miskin dan menyantuni anak-anak yatim. Sementara kita mempunyai kesempatan dan sebelum kita menjadi miskin kembali.”
Si suami menjawab, “Baiklah, kita akan menggunakan harta ini untuk membantu orang-orang yang memerlukannya.”
Kemudian, mereka membantu orang-orang yang memerlukan bantuan, membangunkan tempat musafir serta menyediakan makan minum bagi yang memerlukannya.
Setelah berlalu tempoh setahun, mereka masih sibuk menyediakan makanan dan bantuan sehingga mereka lupa bahawa tempoh mereka menjadi orang kaya telah berakhir.
Nabi Musa juga hairan melihat mereka dalam keadaan yang masih kaya raya.
Kemudian Nabi Musa bertanya kepada Allah SWT, “Ya Rabb, bukankah Engkau berjanji memberikan mereka kekayaan hanya setahun sahaja dan kemudian kembalikan mereka kepada miskin?”
Ads
Allah SWT pun berfirman, “Wahai Musa, Aku telah membuka satu pintu rezeki kepada mereka. Tetapi, mereka membuka beberapa pintu rezeki untuk hamba-hamba-Ku. Wahai Musa, Aku berikan lebih lama kekayaan itu kepada mereka.”
“Wahai Musa, Aku sangat malu jikalau ada hamba-Ku yang lebih mulia dan lebih pemurah daripada Aku.”
Nabi Musa menjawab, “Maha Suci Engkau Ya Allah, betapa Maha Mulia urusan-Mu dan Maha Tinggi kedudukan-Mu.”
Subhanallah.
Sebuah kisah yang sangat terinspirasi.
Kawan, hidup ini bukanlah bagaimana kita ingin menjadi yang terbaik, tetapi bagaimana kita mahu buat baik.
Jadilah orang baik dengan bersedekah walaupun sedikit.
MW: Kita tak tahu dengan bersedekah inilah, ada pintu-pintu rrezeki lain yang datang. Hanya Dia Yang Mengetahui.
Adakalanya bagaimana kita berusaha pun, seolah-olah rezeki semakin sempit, kehidupan semakin sukar.Jika ketika ini, ada yang buntu dan kesempitan dalam hidup cuba amalkan 3 tip asas dalam menjemput rezeki ini. Semoga rezeki semakin mencurah-curah, ibarat lautan dan air zamzam yang tak pernah putus hendaknya.
Usahawan berjaya Syukor Majidini ada kongsikan tip asas menjemput rezeki sebagai panduan.
Hari ni abang nak kongsikan 3 tips menjemput rezeki. Tips ini dikongsikan oleh sahabat abang, seorang ustaz beberapa tahun lalu.
Sekadar berkongsi, mana tau dapat membantu mereka yang sedang buntu.
Pertama, SEDEKAH
Percayalah, semakin banyak kita memberi, semakin banyak Allah bagi.
Janji Allah, tidak akan berkurang harta seseorang bila dia bersedekah, malah Allah akan gantikan dengan rezeki yang lebih baik.
Utamakan dahulu ibu bapa, isteri-isteri, adik beradik dan anak-anak.
Cubalah untuk selalu bersedekah. Besar atau kecil nilai sedekah bukan ukuran, yang penting ikhlas.
Anda faham kan maksud ikhlas? Kita sedekah dengan rela, bukan berkira-berkira, bukan minta balasan, bukan kerana nama. Semuanya niatkan kerana Allah.
Kedua, SYUKUR
Allah janji bila kita bersyukur, Allah akan beri lebih lagi nikmat.
Kadang-kadang kita terlalu mengejar kehendak duniawi sampai terlupa untuk bersyukur atas segala nikmat yang telah Allah beri.
Jika anda rasa Allah tidak adil, hidup tidak bertuah, penuh dengan masalah, berhentilah dongak ke atas.
Mari tunduk lihat ke bawah, lihat bagaimana orang lain lebih tidak bertuah, lebih banyak masalah, jauh lebih sengsara hidupnya. Automatik rasa syukur anda akan datang menjelma.
Ketiga, SOLAT
Solat itu kan tiang agama. Kalau tiang tak sempurna, maka runtuhlah agama.
Cuba amalkan solat dhuha dan tahajud. Allah kan maha mendengar. ‘Sembanglah’ dengan Allah apa yang kita hajati, apa yang kita idamkan, apa yang kita nak sangat-sangat.
Mintak dengan Allah, jangan mintak dengan orang. Allah yang mengatur segalanya. Kalau Dia nak bagi kadang-kadang sampai tak masuk akal apa yang kita dapat. Bila Dia nak bagi segalanya nampak mudah saja.
Cubalah apply 3 tips menjemput rezeki ini. Cuba secara serius, anda pasti takkan menyesal.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi amalan kita. Semoga dengan banyakkan bersedekah, bersyukur dan solat ia dapat menjemput rezeki seluas lautan buat kita.
Jangan normalisasikan maksiat, Dr Ahmad Sanusi. Dalam dunia hari ini, kita semakin melihat perkara yang dahulunya dianggap salah, kini diterima sebagai kebiasaan. Sama ada dalam media sosial, hiburan, mahupun kehidupan seharian, batasan antara yang baik dan yang buruk semakin kabur.
Jangan Normalisasikan Maksiat – Dr Ahmad Sanusi
Media Sosial: Alat Normalisasi Maksiat?
Tidak dapat dinafikan bahawa media sosial memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat hari ini. Apa yang dulunya dianggap tabu kini menjadi perkara biasa, hanya kerana ia kerap dipaparkan di skrin telefon kita. Pergaulan bebas dipamerkan secara terbuka, pakaian seksi dianggap fesyen, hiburan melalaikan dijadikan norma – semuanya ini dilakukan tanpa rasa bersalah.
Lebih membimbangkan, ramai yang berbangga dengan perbuatan maksiat. Jika dahulu orang melakukan dosa dalam sembunyi, kini ia dipamerkan untuk mendapat likes dan followers. Kita seakan-akan lupa bahawa Allah sentiasa melihat, walaupun manusia tidak.
Jangan Biasa Dengan Dosa
Apabila kita terlalu kerap melihat sesuatu perkara, kita akan menjadi terbiasa dengannya. Inilah bahaya normalisasi maksiat. Apa yang pada awalnya membuat kita rasa janggal atau bersalah, lama-kelamaan kita anggap biasa sahaja. Daripada biasa, kita mula membela dan mempertahankan. Akhirnya, kita sendiri jadi sebahagian daripada budaya itu.
Sedar atau tidak, inilah yang sedang berlaku. Dosa tidak lagi dirasakan sebagai satu kesalahan. Malah, orang yang menegur pula dianggap “kolot”, “bajet alim”, atau “suka jaga tepi kain orang”.
Ini bukan soal menjadi terlalu konservatif atau menghukum orang lain, tetapi tentang menjaga nilai moral dan agama yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.
1. Bagi yang belum berkahwin, janganlah pula kita menormalisasikan perkara yang dilarang oleh Allah. Bertepuk tampar sesama pasangan yang belum mempunyai sebarang hubungan yang sah adalah dicegah dalam Islam.
2. Rasulullah memberikan amaran yang keras kepada pasangan yang bercinta namun mereka seronok berpegangan tangan.
“Andai sekiranya kepala salah seorang di antara kamu ditusuk dengan jarum besi itu adalah lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal buat dirinya.” (HR al-Tabrani)
3. Apatah lagi sekiranya yang melakukan itu merupakan seorang yang dikenali ramai, namun dia menunjukkan contoh yang bercanggah dengan perintah Allah. Sekiranya perbuatan melakukan maksiat ini diikuti oleh anak muda yang lain, maka dia akan menanggung dosa orang yang mengikuti perbuatannya itu.
“Dan barangsiapa yang melakukan perbuatan jahat dalam Islam, lalu diikuti oleh orang yang lain, maka akan ditulis baginya dosa bagi orang yang melakukan perbuatan tadi, tidak berkurang sedikit pun dari dosa tersebut.” (HR Muslim)
4. Bagi orang awam pula, janganlah menunjukkan sokongan terhadap perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Jangan pula kita berkongsi dan turut menyebarkan kerosakan ini. Malah kerosakan yang disenyapkan ini mengundang azab Allah.
Sabda Rasulullah:
ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ
“Tidak ada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya namun mereka tidak mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)
Semoga Allah membimbing kita.
Maksiat tidak sepatutnya dinormalisasikan, walau dalam apa jua bentuk sekalipun. Islam bukan agama yang menyekat kebebasan, tetapi agama yang membimbing kita ke jalan yang benar. Jika kita benar-benar sayangkan agama, sayangkan diri, dan sayangkan masyarakat, kita harus berani berkata tidak kepada budaya normalisasi maksiat.
Kerana yang salah tetap salah, walaupun ramai yang melakukannya. Dan yang benar tetap benar, walaupun hanya sedikit yang mengikutinya.
Separuh akhir Akademi Qurra’ 2024 yang bersiaran secara langsung di TV AlHijrah sabtu lalu menyaksikan penyingkiran dua peserta lelaki, Tilmiz Nabil dan Tilmiz Taufiq sekali gus melayakkan lima lagi peserta mara ke pentas akhir.
Peserta yang berjaya melangkah ke final ialah Tilmiz Luqman, Tilmiz Amnan, Tilmizah Sofea, Tilmizah Syahira, dan Tilmizah Sholihah
Saingan separuh akhir menyaksikan kesemua peserta melakukan dua tugasan iaitu bacaan Al-Quran dan uji taranum.
Menariknya, Anugerah Alunan Terindah diberikan kepada peserta Tilmiz Luqman sekali gus menyaksikan kejayaan kali keduanya bagi anugerah itu.
Menurut juri jemputan, Ustazah Rahmas Abdullah yang juga juara Tilawah Kebangsaan sebanyak tujuh kali berharap kesemua finalis tidak putus semangat dan terus mencari nada suara yang betul dalam bacaan ayat suci Al-Quran.
“Kesemua peserta memiliki suara yang baik, cuma tenaga pengajar perlu mengajar teknik yang betul mengikut nada suara peserta. Bagi saya, setiap peserta perlu mencari alternatif bagaimana untuk ‘mencuit’ nada tertinggi.
“Pada peringkat separuh akhir ini saya belum mengenal pasti peserta yang mencapai tahap terbaik. Mungkin atas faktor keseluruhan masa dan tekanan di atas pentas. Lagipun proses seperti ini memakan masa yang panjang, tapi mereka diberi masa yang singkat untuk berlatih,”katanya.
Kuasai Tarannum
Tambah Rahmas, selain melagukan tarannum, bacaan juga perlu mempunyai kelunakan tanpa merosakkan tajwid dan sifat huruf.
“Pada peringkat akhir, setiap peserta perlu berpegang kepada tingkat suara dalam tarannum iaitu qoror, nawa, jawab dan jawab-buljawab.
“Selain itu, mereka juga perlu pandai mengolah lagu mengikut burdah-burdah yang ada dan mestilah ada kelunakan. Tajwid juga mesti sempurna dan sifat-sifat huruf dijaga serta dilontarkan dengan baik,”katanya.
Dalam pada itu, Tilmizah Syahira meluahkan rasa syukur apabila meraih markah tertinggi pada peringkat separuh akhir Akademi Qurra’ 2024.
“Saya memang tidak sangka mendapat markah tertinggi kerana ketika latihan saya bukanlah yang terbaik. Apapun saya bersyukur dan anggap markah pada pentas separuh akhir ini sebagai motivasi untuk saya lakukan yang terbaik pada final,” katanya.
Menyentuh tentang tugasan untuk peringkat final peserta akan melalui ujian tilawah, tadabbur dan duet tarannum bersama selebriti undangan.
Selain itu, terdapat kejutan buat peminat program ini apabila pihak produksi bakal menjemput tiga qari dan qariah legenda untuk mengalunkan ayat suci al-Quran sebagai salah satu persembahan.
Dihoskan oleh Raqib Majid, Akademi Qurra 2024 turut menampilkan Mudarris Ammar Mukhlis, Mudarrisah Suhailah Zulkifly dan Mudarrisah Nadia Hashim yang bertindak selaku tenaga pengajar.
Program yang ditayangkan pada setiap Sabtu jam 9 malam itu menampilkan juri tetap Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dan Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim serta dibantu oleh Ustazah Rahmas Abdullah selaku juri jemputan pada minggu separuh akhir lalu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!