Sesungguhnya ini kisah pemergian insan yang dicemburui. Anak muda ini, yang bertugas sebagai bilal meninggal dunia ketika melaungkan azan kedua dalam solat Jumaat di rumah Allah.
Malah Allah angkat darjatnya. Perginya Amirul Najmi dalam bulan yang mulia. Gurunya, Normujaidah Osman berkongsi kisah. Tentang anak didiknya yang baik budi sejak dari zaman persekolahan lagi.
Innalillahi wainna ilaihi rojiun.
Seorang lagi anakanda ku telah berpulang ke negeri abadi.
Sungguh kematian ini sangat teacher cemburui, duhai anakanda Amirul Najmi.
Pergi mengadap Ilahi tatkala engkau bertugas sebagai bilal yang sedang melaungkan azan kedua, menyeru umat manusia mengadapNya menunaikan solat Jumaat.
Kata doktor, pemergianmu akibat pendarahan di dalam otak.
Duhai anakanda Amirul Najmi,
Namamu tersemat kemas di hati teacher semenjak teacher mengajar kamu di Tingkatan 5 Marikh tahun 2015 lagi.
Anak yang sangat berdedikasi dan berakhlak mulia.
Anak yang sentiasa mendamaikan jiwa.
Takkan teacher lupa perbualan kita bila kamu nyatakan hasrat kamu dulu.
“Teacher, saya minat nak sambung bahagian agama, tapi saya bukan pelajar sekolah agama.”
Allah. Kamu punya cita-cita yang sangat jelas.
“Kamu ambil Tasawwur Islam, kan? Cuba tengok syarat kemasukan ke mana- mana IPT. Mungkin ada kursus yang bersesuaian yang tidak mensyaratkan kamu ambil mata pelajaran Bahasa Arab semasa SPM.”
Lalu, kamu melangkah dengan begitu bersemangat sejak kamu belajar di Jabatan Dakwah, KUIPSAS.
Kamu tidak hanya menunjukkan kesungguhan di dalam kelas. Malah kamu begitu gigih berada di medan.
Sungguh, meneliti kisah-kisah kamu dalam melunaskan tugasan pengajian kamu buat teacher rasa sangat bangga, Amirul Najmi.
‘Aku ajar sekolah biasa. Tapi ada anak didikku jadi Ustaz. Moga sedikit ilmu Bahasa Inggeris serta ilmu kehidupan yang teacher ajar itu akan dapat membantumu menyebar luaskan lagi perananmu di medan dakwah, anakku.’
Itu getus hati teacher. Doa yang teacher panjatkan kepada Ilahi tatkala kita berjumpa bila kamu datang melawat teacher di sekolah.
Malah teacher masih ingat sifat merendah diri kamu bila teacher bagi saranan ini kepada kamu.
“Tahniah. Nampaknya sudah jadi orang hebat sekarang. Berceramah di sana sini. Boleh lah ya, teacher jemput ke sekolah, bagi ceramah motivasi kepada adik- adik selaku alumni?”.
“Allah. Segan saya, teacher. Saya ni baru-baru belajar. Tapi kalau teacher nak, saya boleh cadangkan kawan saya di KUIPSAS.
Beliau masuk program TV hari tu. Dia lagi best, teacher.”
Aduhai. Rupa-rupanya perancangan kita terhenti di situ.
Teacher sayang kamu, Najmi.
Ibu bapa kamu tentu juga sayangkan kamu.
Namun, Allah lebih lagi mengasihi kamu tatkala dia menjemput kamu pulang di dalam bulan yang penuh keberkatan.
Bertepatan pula pada hari Jumaat di rumahNya yang mulia.
Maka termakbullah hasrat kamu duhai anakku saat kamu menyatakan bahawa kamu mahu berdakwah ke seluruh pelusuk dunia, menyebut nama Tuhanmu sehingga penghujung usia dan Allah memakbulkannya dengan menjemput kamu pulang disaat kamu sedang bersungguh-sungguh menyeru manusia menuju Tuhan sekelian alam.
Menuju sebuah kejayaan!
Sungguh anakku. Bondamu ini sangat cemburu.
Damai lah anakanda.
Tiada lagi kerisauan buatmu tatkala bertahan melawan kesakitan.
Tiada lagi kerisauan untuk kamu menangguhkan pengajian kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.
Sungguh anakku. Bondamu ini bersaksi bahawa perjalanan hidupmu penuh dengan kebaikan.
Maka selayaknya kamu dimuliakan Allah sebegini , di saat kamu berangkat pulang.
Berangkat menuju sebuah kejayaan!
Tidurlah anakanda.
Damailah aduhai nyawa.
Tugasan dakwahmu sudah selesai.
Sekarang tugasan teacher pula menyebarkan kebaikan kamu agar teacher di izinkan Allah untuk bersedekah pahala buatmu pula , andai bicara tinta ini dapat menyapa mana-mana jiwa.
Selamat tinggal anakku.
Selamat pulang ke pangkuan Tuhan yang sedang merinduimu.
Kamu telah pergi dulu.
Kudoakan agar di JannahNya kita bertemu.
Sumber/Foto : NORMUJAIDAH OSMAN, Bonda yang sedang rindu dan cemburu.
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal