Tuntutan membesarkan anak sendirian memaksa ibu menjadi kreatif, baik dari segi kekuatan emosi mahupun pencarian nafkah keluarga. Sikap lemah apatah lagi tak redha dengan ujian tuhan perlu dibuang jauh-jauh. Redha menjadikan ibu lebih kuat dan tabah.
Ini pengalaman Puan Zureiny Zulkafly yang bekerja sebagai pengasuh dalam masa sama membesarkan dua orang anaknya sendirian selepas ketiadaan suami. Salah satu tip membesarkan anak sendirian ini adalah tidak terlalu ego dengan anak. Selanjutnya boleh fahamkan prinsipnya dalam perkongsian beliau ini.
Ibu Ini Macam Mana Orangnya?
Selepas pemergian hubby, anak-anak bergantung harap dan kasih sayang sepenuhnya pada saya. Ainalah yang paling ketara sampaikan tidak mahu berenggang dengan saya. Memang saya lemah jiwa bila tengok anak matanya yang seakan mengharap saya menghantarnya ke sekolah setiap hari. Memang hati saya diruntun pilu bila tidur setiap malam dia akan memeluk saya seeratnya. Seakan tidak mahu melepaskan.
Saya terasa lelah dengan amanah yang berat ini. Rasa senget bahu saya ini. Kadang-kadang saya jadi terlalu penat. Letih dan hilang segala kudrat. Saya bukan mahu jadi hebat. Cukuplah sekadar menunaikan tanggungjawab menurut apa yang mampu saya buat.
Saya akan menangis sendirian merindui hubby. Kalaulah dia masih ada, rasanya saya sudah menangis di ribaannya. Paling tidak pun saya akan mengomel bercerita tak tentu hujung pangkal kepala ekor. Hubby akan mendengar walaupun saya rasa dia seperti tidak mengendahkan. Rupa-rupanya dia faham bila dia jawab “Sabarlah.”
Memang itulah yang selalu dia pesan pada saya. Mendengar perkataan sabar mampu menghilangkan segala kedukaan hati. Meredakan marah yang tersembunyi. Melenyapkan segala dendam yang berapi. Meleraikan segala kekusutan jiwa. Sekarang ini saya terlalu rindu mendengar perkataan sabar dari mulutnya. Betapa saya mengharapkan akan mendengar kata-kata itu di telinga saya.
Begitu juga soal saya dan anak-anak. Bukan mudah mereka hidup tanpa seorang ayah. Saya cuba memahami perasaan mereka. Cuba mengerti apa yang mereka ingini. Bila anak-anak menjawab mereka ‘Ok’ saya terasa dibohongi. Benarkah mereka tidak apa-apa? Atau sekadar menjaga hati saya.
Saya masih merasa kepiluan bila hubby pergi. Tak kan semudah itu anak-anak sembuh dari kehilangan ini. Saya usaha sebaiknya untuk menjaga kedua mereka seperti yang hubby amanahkan. Saya lindung keperitan saya dengan sikap saya yang tegas. Saya tutup kelemahan saya dengan sikap saya yang sangat melindungi. Akhirnya, saya buntu dengan sikap saya sendiri. Saya panggil anak-anak dan secara jujur saya bertanya kepada keduanya.
Ads
“Adik, kalau ada yang tanya adik, ibu ni orang yang macam mana…adik jawab apa?”
“Ibu garang!” Terpacul kata-kata itu dari bibir Aina yang mungil. Spontan jawapannya. Saya pun terkejut.
“Ibu garang sangat ke dik?” Aina tersenyum simpul. Mengulum senyumnya. Tak tahulah kalau dia sengaja menyakat saya. Pada saya, itu jawapan yang jujur dari hatinya.
“Ayah garang tak dik?” Saya mengumpan Aina.
“Tak. Ayah tak garang. Ayah baik. Ayah selalu bawak adik pergi taman.” Haih…celoteh sungguh budak kecil ini.
“Tak baik tau adik jawab macam tu. Ibu garang sebab ibu sayang kita.” Tiba-tiba Afrina menyampuk. Saya ketawa tengok muka Afrina yang berkerut memandang adiknya.
Ads
“Kalau orang tanya, Fina jawab apa?”
“Ibu ni pendidik.” Lagilah saya terkejut dengan jawapan anak sulung saya ini.
“Maksud Fina?”
“Ibu kan didik kakak dengan adik. Banyak yang ibu ajar,” jawab dia ringkas.
“Ye ke?” Afrina mengangguk.
Ads
Fahamkan Prinsip Ini
Dari situ, barulah saya faham pandangan kedua anak saya adalah berbeza terhadap saya. Mungkin kerana faktor usia ataupun faktor kematangan. Afrina yang sudah berusia 13 tahun merasakan saya telah mendidiknya dengan baik. Mengajarnya tentang betul salah, buruk dan baik. Mengajarnya untuk hidup berdikari tanpa ayah di sisi.
Berbanding Aina yang baru 5 tahun, apa yang dia harapkan adalah tumpuan dan kasih sayang. Itulah sebabnya mengapa dia kata saya garang. Dia rasa saya tak perlu marah atau tegas dengan dia sebab dia cuma inginkan perhatian saya sahaja. Dia selalu fikir dia tak buat salah apa-apa.
Cuma yang saya tahu, segarang-garang saya macam singa (ni Aina yang cakap) saya tidak merotan anak. Saya tidak menghukum anak tanpa sebab. Saya hanya tegas terhadap sesuatu disiplin. Kalaulah saya ni betul-betul garang, rasanya anak-anak asuhan pun tak kan nak dengan saya. Tak mungkin saya bertahan hampir 10 tahun sebagai pengasuh anak-anak.
Okey…saya pun belajar perkara baru ketika itu. Sebagai ibu atau bapa, jangan terlalu taksub dengan status kita sehinggakan kita ego dengan anak-anak. Tidak pula terlalu beralah sehinggakan anak hilang hormat dan pijak kepala. Apa yang Afrina dan Aina cakap telah menjelaskan siapa saya sebenarnya. Pandangan mereka menjadi panduan untuk saya. Juga menjadi kekuatan untuk saya meneruskan kehidupan ini bersama mereka.
Terima kasih abang kerana abang telah mendoakan saya sebelum ini. “Didik anak-anak abang dengan baik. Abang nak anak-anak pandai macam Yang. Sekolah elok-elok. Ajar agama. Jangan biar anak-anak jadi macam abang.”
Mulanya saya memang tidak faham maksud hubby. Dia selalu ulang kata-kata ni sejak dari Afrina kecil lagi. Sehinggalah kami dikurniakan Aina pun, dia cakap perkara yang sama. Rupa-rupanya hubby pesan didik anak-anaknya menjadi orang yang berilmu kerana orang yang ada ilmu akan tahu mana letak dirinya. Walaupun hubby tiada segulung ijazah tetapi kebaikan akhlak hubby banyak diwarisi oleh anak-anak. Dan sikap saya yang tegas sebenarnya yang akan membantu segala didikan hubby kekal dalam diri anak-anaknya. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan pahala berpanjangan untuk hubby kerana kebaikannya terhadap kami.
Saat ini cuba tanya pada diri sendiri. Siapa kita pada pandangan anak-anak? Hanya mereka yang lebih mengetahui.
Sumber/Foto: zureinyzulkafly.blogspot.my via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelbagai alasan dan sebab diberikan tatkala seseorang wanita itu memilih dan rela untuk menjadi isteri kedua. Selain bersandarkan ‘jodoh yang telah ditakdirkan’ dan rasa cinta yang mendalam, wanita ini seringkali tertarik dengan suami orang kerana dirasakan lelaki tersebut nampak lebih matang dan dapat membimbing dirinya.
Namun sebelum berhasrat untuk meneruskan menjadi isteri yang kedua, mohon hadam dahulu perkongsian menarik yang dikongsikan oleh lelaki ini.
Rela Jadi Yang Kedua
Pernah dengar kisah ada perempuan sanggup menjadi isteri kedua? Sanggup bermadu asalkan dia dapat berkahwin dengan lelaki yang dicintai kononnya.
Antara sebab dan alasannya kerana dia melihat lelaki tersebut tampil kemas bergaya dan sentiasa ceria. Mempunyai kerja yang stabil, bijak menguruskan keluarga, tenang, sabar dan segala benda yang baiklah. Lelaki tersebut nampak lebih matang dan dapat membimbingnya.
Tapi di sebalik apa yang kau lihat tu, pernah tak kau terfikir siapa yang membuatkan dia sebegitu. Kemas penampilannya kerana seorang isteri yang sentiasa menjaga pakai dan ceria harinya kerana telatah anak-anak dan perwatakan isteri yang menawan hatinya.
***
Berjayanya Dia Kerana Doa Seorang Isteri
Kau lupa berjayanya dia kerana doa seorang isteri yang sanggup berkorban dan bersama dalam keadaan susah dan senang. Sabarnya dia kerana ketabahan seorang isteri yang sentiasa memberi sokongan dalam apa jua keadaan sekalipun.
Tapi kau senang-senang nak tawan hatinya. Guna pelbagai cara untuk goda dia. Minta tolong itu ini macam dah tak ada yang bujang. Sedangkan kau tahu dia suami orang. Ada yang sanggup berjumpa sendiri dengan isteri si lelaki untuk meminta izin menjadi yang kedua.
Kau pun tahu kan kucing tidak akan menolak ikan. Janganlah jadi ikan. Terutamanya ikan busuk. Harap kau fahamla apa maksudnya.
Sebelum nak buat apa-apa, cuba berfikir sejenak. Cuba letak diri kau kat tempat isterinya. Apa kau rasa? Kalau kau tak sanggup orang buat kau macamtu, kau jangan buat kat orang lain macamtu. Cuba fikir pasal anak-anaknya juga. Sanggup kau rampas kebahagiaan mereka?
Kau juga perempuan. Kau pasti lebih memahami isi hati seorang perempuan. Tegakah kau membina bahagia atas air mata perempuan lain yang bergelar isteri?
Suami Jangan Cepat Lupa Diri
Para suami juga perlu bertindak dengan bijak. Jangan cepat termakan dengan godaan perempuan lain di luar sana. Ingatlah isteri dan anak-anak yang sentiasa bersama saat susah dan senang.
Tundukkan pandangan wahai para suami. Jangan mudah termakan dengan pujuk rayu dan godaan. Sebab dengan godaan itu boleh membuatkan kau menzalimi anak dan isteri.
Jangan kau lupa kerana mereka rezeki kau semakin bertambah. Jangan cepat lupa diri. Bila dah senang sikit mula la nak cari lain. Nak yang dahi licin, body solid je. Kau tak ingat ke isteri kau dulu pun macamtu?
Cuma lepas bila dah ada anak, berubah sedikit penampilannya. Itu semua pengorbanan untuk kau. Kalau nak isteri kau macamtu juga, belikan dia baju yang cantik, alat kosmetik dan apa sahaja untuk buat dia kembali menawan.
***
Fikir Dahulu Sebelum Nak Buat Apa-Apa
Binalah kebahagiaan tanpa menghancurkan kebahagiaan orang lain. Apa yang kau buat akan berbalik pada kau. Jadi, nak buat apa-apa tu cuba fikir dulu. Ramai lagi lelaki bujang di luar sana. Mungkin kau je belum jumpa.
Para suami pula jangan kau fikir syok kahwin dua je. Jangan fikir pasal bahagia diri kau sorang je. Fikir juga anak-anak dan isteri. Tanggungjawab dengan isteri yang seorang tu pun belum dapat ditunaikan dengan sempurna, ada hati nak kahwin lain. Sekadar berpesan-pesan untuk kebaikan bersama.
Lelaki diuji bila dia mempunyai segalanya. Perempuan pula diuji jika si lelaki tiada segalanya. Kah!
Cemburu memang perlu dalam rumah tangga. Orang kata, ‘Cemburu itu tanda sayang’. Apa yang anda fikir sekiranya suami tidak pernah persoalkan anda keluar pada bila-bila masa dengan lelaki lain? Dah tak sayangkah?
Saling ‘Menguji’ Pasangan
Untuk memujuk hati maka anda kata itu memang janji yang anda sendiri minta dia penuhi sebelum berkahwin dulu. Maklumlah tempat anda bekerja memerlukan anda bertemu dengan ramai orang atas berbagai-bagai urusan.
Namun setelah beberapa tahun berkahwin, tidak pernah sekali pun dia bertanya dengan siapa anda keluar walaupun jelas anda ada bercerita tentang betapa kacaknya pelanggan syarikat anda itu.
Berhak Cemburu
Saya boleh sahkan memang ada suami begitu tetapi saya tidak mahu mengulas dalam ruang kecil Nota Untuk Isteri ini. Cuma izinkan saya ubah sedikit soalan tadi.
Apa pula anda fikir jika suami anda yang kacak, sado dan bergaya itu selalu bertemu klien-klien wanita atas urusan kerja? Adakah mendebarkan perasaan anda jika suami selalu menerima panggilan telefon di waktu malam yang suami kata semuanya atas urusan kerja?
Saya percaya anda lebih sanggup dicurah timah panas ke dalam lubang telinga berbanding mendengar bunyi telefon daripada pelanggan wanita yang menelefon suami di waktu malam yang semuanya atas urusan kerja. Maaf jika contoh ini agak keterlaluan tetapi saya setuju anda berhak untuk cemburu dan berhak menjalankan proses soal siasat atas pelanggan itu.
Namun bagaimana jika anda sentiasa cemburu setiap kali suami pergi ke pejabat? Jika suami anda seorang doktor ada membayangkan ada saja jururawat muda berkenan dengan suami anda.
Jika suami anda seorang guru, anda sentiasa syak ada pelajar tingkatan 6 yang memandang suami anda dengan perasaan lain. Jika suami anda seorang usahawan berjaya, anda selalu menyerbu ke pejabat kerana tidak percaya kepada setiausaha kepada suami anda.
Memang anda merasa cemburu sebab anda sayang tetapi apalah gunanya rasa sayang itu jika setiap hari anda bertengkar dengan suami disebabkan perkara itu?
Foto: 123rf
Cemburu Itu Perlu Tapi…
Saya kata cemburu itu memang perlu dalam rumah tangga. Ianya umpama vitamin atau antibiotik yang boleh mencegah apa-apa ancaman terhadap kebahagiaan anda. Namun ianya juga boleh menjadi racun merbahaya jika tidak terkawal.
Rasa cemburu yang keterlaluan menunjukkan anda sentiasa merasa ‘terlalu kurang’ berbanding orang lain sehingga menyakitkan perasaan anda terhadap suami.
Anda selalu terasa tidak selamat dan terasa akan ditinggalkan pada bila-bila masa disebabkan orang lain. Puncanya mungkin bukan daripada suami atau perempuan lain tetapi datang dari dalam diri sendiri. Anda mungkin ada rahsia gelap, pernah menjadi mangsa pencabulan emosi atau seksual semasa kecil atau kesan daripada cara anda dibesarkan sebelum ini.
Suka Bandingkan Diri Sendiri
Bukan satu rahsia orang perempuan selalu membandingkan diri mereka dengan orang lain. Siapa kulitnya paling putih dan gebu, siapa yang lebih cantik, siapa yang lebih seksi dan seterusnya. Walaupun berbuih mulut suami menyatakan anda wanita paling cantik di matanya tetapi anda tetap tidak percaya.
Masalah bermula apabila anda merasa yang anda betul apabila merasa suami sentiasa terus mencari perempuan lain yang lebih cantik berbanding anda. Ini bukan masalah suami tetapi masalah anda tidak yakin kepada diri sendiri.
Lelaki Tak Suka Wanita Tak Yakin Diri
Lelaki sangat tidak suka kepada perempuan yang tidak yakin kepada diri sendiri. Apa yang anda bayang-bayangkan dalam kepala itu menjadikan anda cemburu buta dan akhirnya bertukar menjadi realiti ngeri yang benar-benar berlaku.
Apa yang anda boleh elak jika rasa cemburu itu menjadi semakin teruk? Segalanya terserah pada anda. Jika anda rasa punca cemburu itu ada benarnya maka tindakan untuk berubah adalah penyelesaian terbaik. Contohnya sejak kebelakangan ini mesin penimbang di rumah semakin memberi petunjuk yang anda semakin memberat. Terimalah hakikat itu dan bertindak untuk mengubahnya.
Pergilah bersenam atau apa sahaja sehingga keadaan kembali terkawal. Jika suami ikhlas menegur cara anda berpakaian di rumah maka terimalah teguran itu dan berubahlah. Jika anda cemburu kerana anda ada rahsia gelap maka keluarlah daripada sejarah itu. Anda tidak boleh ubah apa yang sudah berlaku tetapi anda boleh membetulkan keadaan untuk masa yang akan datang.
Sumber: Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap mak ayah mahukan anak-anak yang lahir dan besar nanti menjadi anak yang soleh. Anak-anak yang bertanggungjawab, baik dalam keluarga mahu pun pada masyarakat. Itu satu, satu lagi apabila mak ayah meninggal dunia, anak-anak inilah yang mampu mendoakan kita nanti.
Sebab itu, apabila kita meninggal dunia, tiga amalan yang akan kita bawa adalah sedekah jariah, ilmu yang manfaat dan pastinya yang terahhir adalah doa anak-anak yang soleh.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali 3 perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”
(Hadith Sahih – Riwayat Imam Ahmad).
Ini antara perkongsian oleh Zulkifli Che Noh yang boleh mak ayah jadikan panduan.
Anak-anak ibarat kain putih, terlalu mudah terpalit dengan apa sahaja unsur kebaikan mahupun keburukan yang mereka lalui dalam kehidupan sehari-hari.
Apa yang mereka lihat, dengar mahupun rasa akan tersimpan kemas di dalam minda. Hanya menunggu masa dijelma dalam bentuk tindakan apabila diperlukan.
Buat ihsan dengan ibu bapa
Ustaz Haryanto pernah berpesan; “Mahu anak-anak terbiasa mendoakan kita, samaada ketika kita masih hidup apatah lagi setelah kita meninggal dunia, amalkan solat berjemaah bersama anak, sesudah itu berdoa dengan menyebut nama ibu dan ayah.”
Begitu juga, jika mahu anak-anak melakukan sedekah ataupun korban atas nama kita setelah kita meninggal nanti, selalulah berpesan kepada mereka ketika kita masih hidup lagi. Di samping itu, contohkan mereka dengan melakukan perkara yang sama kita lakukan buat ibu bapa kita.
Menghormati, dan bersikap rendah hati dengan adik beradik dan kerabat
“Abang, adik, jangan berkawan dengan budak hitam tu, pergi masuk ke bilik!” herdik si ibu penuh rasa benci, melihat anak-anak saudara yang agak miskin datang menziarahi.
Anak-anak taat mematuhi. Namun, di hati mereka membuat interpretasi sendiri. Mungkin begini cara kita perlu berinteraksi dengan orang yang miskin dan tidak disukai.
Aduh, bagaimana nasib dunia ini suatu hari nanti. Jika angkuh, sombong disemai sejak dini. Yang tumbuh hanya permusuhan dan rasa benci.
Keluarga adalah harta paling bernilai
Tidak ada keluarga yang selalu tenang tidak teruji. Terutama apabila melibatkan urusan harta pusaka dan soal hati.
Ibu ayah yang matang selalu memilih jalan damai dari mencetus perbalahan.Terutama di depan anak-anak yang menyaksikan. Sungguh, ramai yang sanggup putus saudara dek kerana sekeping geran tanah yang tidak seberapa nilainya. Akibatnya, permusuhan turut melibatkan anak-anak yang tak berdosa.Sepupu sepapat rindu hendak berjumpa mesra, namun dendam ibu ayah menghalangnya.
Jika kita mengimpikan generasi yang soleh dan luhur akal budi, hentikan akhlak buruk kita dari terus diwarisi. Libatkan mereka dalam kebaikan kita, mudah- mudahan meskipun kita telah tiada, amalan kita terus hidup selama-lamanya. Amin.
MW: Tunjukkan contoh yang baik-baik pada anak-anak supaya nanti dia kan ikut dan ingat apa yang mak ayah lakukan, malah itulah yang akan dia buat sama seperti yang mak ayah dia buat.
Sebak bila Achey dedah isteri serahkan wang gaji ketika bekerja. Terbaru menerusi program realiti TV, Achey memberitahu dirinya sangat kagum dengan pengorbanan suri hatinya...