Semasa mahu balik semula ke rumah selepas bercuti panjang sempena hari raya Aidilfitri ini, adik saya Maria atau lebih mesra dengan panggilan Kak Lang bertanya pada saya apakah yang kami mahu berikan kepada jiran sebelah rumah?
Terdiam seketika saya mendengar pertanyaan tersebut. Apa nak diberi? Lemang sudah lama habis. Kuih raya pun hanya tinggal beberapa biji sahaja. Tahun sebelum ini saya sempat memberi mereka sedikit lemang dan rendang.
Tetapi tahun ini semua makanan itu sudah habis sebab kali ini saya memang bercuti panjang. Lemang sudah habis pada hari raya ketiga.
Tiba-tiba saya mendapat idea. Apa kata kita beli pau. Ala… pau Yik Mun Tg Malim yang terkenal itu. Lagipun kedai pau itu terletak dalam perjalanan balik kami ke Kuala Lumpur. Kampung kami di Slim River dan pekan Tg Malim memang jalan utama untuk kami balik kalau kami tidak mengikut Lebuhraya Plus. Saya kata pada adik, apa kata kita bagi jiran kita itu yang kebetulannya berbangsa Cina untuk rasa pau itu.
Bagi mereka yang berbangsa Cina, mungkin makanan seperti pau itu sudah biasa dalam budaya mereka. Tetapi kami tidak kisah. Yang penting ada buah tangan untuk mereka.
Kenapa pau Yik Mun? Sebenarnya hanya beberapa tahun kebelakangan ini sahaja saya baru makan pau ini. Walaupun sebelum ini saya bersekolah di Tg Malim dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6, saya tidak pernah memakan pau tersebut walaupun kepopularannya melepasi sempadan Perak.
Saya hanya tahu kedai pau itu terletak di Tg Malim tetapi tidak tahu di mana lokasi kedai tersebut. Saya tidak ambil kisah di mana kedai pau itu terletak kerana masa itu saya risau untuk makan pau tersebut. Bukannya apa, saya risau pau tersebut tidak halal kerana yang menjualnya orang bukan Islam.
Hanya setelah bekerja dan setelah cerita kedai pau tersebut keluar televisyen dan surat khabar barulah saya memberanikan diri ke sana. Apa bila mendapat tahu pau tersebut memiliki tanda Halal, barulah saya berani untuk makan.
Sesekali kalau saya dan adik melalui pekan Tg Malim dan jika teringin, sudah pasti kami akan singgah sekejap untuk membeli pau yang masih panas. Kami tidak pernah makan di kedai tersebut. Hanya sekadar beli dan bungkus. Lepas itu kami makan di dalam kereta.
Orang Berbudi Kita Berbahasa
Habis cerita pasal pau. Kita kembali semula kepada cerita buah tangan. Tetapi kenapa kami sibuk fikir buah tangan untuk jiran kami itu?
Sebenarnya hadiah tidak seberapa itu adalah tanda penghargaan kami kepada jiran sebelah yang tolong melihatkan rumah yang kami tinggalkan selama dua minggu. Dia tidak pernah minta hadiah atas apa yang dilakukan itu.
Tanpa disuruh, setiap kali kami balik cuti, dia akan tolong tengok rumah. Apabila ada surat, sudah pasti dia akan tolong menyimpannya.
Begitu juga apabila jiran kami itu hendak bercuti, sudah pasti dia akan beritahu pada kami untuk tolong tengok rumahnya. Sebaik balik bercuti, sudah pasti ada buah tangan yang diberikan.
Tetapi bak kata pepatah, orang berbudi kita berbahasa. Berilah penghargaan walaupun sedikit. Sebagai orang Timur kita kan pentingkan budi Bahasa. Agama, warna kulit dan bangsa bukan halangan untuk kita untuk saling bantu-membantu.
Saya menghargai keprihatinan jiran sebelah kerana saya pernah ada pengalaman rumah dimasuki perompak sewaktu tinggal di rumah lain sebelum ini. Begitu juga dengan jiran sebelah. Rumah mereka pun pernah dirompak ketika Tahun Baru Cina. Sebab tidak mahu peristiwa sama berlaku, kami mula saling bantu-membantu.
Kepada jiran sebelah, terima kasih sebab tolong tengok rumah.