Kipas Siling Jatuh Murid 8 Tahun Patah Jari, Ayah Terkilan Pihak Sekolah Lewat Dapatkan Rawatan Anak. Sungguh malang tidak berbau apabila seorang murid perempuan tahun dua sebuah sekolah di Selama di sini patah jari tangan kiri selepas terkena kipas siling bilik darjah yang terjatuh dalam kejadian pada pukul 10 pagi semalam.
Bawa Sendiri Anak Ke Hospital Selama
Bapa pelajar yang mahu dikenali sebagai Mohd, 32, berkata, anaknya yang berusia lapan tahun itu telah dibawa sendiri ke Hospital Selama oleh isterinya untuk rawatan lanjut.
Katanya, pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu patah tulang jari tangan kiri dan terpaksa dibalut dengan simen selain cedera di bahagian dada.
“Saya telah pergi ke kelas anak saya dan mendapati kipas di dalam bilik darjah itu terlalu uzur, lama dan berkarat. Keadaan kipas itu bukan sahaja tidak selamat, malah tidak sepatutnya digunakan lagi.
“Kebetulan pula, meja anak saya betul-betul di bawah kipas, jadi kecederaan dialaminya agak serius berbanding yang lain,” katanya di sini hari ini.
Terkilan Tindakan Pihak Sekolah
Mohd. berkata, selain anaknya, terdapat tiga murid perempuan lain yang turut cedera terkena kipas berkenaan.
Katanya, anaknya diberikan cuti sakit selama 14 hari dan kini trauma dengan kejadian itu.
“Saya terima kejadian ini sebagai satu kemalangan, namun terkilan dengan tindakan pihak sekolah yang tidak terus menghantar anak saya ke hospital untuk rawatan.
“Pihak sekolah memberi alasan perlu mengikut peraturan yang ditetapkan Jabatan Pendidikan kerana kes itu merupakan kemalangan yang berlaku dalam bilik darjah.
“Saya kecewa kerana kes ini adalah kecemasan dan perlukan tindakan segera. Isteri saya yang tiba di sekolah memaklumkan tangan anak kami telah bertukar warna kuning akibat kejadian itu,” katanya yang membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Selama petang tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Mohd. Sabri Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Mesti Baca:Profesor Madya Akui Silibus Tahun Satu Terlalu Rumit & Tak Sesuai Daya Intelektual Murid
Baca Lagi Di Sini:Detik Cemas Main Lepas Sekolah, Kon Lekat Di Kepala Murid 10 Tahun!
Mingguan Wanita: Semoga pihak berwajib mengambil berat tahap keselamatan peralatan dan perkakasan di sekolah. Perkara sebegini memang membimbangkan mak ayah. Malah jika berlaku sebarang kemalangan, sebaiknya pihak sekolah segera dapatkan rawatan murid berbanding ‘menunggu’ mak ayah yang menghantar sendiri ke hospital bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.
Sumber: Utusan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI