Malaysia sedang memasuki fasa kedua PKP. Bagi mereka yang mata pencarian utamanya melalui cara berniaga, pasti sedikit sebanyak terasa kesempitannya. Tak kiralah Mak Kiah yang jual goreng pisang di simpang PPRT, Uncle Muthu jual roti sambil naik motosikal pusing satu pekan Tampin, Daniel Lim buka kedai handphone dan jual prepaid…semua pasti bimbang memikirkan macam mana nak meneruskan hidup, kerana pendapatan utama mereka samar-samar nampaknya.

Ketahuilah sekalipun anda usahawan berskala kecik-kecilan mahupun besar-besaran, masing-masing ada skala ujiannya. Kisah kurma busuk Abdul Rahman bin Auf ini mungkin boleh dijadikan iktibar. Jangan terlalu dibimbangkan hal kerugian, kerana dalam kerugian itu kita mungkin lupa ada rezeki lain yang Allah S.W.T kirimkan. Ingatlah La Tahzan, yang mana maksudnya, janganlah bersedih, sesungguhnya Allah S.W.T bersama kita.

—————————————————————————————————-

Kisah Rezeki Kurma Busuk, Bukti Rezeki Allah Itu Luas & Tak Disangka-Sangka!

Kisah Abdul Rahman bin Auf r.a seorang saudagar kurma kaya raya di zaman Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, bahawa orang terpaling akhir yang akan memasuki syurga Allah nanti, adalah manusia bernama Abdul Rahman bin Auf r.a. Kerana kekayaannya membuatkan dia dihisab paling lama.

Sebaik mendengar sendiri khabar mengenai nasib dirinya nanti dan disampaikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W, Abdul Rahman bin Auf r.a mula memikirkan cara apa yang boleh dilakukannya, bagi memastikan dia masuk syurga lebih awal daripada sepatutnya. Beliau ingin menjadi miskin seperti sebelumnya supaya dia tidak perlu menunggu lama, memandangkan kalau hidupnya masih kaya sampai bila-bila, dia perlu dihisab bersama harta-harta kekayaan yang mengambil masa.

Selepas Perang Tabuk, kurma di Madinah yang ditinggalkan para sahabat menjadi busuk. Harganya jatuh teruk. Abdul Rahman bin Auf r.a nekad menjual semua harta bendanya dan membeli kesemua kurma busuk itu dengan harga yang baik. Tindakan beliau itu membuatkan para sahabat yang bimbang rugi teruk, kembali tersenyum lega.  Kesemuanya memanjatkan rasa syukur kerana dikurniakan rezeki dalam waktu mereka rasa mereka bakal berdepan kerugian teruk. Sebaliknya Abdul Rahman bin Auf r.a  pun turut tersenyum gembira, kerana misinya untuk masuk syurga dulu bakal terlaksana.

IKLAN

Maka pulanglah Abdul Rahman bin Auf r.a dengan kurma busuknya itu dengan hati berbunga riang. Terbayang-bayang indahnya syurga seperti mana yang disampaikan Rasulullah S.A.W.  Namun benarlah, Allah itu sebaik-baik perancang.  Dalam kita berfikir nak diapakan buah kurma busuk yang banyak itu, Allah hantarkan satu utusan dari Yemen yang membawa khabaran, Raja Yemen mencari kurma busuk dalam kuantiti yang banyak dan segera.

Rupanya di Yemen, rakyat di negara itu sedang dilanda wabak penyakit yang rancak menular. Ajaibnya, ubat yang boleh menyembuhkan wabak ini adalah dengan makan kurma busuk! Hanya Abdul Rahman bin Auf r.a sahaja satu-satunya peniaga yang mempunyai banyak kurma busuk. Subhanallah  dan dengan izinNya, ke semua kurma busuk itu habis diborong oleh Raja Yemen itu dengan bayaran 10 kali ganda daripada harga kurma biasa.

فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ 

“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kau dustakan?” (ar-Rahman: 13).

IKLAN

Ya Allah, ketika MW menaip artikel ini kembali rasa kerdilnya diri ini. Dengan keadaan semasa yang ramai peniaga bimbangkan menanggung kerugian besar. Allah dorong MW untuk temui kisah penuh inspirasi daripada kurma busuk Abdul Rahman bin Auf r.a.

Merujuk kepada nama Ar-Razzaq, Allah SWT mengurniakan rezeki yang banyak kepada hamba-Nya sama ada manusia itu beriman ataupun sebaliknya.

Makna dan kelebihan Ar-Razzaq tidak dapat ditandingi setiap daripada makhlukNya. Dialah berkuasa mengurniakan rezeki kepada setiap makhlukNya. hal itu dijealskan Allah SWT menerusi firmanNya yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikendakiNya dengan tidak dikira.: (Surah Ali ‘Imran, ayat 37. )

IKLAN

Istilah rezeki perlu difahami dalam konteks yang luas. Rezeki bukan hanya merujuk kepada wang ringgit, sebaliknya rezeki mencakupi pelbagai perkara seperti makan, minum, zuriat, pekerjaan, masa lapang, keluarga, kesihatan dan kesejahteraan. 

Ibrah daripada kisah kurma busuk ini boleh kita perhalusi sebaiknya. Bacalah umpama mata lebah yang melihat madu, jangan pula jadi mata lalat yang hanya menilai dari sudut busuk dan buruk. Di dalam situasi sekarang, keberserahan kepada Allah adalah sebai-baiknya. Yakinlah dalam kita runsing mengenangkan sales waktu-waktu getir sebegini, mungkin Allah nak kirimkan rezeki lain dalam kita tak sedar.
Kadang-kadang kita mengeluh dengan apa yang berlaku. Kadang-kadang juga kita berputus asa dengan apa yang telah kita lakukan. Segala yang dirancang tak semuanya menjadi. Jadi di mana silapnya. 

Yakinlah setiap yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia dan tidak sesekali menzalimi hambaNya. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita kerana Dialah yang mencipta kira. Didiklah hati untuk selalu bersangka baik dengan ketetapanNya, kerana sesungguhnya Dia lah sebaik-baik perancang. 

وَمَكَرُوا۟ وَمَكَرَ ٱللَّهُ وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَٰكِرِينَ

Maksudnya : “Dan mereka merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), dan Allah sebaik-baik perancang (membalas tipu daya).”

(Surah Ali `Imraan : ayat 54)

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI