Ketika Tubuh Dihempap Mayat Jemaah, Nazril Cuma Fikir Bila Gilirannya Akan Mati

Share

Sudah seminggu tragedi solat Jumaat menyelubungi emosi rakyat Malaysia. Sebagaimana anda sukar untuk memadamkan memori hitam yang terjadi di Masjid Al Noor dan Linwood di Christchurch, New Zealand.

Begitulah kuatnya tragedi berdarah yang terpahat di kotak ingatan salah seorang mangsa, Mohd Nazril Hisham Omar, 46. Selepas tiga hari, barulah trauma tak lagi bermain-main dengan perasaannya.

Hal ini dikhabarkan sendiri oleh isterinya, Prof Madya Dr Zurinawati Mohi, 48 di dalam facebook miliknya pada 18 March lalu.

Suami saya Hisham Omar memaklumkan kepada ahli keluarga, sahabat-sahabat dan bekas-bekas pelajar bahawa beliau ok.”

 

Suami Saya Dah Banyak Berubah – Zurinawati

Mingguan Wanita berpeluang menemubual Zurinawati yang ketika ini berada di New Zealand, di sisi suami yang masih dalam rawatan di hospital.

Suami saya dah banyak berubah. Daripada saya mula sampai New Zealand, dia dah boleh duduk lama. Dekat 2 setengah jam atas kerusi.”

Tak banyak gerak kerana kakinya masih bersimen. Kesan tembakan di jari kedua belah kaki

.” Dalam kejadian tak berperikemanusiaan itu, Nazril ditembak pada jari-jemari kakinya dan bahagian belakang.

Membuatkan beliau terpaksa menjalani tiga kali pembedahan dalam tempoh 5 hari.

 

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berbual, bertanyakan khabar Nazril yang menjadi mangsa tembakan pengganas di Masjid Al Noor di Christchurch, New Zealand.

Kunci Kereta Dan Barang Peribadi Sudah Diserah Semula Pada Nazril

Kebimbangan terhadap kesihatan suami tak lagi secemas sebelumnya. Hari ini, akui Zurinawati, suaminya sudah minta makan. “Banyak dia makan. Ubat pun dah makan yang jenis pil. Tak banyak dah ikut tiub.”

Alhamdulillah, tak seperti hari kedua operation. Mungkin masa itu, ubat bius masih kuat. Buat dia meracau.”

Sebelum ini, Nazril dilaporkan alami trauma dan meraung sebaik nampak pegawai polis yang lengkap bersenjata yang menjaga keselamatan mangsa di hospital. Ini kerana ketika serangan, pengganas kejam memakai pakaian seragam seolah-olah anggota polis.

Pihak yang menjaga hopital pun tak lagi berpakaian lengkap dengan senjata api macam sebelum ini. Bila dia (suami) nampak senjata api. Itu yang buat dia ‘trigger’.”

Mereka dah pakai macam biasa. Detektif pun dah ambil statement berkaitan kejadian itu.”

Begitu juga dengan kunci kereta, jam tangan malah barang peribadi yang menjadi bahan bukti jenayah juga sudah dipulangkan kepada Nazril.

Sepanjang menjaga suami di hospital, Zurinawati menyaksikan sendiri mangsa-mangsa lain ada yang masih dirawat dan perlu jalani pembedahan. Namun, dia tidak pasti bagaimana tahap keseriusan kecederaan mereka.

 

Cerita Suami Terlalu Menggerunkan

Mengimbas memori tragedi buat Zurinawati yang mendengar dari mulut suami, berasa gerun teramat. “Saya tak boleh bayangkan kalau dalam situasi itu.”

Sebab benda itu menakutkan.”

Kata suami, “Ia bermula dengan bunyi seakan mercun. Letusan pertama yang buatkan semua orang terpinga-pinga. Kemudian, kedengaran bunyi yang lebih kuat.”

Suami mulai panik dan bangun. Paling ke belakang, perasan ada jemaah lain yang sudah terkorban.”

Dia yang masih selamat berlari mahu mencari tempat berlindung. Sewaktu berlari itulah jari-jari kakinya ditembak.

Walau dah kena tembakan, dia gagahkan diri masih berlari. Ketika itulah, tubuhnya di sebelah kiri menjadi mangsa sasaran tembakan dari belakang. Dia rebah. “Sebenarnya, Allah masih lindungi lagi dirinya.”

 

Fikir Nazril Bila Gilirannya Akan Mati

Cerita isterinya, selepas suami terjatuh, tubuhnya dihempap timbunan mayat-mayat. Darah mayat terkorban yang menghempapnya mengalir masuk ke mata, mulut dan hidungnya.

Dia juga nampak ada jemaah yang otaknya dah berkecai.” Derap kaki pengganas masih kuat kedengaran berjalan ke hulu ke hilir menembak para jemaah lain yang dirasakan berpura-pura mati.

Dalam ketakutan yang amat dahsyat itu dia cuma berfikir, “Bila gilirannya akan mati.”

Rupanya timbunan mayat yang menghempapnya itu, asbab untuknya terus hidup. “Itu yang sebabkan dia panjang umur.” Kongsi Zurinawati dengan Mingguan Wanita.

Pembunuhan kejam itu berlaku dalam tempoh yang singkat. Namun, Nazril merasakan situasinya terlalu lama.

Sewaktu diangkat, pegawai yang menyelamatnya bertanyakan namanya. Itu cara untuk bagi dia sedar. Sebaik memberitahu nama, dia langsung tidak ingat apa-apa.”

Suami Minta Musnahkan Video Game Berbentuk Keganasan Di Rumah

Kejadian pembunuhan kejam ini yang disiarkan secara live, seakan permainan video game yang menjadi kegilaan anak-anak remaja malah dewasa masa kini.

Membuatkan pelayar media sosial ketika itu tidak sedar, mereka sedang menyaksikan satu video pembunuhan kejam umat Islam.

Masa tembakan, ada yang ingatkan bukan pembunuhan. Malah ada yang kata, ‘shoot’ ‘shoot’. Ia macam video game. Di rumah, suami dah minta anak-anak musnahkan video game yang berbentuk keganasan.”

Dan inilah yang perlu mak ayah ambil tindakan pada anak-anak yang menjadikan video game sebegini sebagai satu kegilaan.

Rakaman Temubual Prof Madya Dr Zurinawati Mohi Bersama Managing Editor Majalah Nona & Mingguan Wanita, Kiffy Razak

 

 

 

 

 

Published by
Netty Ah Hiyer