Kes seorang bayi tertelan cincin, Nur Dahlia Aleesa berusia 9 bulan ketika di dalam buaian 2 Julai lalu di rumahnya di Telok Mas, Melaka menjadi viral, mengundang pelbagai komen dan kritikan. Tiga hari selepas bayinya dibenarkan keluar dari Hospital Melaka, Mingguan Wanita (MW) menemuramah Siti Khatijah Abu Bakar, 24 tahun, ibu kepada empat anak ini untuk berkongsi pengalaman tak terduga itu.
Selepas kejadian anaknya tertelan cincin, Siti Khadijah mengakui pelbagai perasaan menyerang diri dan dia seperti trauma apa tah lagi apabila membaca pelbagai komen dan kritikan yang ditujukan kepadanya oleh natizen sebaik sahaja kisah anaknya itu diviralkan di laman sosial. Akibatnya dia mengalami gangguan kesihatan. Sebagai ibu, sukar baginya menggambarkan apa yang ada di dalam hati ekoran tragedi itu.
Cerita Sebenar Bayi Tertelan Cincin
Berkongsi kisah sebenar tragedi itu yang dikongsi ibunya. Pada hari Ahad iaitu pada petang kejadian, mereka sekeluarga, kecuali suaminya sedang bersiap-siap untuk ke rumah terbuka bekas Ketua Menteri Melaka, Senator Tan Sri Haji Mohd Ali Mohd Rustam yang diadakan di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka.
“Sebelum itu, Caca (nama panggilan manja Aleesa) tidur selepas menyusu. Ketika kami sedang bersiap-siap, Caca terbangun dan menangis. Kakaknya Nur Dhaniyah Qistina yang berusia 5 tahun, membantu saya menidurkan semula Caca. Dia menghayun buaian sambil menyanyi menidurkan adiknya itu.
“Selang beberapa minit tak terdengar lagi suara Caca menangis. Saya fikir Caca sudah terlena semula. Kemudian saya terdengar suara Caca batuk-batuk seperti tercekik sesuatu. Saya meluru ke buaian dan mengambil Caca untuk melihat apa yang terjadi. Saya menekan-nekan perut dan menggosok-gosok belakang Caca, tetapi tidak ada apa-apa yang keluar dari mulutnya.
“Saya bertanya Dhaniyah berkali-kali, kenapa dengan adiknya itu. Apa yang dia makan. Tiba-tiba Dhaniyah beritahu Caca makan cincin… Mendengar apa yang diberitahu itu, saya terus panik, dan lihat cincin di tangan Caca sudah tiada. Rasa tak tentu arah saya dibuatnya. Tetapi keadaan Caca seperti tidak ada masalah, cuma menangis sedikit ketika saya kerap mengangkat dan menggosok serta menekan perutnya. Walaupun tidak ada apa pun terkeluar dari mulut Caca, saya terus berusaha untuk mengeluarkan cincin tersebut.
“Dalam masa yang sama, saya cuba menolak kemungkinan Caca tertelan cincin dan meminta anak sulung, Danish Erwan berusia 7 tahun, mencari cincin Caca di dalam buaian dan tempat-tempat lain, kalau cincin itu terjatuh di mana-mana. Bila dah merata mencari tak juga jumpa, saya tahu mungkin benar cincin itu ada di dalam perut Caca.
“Kemudian saya terus menelefon suami yang sedang membawa bas ke Kuantan akan apa yang berlaku. Saya benar-benar panik. Suami minta saya bertenang dan tidak menyalahkan saya,” cerita Siti Khadijah mengenai peristiwa itu.
Ibu muda itu memberitahu, cincin bersadur emas berharga RM30 itu dibeli sehari sebelum kejadian (hari Sabtu) di Kuala Terangganu sebelum mereka pulang ke Melaka.
Tetapi masa yang sama, Caca seperti tak ada apa-apa masalah pun. Saya angkat anak dari buaian dan dia cuma menangis sedikit sahaja. Masa yang sama, saya jadi kurang percaya yang anak tertelan cincin tetapi pada satu masa lagi saya mulai bimbang selepas saya lihat cincin di jarinya sudah tiada. Dalam panik itu, saya suruh anak sulung, Danish Erwan berusia 7 tahun untuk mencari cincin tersebut. Cari di buaian tak jumpa-jumpa. Saya cari bawah katil, cari celah kain kerana mahu pastikan yang Caca tak telan cincin itu.”
Ads
“Suami tenangkan saya, minta saya jangan panik dan jangan sedih-sedih. Suami tak salahkan saya atas kejadian ini kerana kami seperti tidak yakin yang Caca sudah menelan cincin tersebut.”
“Ketika pulang berhari raya di Terangganu, saya sempat singgah ke kedai barangan kemas bersama ipar saya sehari sebelum kami pulang ke Melaka. Saya berkenan dengan rekaan cincin itu. Saya fikir cincin itu pasti cantik untuk Caca. Harganya pun berpatutan. Suami tak tahu saya membeli cincin itu kerana dia di rumah menjaga anak-anak ketika itu. Memang tak sangka sama sekali, cincin itu mendatangkan musibah pada anak saya…” ujarnya dengan suara masih sebak.
Tetapi apabila melihat keadaan Caca seperti tiada apa yang berlaku, menyebabkan ipar meminta mencari lagi cincin itu di tempat-tempat lain. Habis satu rumah mereka mencari cincin itu semula tetapi hasilnya cincin itu tetap tidak ditemui.
“Disebabkan Caca nampak ok dan boleh tersenyum bila diagah oleh abang dan kakak-kakaknya, hati saya sedikit tenang. Kerana anak-anak sudah bersiap, kami pergi juga ke jamuan hari raya itu. Walaupun Caca berselera makan dan boleh makan apa sahaja yang diberikan oleh abang dan kakaknya serta terlonjak-lonjak gembira melihat orang ramai, tetapi hati saya tetap risau. Saya pergi hanya sekejap sahaja untuk lepaskan hajat anak-anak. Habis makan terus pulang. Selepas solat Asar, saya tidak berlengah terus membawa Caca ke hospital.
“Urusan di hospital berjalan lancar apabila saya memberitahu bahawa anak saya tertelan cincin. Masuk ke bahagian kecemasan, kes Caca ditanda sebagai “urgent”. Saya bertemu doktor dan X-Ray perlu dibuat sebanyak tiga bahagian tubuhnya untuk mengesan kedudukan cincin itu.
Ads
“Alhamdulillah, X-Ray kali pertama, terus ternampak cincin berkenaan di dalam usus. Caca terpaksa diwadkan untuk prosedur selanjutnya iaitu proses pembedahan bagi mengeluarkan cincin tersebut,” ujar Siti Khadijah yang makin risau apabila sah cincin itu berada di usus anaknya dan sebak membayangkan anak kecil itu terpaksa dibedah.
Menurut doktor, pembedahan perlu segera dibuat bagi mengelakkan cincin itu melukakan bahagian usus Caca tambahan bahagian atas cincin itu memang tajam. Setelah mendapat pengesahan tersebut, Siti Khadijah terus memberitahu keadaan Caca kepada suami yang masih di dalam tugas.
Tertekan Dikecam Netizen
“Disebabkan suami masih bertugas, saya menelefon mak yang tinggal di Masjid Tanah untuk membantu saya menjaga anak-anak lain di rumah sementara saya menjaga Caca di hospital. Saya pulang sebentar ke rumah untuk mengambil beberapa barang keperluan. Sampai semula ke hospital doktor datang bertemu saya menerangkan beberapa prosedur yang perlu dijalani Caca dalam proses mengeluarkan cincin tersebut.
“Bagaimana saya sangat bersyukur kerana Caca tidur lena selepas diberi makan nasi lemak pada malam itu, biarpun saya sendiri tidak boleh tidur mengenangkan anak saya itu terpaksa menjalani pembedahan. Tambahan pula saya terperasan ketika di rumah terbuka petang itu, Caca akan sendawa berkali-kali selepas diberi makan. Seperti terlalu banyak angin di dalam perutnya.
“Disebabkan mata tidak mahu terlelap risaukan Caca, saya membuka telefon bimbit untuk berkongsi apa yang doktor maklumkan dan membaca kisah Caca yang sudah menjadi viral. Ada pelbagai komen yang diberikan baik positif dan banyak juga yang negatif.
“Saya menangis apabila membaca kutukan yang dilemparkan kepada saya tanpa faham apa yang saya rasakan sebagai seorang ibu. Tidak ada seorang ibu pun mahu kejadian seperti ini terjadi,” ujar Siti Khadijah yang mengakui sangat tertekan dan berasa rendah diri apabila terlalu banyak komen negatif itu sehingga suami menenangkan dirinya dan meminta dia untuk tidak melihat ruangan sosial itu lagi.
Ads
Doa Orang Sekeliling
Rahmat Allah serta doa-doa orang sekeliling termasuk ada cadangan dia memberikan anaknya makan pisang, antara peluang yang dirasakan masih boleh dicuba oleh Siti Khadijah untuk menyelamatkan anaknya daripada dibedah. Dia membayangkan mungkin cadangan itu boleh digunakan sementara menanti pembedahan ke atas Caca.
“Jam 6 pagi itu, saya bangun dan solat. Ketika itu Caca masih tidur lena. Doktor datang dan beritahu tentang beberapa perkara dan masalah. Saya serahkan semuanya atas kebijaksaan doktor dan petugas hospital dalam usaha mengeluarkan cincin itu dari perut Caca.
“Selepas doktor pergi, saya membeli cekodok pisang daripada seorang peniaga yang datang menjual di wad itu. Apabila Caca bangun saya memberikan Caca makan sebiji cekodok bersama secawan milo. Setengah jam selepas makan, saya tengok mukanya mulai memerah. Dia seperti meneran. Caca menangis sedikit tetapi berusaha terus meneran.
“Beberapa ketika meneran, akhirnya dia buang air besar. Lampin pakai buangnya dipenuhi najis agak banyak sehingga terkeluar dari lampin dan cadar. Saya membawanya ke sinki. Sebaik membuka lampin itu, cincin terpelanting dalam sinki. Tak sedar saya menjerit begitu kuat memanggil jururawat.”
Menurut Siti Khadijah lagi, dia benar-benar berasa lega, dan gembira apabila cincin itu keluar bersama najis anaknya itu. Walaupun saiz cincin itu agak besar tetapi dia bersyukur berkat doa daripada semua, cincin itu dapat keluar tanpa mencederakan Nur Dahlia Aleesa.
Barangan Yang Ibu Ayah Patut Elak
Kata doktor, kes bayi tertelan bendasing banyak terjadi sebab kanak-kanak suka membawa tangan mereka ke mulut. Apabila tangan itu bercampur air liur menyebabkan cincin itu mudah terlucut dari jari dan masuk ke mulut dan potensi untuk tertelan amat besar.
Doktor turut memberitahu, gelang kaki berloceng bentuk love juga patut dielakkan pada kanak-kanak dan bayi kecil, kerana loceng itu mudah tercabut. Selain suka memasukkan tangan ke mulut, kanak-kanak kecil ini juga suka menarik kaki mereka ke mulut.
“Saya akan ingat nasihat doktor itu sampai bila-bila,” ujar Siti Khadijah dan memberitahu terdapat sedikit kesan merah di punggung anaknya. Kini kesan itu beransur hilang.
Kata Siti pengalaman ini cukup berharga dan menjadi pengajaran yang tidak akan dilupakannya. Cincin itu kini telah disimpan di tempat yang selamat agar kejadian itu tidak berulang lagi. Suaminya, Mohd Shuada Bakar juga menasihatinya lebih berhati-hati ketika memberikan anak-anak barang perhiasan diri.
“Alhamdulillah Allah melindungi anak kecil saya sehingga tiada pembedahan dilakukan. Terima kasih atas doa-doa anda semua,” katanya yang mengusahakan spa di rumah. Siti yang berkebolehan mengurut badan untuk wanita sahaja dan spa, setiap hujung minggu akan pulang ke rumah ibunya dan dia akan ke rumah pelanggan seperti ditempah. Seperti katanya, dia tidak menyangka kes bayi tertelan cincin yang melibatkan anaknya menjadi viral.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Seorang bapa di Sepanyol memberikan alasan paling mengarut apabila tergamak merogol anak perempuannya berusia 15 tahun dan dua rakan anaknya kononnya untuk ‘menyingkirkan roh jahat’ dalam tubuh mereka.Ini merupakan alasan paling tidak masuk akal hanya bertujuan untuk mengambil kesempatan terhadap mangsa.
Lelaki dikenali sebagai Javier GD itu dilaporkan memperkosa kesemua mangsa beberapa kali di kediamannya di Baix Llobregat berhampiran Barcelona.
Difahamkan, isterinya tahu tentang perbuatan suaminya, namun hanya mendiamkan diri.
Berdepan Nasib Buruk
Javier menyakinkan anaknya dan dua rakan anaknya bahawa mereka memiliki roh jahat didalam tubuh mereka dan cara untuk membuang roh jahat tersebut adalah hanya dengan melakukan ritual hubungan intim.
Javier mendakwa ‘Order of Odin’ mengharuskannya merogol ketiga-tiga remaja terbabit atau keluarga mereka akan berdepan nasib buruk.
Susulan itu, pendakwa raya mencadangkan hukuman penjara 45 tahun dikenakan ke atasnya manakala isterinya dihukum penjara sembilan tahun kerana bersubahat.
Ada yang pernah drive satu kereta masuk ke Hat Yai, Thailand? Ramai rasanya dah cuba melancong cara ini. Bagi yang belum ada pengalaman, kumpulan wanita seramai 4 orang ini berkongsi panduan lengkap bercuti ke Hat Yai dengan car pool satu kereta.
Bermula dari Alor Setar, ke Buit Kayu Hitam, Danok sampailah lepas imigresen, melancong dan akhirnya selamat tiba ke Malaysia semula. Ana NabillaNebella dan rakan wanita ini menghabiskan masa 2 hari 1 malam ronda-ronda sekitar Hat Yai yang banyak tempat-tempat menarik. Nak info lebih lanjut, baca perkongsian di bawah.
Car Pool Ke Hat Yai 2 Hari 1 Malam
Pukul 11.15 Pagi
Kami bertolak dari Alor Setar.
Sebelum masuk Thailand isi minyak bagi full sebab kat sana nanti minyak mahal. Kami bawa MYVI isi 25 liter (RM57.75). Singgah Changlon beli insurans kereta dan dia tolong isikan borang putih untuk kita.
Bayaran insurans dan kertas putih RM29 sahaja. Masa buat insurans ini kena tunjuk geran kereta sekali passport pemandu dan penumpang.
Dalam Pukul 12.15 Tengahari
Kami sampai di Bukit Kayu Hitam.
Kat imigresen Malaysia tak payah turun kereta, bawa saja kereta dan berhenti kat kaunter imigresen tu. Then bagi passport pemandu dan penumpang kat Pegawai Imigresen. Lepas dia check dia akan bagi balik.
Masuk Ke Sempadan Thailand Di Danok
Kita tak perlu turunkan penumpang.
Bawa saja kereta beratur di kaunter imigresen. Sementara tengah beratur, pemandu kena turun pergi kaunter pendaftaran, bawa masuk kereta (minta orang lain ganti jadi pemandu sat sementara nak daftar kereta).
Borang pendaftaran bawa masuk dan keluar kereta yang telah diisi oleh pegawai. Mereka akan bagi, borang tersebut perlu bagi di kaunter imigresen Thailand semasa proses cop passport.
Dah selesai urusan kereta, masuk semula dalam kereta. Sampai kat kaunter untuk cop passport, semua penumpang dan pemandu kena turun dan berikan passport serta borang pendaftaran bawa kereta.
Jangan selit duit dalam passport lagi, bila dia minta baru bagi. Kami hari tu dia minta 40 Baht untuk 4 orang.
1.40 Petang
Selesai urusan di sempadan.
Kami semua dah lapar. Singgah Danok makan tengahari di kedai NORLAILA. Order nasi putih, tomyam, ayam goreng kunyit, daging bakar, ulam-ulam dan sambal belacan dan telur dadar.
Makan untuk 4 orang 550 Baht.
Sudah makan kami pi kedai beli simkad nombor baru 150 Baht & Topup 110 Baht ( topup ni untuk nombor yang sedia ada dah. Yang kawan punya ).
2.45 Petang
Bertolak ke Samila Beach. Lebih kurang jam 4.00 Petang kami sampai ( lambat sebab ikut waze dan internet pula problem tengah jalan dia putus ). Keychain boleh beli kat Samila Beach ni.
7.45 Malam
Pergi Floating Market. Kat sini syurga makanan. Aku beli kerabu megi 40 Baht, wai wai 60 Baht. Kat sini pun ada jual keychain juga.
8.30 Malam
Sampai Asean Night Market. Kat sini pun syurga makanan juga. TAPI hampa kena tengok dulu orang jual tu sebelum beli.
Kat sini depa campur yang halal dan tak halal ( aku tak beli makanan pun ). Beli baju saja habis 140 Baht. Kat sini tak dak jual keychain noo..
Tandas pun tak dak air, so kena bawa botol kosong siap-siap.
10 Malam
Dah letih jalan seharian.
Pukul 10 malam baru nak check in hotel. Hotel tempah online kat Agoda. Hotel HI SEASON HATYAI Bilik Triple (1 katil double, 1 katil single) 1 malam RM89.72.
Bilik puas hati sangat sebab berbaloi dengan harga.
Dalam Bilik disediakan TV, Pengering Rambut, ada plug kaki 3 (Malaysia), Plug banyak tak payah nak berebut atau tunggu giliran nak caj HP, ada tuala, shampoo dan sabun, ada peti ais dan botol air minuman. Bilik air luas, bilik besar aircond sejuk, dan free wifi.
Hari Kedua Di Hat Yai, Thailand
Esok tu kami sarapan sekali makan tengahari kat kedai KAITODDECHA. makan untuk 4 orang kena 1260 Baht.
Lepas makan, pi ronda kat Lee Garden. Kat sini la kami kena ligan dengan polis ( kalau Malaysia Majlis Perbandaran la kot tengok dia dok saman kereta parking tepi jalan).
Kami pun tak tau apa punca kami lari, padahal polis tu dok senyum ja kat kami sambil tu dia dok ikut kami.
Rasa macam pelik ja, kami cepat-cepat terus pi kat kereta start dan belah macam tu ja.
Better lepas ni kalau nak pergi Lee Garden naik tut tut saja sebab kat sini susah gila nak dapat parking.
Ke Central Festival Hat Yai
Lepas tu kami ke Central Festival Hatyai. Kat sini semua kereta hebat-hebat. Beg tangan pun harga 101400 Baht (lebih kurang RM12,000 macam tu). Parking free.
4.30 Petang
Pi Floating Market sekali lagi sebab nak beli keychain.
7.30 Malam
Sampai sempadan Thailand. Beratur di kaunter tak perlu turun dari kereta.
Bagi balik borang pendaftaran masuk kereta kat Pegawai Imigresen Thailand tu dan cop passport. Macam biasa imigresen Thailand akan minta duit tepi. Kami bagi 40 Baht juga untuk 4 orang.
Kos Tambang Ke Hat Yai Dengan Kereta Untuk 4 Orang
Minyak RM60 / 4 Orang – RM15
Insurans RM29 / 4 Orang – RM7.25
Hotel RM90 / 4 Orang – RM22.50 *tempah kat Agoda
Makan kat Danok 550Baht / 4 Orang – RM18
Makan kat Hatyai 1260Baht / 4 Orang – RM39
Duit tepi 80 Baht / 4 Orang – RM2.50
Total : RM104.25 (Tidak termasuk shopping)
Kalau tak termasuk makan RM47.25 ja.
Paling terkesan dalam satu-satu keretakan rumah tangga sebenarnya bukanlah pada diri orang tua, tetapi anak-anak yang tanggung derita. Apabila suami tak lagi cinta, mencari kasih lain dari syurga yang sebenarnya ada di rumah sendiri, makin terseksalah hidup isteri malah anak-anak.
Ini kisah benar yang terjadi pada sebuah keluarga yang menyewa rumah sewa Azlina Hazmi. Dan inilah yang disaksikan sendiri olehnya di depan matanya. Pilu kisah anak-anak ini. Kerana suami yang berkahwin dengan gadis 16 tahun, isterinya turun naik mahkamah untuk proses penceraian dan anak-anak terabai sampai kelaparan.
Isteri Hamil Anak Ke-4, Suami Kahwini Gadis 16 Tahun
Kisah ini benar terjadi di depan mata saya. Pasangan berpisah anak 3 orang dengan isteri mengandung. Anak yang sulung umurnya 5 tahun, kedua 4 tahun dan ke tiga 2 tahun. Suaminya dah berkahwin dengan budak umur 16 tahun.
Si isteri ke sana sini uruskan diri sorang-sorang. Ada sekali dia datang minta tolong tengok-tengokkan anaknya sebab dia nak ke mahkamah uruskan penceraian. Masa dia hantar tu, anak sulungnya demam. Bila saya tanya dah makan ke belum.
Dia cuma jawab, “Dalam peti ais tak ada makanan. Mama dah bagi makan telur rebus.”
Saya suruh dia makan nasi, dia tak nak. Tapi dia minta makan roti. Saya beri dia 2 keping dan makan sampai habis. Dalam setengah jam, anak tadi cuit saya sebab dia ini macam ada masalah bercakap. Bila bercakap guna bahasa dia saja. Orang lain tak faham.
Masa dia cuit itu nak beritahu yang dia nak muntah. Air mata saya tak boleh tahan bila tengok budak sekecil itu tanggung sakit.
Dua orang adik-adiknya masa itu bekas suaminya dah ambil. Saya tak sampai hati Jadi saya suruh suami cari ayah budak itu. Dan tunjuk gambar anak dia yang tak sihat. Sekali ayahnya tanya suami saya balik, “Ibunya pergi mana?”
“Allahu.. rasa macam nak suruh laki saya tumbuk muka dia masa itu.” Saya cakap kalau sayang anak tolong datang ambil dan bawa pergi klinik.
Dia datang rumah saya dengan bini mudanya. Malam itu juga dia terus hantar anak dia balik kampung. Lega hati bila mama dia tunjuk gambar anak-anak dia dalam jagaan bekas mentua dan sihat walafiat.
Saya tahu ibunya tak kuat masa itu. Tengah mengandung lagi, tak kerja, tak ada tempat tinggal. Itu yang saya usahakan supaya bekas suami dia ambil anak dia. Tapi si bekas isteri ini sangat baik dengan bekas mentua. Selalu pergi ke kampung melawat anak-anak.
Bekas Suami Tak Nak Ambil Tahu Kandungan Isteri Sebab Bayi Itu Lelaki
Sebelum ini pasangan ini menyewa di rumah saya. Tapi mereka bercerai selepas berpindah ke rumah sewa lain. Rumah baru itu tak jauh pun dari kawasan rumah sewa saya. Cuma sekarang dah hilang jejak sebab mereka dah berpindah tempat lain selepas bekas suami dikecam jiran-jiran.
Masa itu suaminya mengabaikan anak-anak yang masih kecil. Masa dia ambil anak-anak untuk duduk sama-sama dengan isteri baru, anak-anak 3 orang tu ditinggalkan dalam rumah sendirian dalam gelap. Ayahnya pergi kerja, mak tiri pula keluar jumpa kawan.
Jiran ternampak dan ajak anak dia tapi anaknya tak nak pergi. Duduk kat tangga sambil tunggu ayahnya balik. Masa jiran nak pergi pujuk anak tu, masa itulah mak tirinya balik. Tanpa ucap sepatah lata pun tapi dimarahnya anak-anak tu.
Saya mesej dekat ibu kandung mereka. Masa itu ibunya tengah sarat mengandung dan berulang alik ke hospital Ampang seorang diri. Anak nombor empat yang dikandung ini bekas suami langsung tak nak ambil peduli.
Tak belikan kelengkapan bayi. Katanya bekas suami tak nak baby tu. Masa scan doktor kata bayi lelaki. Dia dah ada 3 orang anak lelaki jadi kalau boleh nak anak perempuan. Dengan izin Allah Yang Maha Kuasa, masa bersalin keluar bayi perempuan.
Satu Lagi Kejadian Menyayat Hati
Ini kejadian sebelum ayahnya hantar anak-anak ke kampung. Suatu hari ibunya tumpangkan anak-anak 3 orang itu di rumah saya. Sebab dia pergi kerja dan tak ada orang yang jaga. Saya setujulah sebab anak-anak dia dah biasa dengan saya.
Masa hantar anak dalam pukul 10 pagi macam itu, daya terus masak sebab tengok diaorang lesu ke. Dah siap masak saya cedukkan nasi nak suap diaorang. Anak yang no 2 yang umur 4 tahun datang dari belakang dan tarik baju saya. Lepas itu saya pusing dia tengah gosok perut dia sambil sebelang tangan lagi angkat baju tunjuk isyarat lapar.
“Ya Allah, sedih sangat-sangat. Saya pusingkan muka sambil menangis sebab tak tahan tengok muka anak tu masa itu.”
Yang terakhir kali saya dapat berhubung dengan ibu anak empat ini. Bekas suaminya dah ambil yang bayi perempuan dan hantar ke kampung. Maknya yang jaga semua anak-anak dia. Tengok pada gambar yang dikirimkan anak-anak ini makin sihat dan bersih. Tapi emosi anak-anak ini saya tak tahulah macam mana.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...