Poligami sebagai sunnah tetapi hukum poligami bukan sunat. Betul… poligami dibenarkan di dalam syariat Islam sebagai satu perkara yang harus, bukan wajib dan bukan sunat.
Poligami sebagai sunnah Rasulullah SAW kerana poligami dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Sunnah bermaksud setiap perlakuan atau perbuatan Rasulullah, setiap perkataan atau ucapan baginda malah setiap pengakuan baginda s.a.w. Sunat pula satu hukum yg jika dibuat perkara tersebut akan dapat pahala, jika ditinggalkan tak berdosa.
Kalau Suami MAMPU
Haaaa… kalau seorang lelaki itu berkemampuan dan mampu berlaku adil serta mempunyai hasrat untuk berpoligami, diharuskan baginya untuk berpoligami. Memang wujud kes poligami yang adil dan bahagia walau purata kesnya adalah satu daripada puluhan kes poligami yang ada.
Tetapi andai suami anda berkemampuan dan boleh berlaku adil malah telah menunjukkan usaha dan kesungguhannya untuk berlaku adil, haram bagi seorang isteri untuk memohon cerai semata-mata atas alasan tidak mahu berkongsi suami.
Ya, semua wanita akan sakit hati dan tak boleh terima suaminya mempunyai cinta baru. Bukan saja dah ada cinta baru; tika suami baru berhajat nak wujudkan cinta baru pun, isteri boleh menyinga kalahkan singa betina. Sebab apa?
Fitrah wanita tak boleh berkongsi. Hati akan sakit, cemburu akan menguasai diri. Itu hakikat! Isteri Rasulullah s.a.w pun cemburu. Pernah berlaku isu sakit menyakitkan hati antara mereka. Sarah, isteri Nabi Ibrahim melakukan pelbagai cara untuk menghapuskan cinta Nabi Ibrahim kepadanya setelah mengetahui kewujudan Siti Hajar dalam hidup baginda. Apakah kita boleh katakan Nabi Ibrahim curang? Rasulullah s.a.w juga curang?
Emosi isteri tercalar? Islam bukan zalim. Emosi isteri diambil kira oleh syarak tetapi tidak diutamakan. Perlu fahami konsep redha. Poligami adalah ketentuan syarak bermaksud bukan satu musibah sebaliknya adalah hikmah. Jika suami layak, mampu berlaku adil; isteri wajib menerima perkahwinan baru si suami.
Macam mana kalau masih enggan? Enggan bermaksud anda ingkar kehendak Ilahi; anda tidak redha dan melawan takdir Ilahi. Hati sakit? Kenapa perlu sakit sedangkan suami anda berlaku adil? Tak boleh terima ada wanita lain dalam hidup suami? Siapa anda kepada suami? Suami anda hanyalah pinjaman yang dipinjamkan oleh Allah, satu hari Dia akan ambil juga.
Ada Ego Dalam Diri
Tak boleh terima juga? Itu ego anda. Bukan kasih sayang yang setia. Isteri yang setia akan membantu suaminya menjalankan tanggungjawab sebagai suami kepada dirinya dan madunya kerana madunya juga mempunyai hak yang sama dengan dirinya- dengan syarat; suami tidak abaikan tanggungjawab yang patut menurut syarak.
Tak sanggup, nak cerai? Haram bercerai jika tanpa alasan yang munasabah menurut syarak. Tidak sanggup berkongsi kasih bukan alasan yang munasabah berdasarkan syarak sebaliknya berdasarkan emosi dan hukum menuntut cerai dalam keadaan tersebut adalah haram berdasarkan satu hadis: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga.” -riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI