Pasangan suami-isteri bernama Pam dan Gary Willis telah mengambil 7 beradik yatim piatu dan menjadikan mereka sebagai anak angkat selepas ibu bapa mereka maut akibat kemalangan kereta.
Walaupun mereka memiliki 5 anak kandung dan 6 orang cucu, pengambilan anak angkat ini bukanlah satu masalah buat Pam dan Gary.
Pasangan suami-isteri dari Menifee, California ini mengambil keputusan untuk mengambil 7 beradik selepas membaca kisah mereka di Facebook.
7 beradik ini kehilangan ibu bapa mereka pada bulan Mei 2018 apabila kereta yang dinaiki terbalik di lebuh raya. Tidak seperti ibu bapa mereka yang kehilangan nyawa, kesemua 7 beradik ini walaupun mengalami kecederaan teruk, mereka telah sembuh sepenuhnya sebelum dihantar ke rumah anak-anak yatim.
Tanpa ahli keluarga lain yang boleh mengambil dan menjaga, kesemua adik-beradik ini berisiko untuk dipisahkan daripada satu sama lain.
Sesungguhnya 7 beradik ini amat berterima kasih kepada Pam, 49, dan Gary,52, kerana mengambil mereka semua sekaligus tidak memisahkan 4 adik beradik lelaki dan 3 adik beradik perempuan ini.
Sewaktu ditemuramah oleh Metro, Pam berkata sebaik sahaja dia melihat berita mengenai kanak-kanak tersebut, hatinya rasa sedih.
“Saya lihat pada wajah mereka dan saya dapat rasakan mereka perlukan keluarga dan rumah untuk selama-lamanya.
“Setiap minggu saya menelefon perkhidmatan anak angkat bagi menunjukkan betapa saya dan suami amat bersungguh-sungguh untuk membantu 7 beradik tersebut.’
Dalam masa beberapa minggu, pasangan ini ini diberikan kebenaran untuk melawat dan bertemu dengan semua 7 beradik yang diberi nama Adelino, 15, Ruby,13, Aleecia, 8, Anthony, 7, Aubriella 6, Leo, 5, dan Xander,4, yang ketika itu telah tinggal di rumah anak-anak yatim selama setahun.
“Dari pertama kali saya dan suami melihat anak-anak ini, kami terus sayang pada mereka. Saya dan Gary dapat lihat bahawa 7 beradik ini adalah anak-anak yang baik. Dan kami sedang melakukan perkara yang betul ketika itu.”
Pasangan ini sebenarnya telah lama membantu kanak-kanak yang memerlukan bantuan. Mereka telah mengambil dan menjaga kanak-kanak yang perlukan tempat tinggal sementara selama bertahun lamanya. Pada satu masa mereka akan mengambil dua atau tiga orang kanak-kanak untuk dijaga sementara waktu.
Kisah Berkaitan:
Pengambilan anak angkat bukanlah sebahagian daripada rancangan asal mereka, sehinggalah Pam melihat kisah sedih anak-anak yatim itu di Facebook.
Namun disebabkan kelima-lima anak mereka, Matthew,32, Andrew,29, Alexa,26, Sophia,22, dan Sam 19, semuanya telah dewasa dan berpindah keluar dan tinggal di rumah masing-masing, Pam dan Gary mempunyai banyak ruang untuk diberikan kepada 7 beradik di bawah usia 16 tahun itu.
“Saya tidak suka perasaan memiliki 6 buah katil kosong di dalam rumah disebabkan anak-anak kandung kami telah besar dan berpindah keluar. Saya tidak mahu memiliki kesemua bilik-bilik kosong ini tanpa seorang pun berada di dalam bilik tersebut.”
Tiga bulan kemudian, iaitu pada bulan Jun 2019, pasangan ini akhirnya sah menjadi ibu bapa kepada 12 orang anak.
Pada mulanya, Pam menjelaskan terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan. Contohnya seperti mahu mendapatkan kepercayaan dan gangguan tidur. Semua itu memang telah dijangkakan oleh Pam dan Gary.
Tetapi daripada hari pertama berpindah masuk ke rumah baru mereka, 7 beradik ini sudah boleh menyesuaikan diri. Mereka juga telah memanggil Pam dan Gary dengan panggilan mum dan dad.
Anak-anak angkat Pam dan Gary juga dapat menyesuaikan diri dengan anak-anak kandung mereka. Malah mereka telah pergi bercuti bersama-sama termasuklah ke Disneyland di California.
Sudah hampir 15 bulan mereka tinggal bersama. Keluarga besar ini lebih gembira daripada sebelumnya.
“Anak-anak kandung saya menerima adik-adik angkat mereka dengan baik. Malah mereka menganggap adik-adik angkat itu seperti keluarga kandung mereka juga. Memang sukar untuk menjaga tujuh orang kanak-kanak, jadi dua orang anak perempuan saya turut membantu apabila diperlukan.
“Saya menyedari betapa gembiranya 7 beradik ini. Dan ini membuatkan saya turut berasa gembira kerana itulah yang saya harapkan selama ini.
“Adelino, abang sulung 7 beradik itu baru-baru ini berkata pada saya, ‘terima kasih kerana memberikan kehidupan baru kepada kami’. Saya tak dapat jelaskan perasaan saya ketika itu. Gembira sangat.”
Ibu kepada 12 orang anak ini sentiasa menaikkan gambar keluarganya di akaun Instagram miliknya.
Sumber: thesun.co.uk
Kredit Foto: second.chance.7