Bak kata Ustazah Rohamiah Muda, kebersihan dalam rumah bukan tugas isteri semata. Sebaliknya, suami dan anak-anak pun terlibat sama. Membersih dan kosongkan sinki sebelum tidur misalnya.
Hal inilah yang kadang kita terlepas pandang. Bila dah terlalu penat, walau pinggan secawan pun tinggal saja dalam sinki. Tunggu esok sajalah baru cuci.
Sebaiknya cucilah kerana menjadi sunnah nabi supaya tidak membiarkan bekas tidak berbasuh sebelum tidur.
Kongsi ustazah,
Saya ke dapur untuk meletakkan cawan ke dalam sinki. Saya melihat di dalam sinki beberapa cawan lagi yang belum dibasuh. Biasalah, anak-anak minum air, cawan diletakkan di dalam sinki.
‘Pagi esoklah basuh cawan-cawan ni. Mata dah mengantuk!’ bisik hati saya sambil meletakkan cawan ke dalam sinki. Lagipun, cawannya hanya ada beberapa biji sahaja. Tak banyak pun!
Ketika saya ingin beredar, tiba-tiba suami datang bersama cawan di tangan.
Saya terus berkata, “Abang, cawan tu letak je lah di dalam sinki. Mengantuk dah ni. Nak tidur.”
“Basuh! Apa pula tinggalkan bekas tak berbasuh di dalam sinki. Ni mewarisi kepapaan. Tahu tak, kepapaan!”
Saya mendengar omelan suami dengan rasa bersalah. Tetapi, rasa mengantuk menguasai diri.
“Allah. Penat sangat ni, bang,” kata saya seperti memohon simpati.
Kemudian, saya beredar dengan meninggalkan suami di dapur.
Pagi esoknya, saya ke dapur untuk membuat sarapan serta membersihkan cawan yang belum dibasuh semalam.
Eh, tiada sebiji pun cawan. Semua telah dicuci oleh suami. Saya melihat ke dalam bakul sebelah sinki. Cawan yang saya minum semalam ada di situ.
Allahu … rasa terharu dengan kebaikan suami. Walaupun ia kecil, tetapi kesannya sangat mendalam di hati.
Selepas kejadian itu, saya cuba sedaya upaya untuk kosongkan sinki sebelum tidur.
Kawan,
Sebenarnya apa yang dikatakan oleh suami adalah benar.
Saya pernah mendengar dan membaca tentang sunnah nabi supaya tidak membiarkan bekas tidak berbasuh sebelum tidur.
Kenapa?
Kerana hukumnya adalah makruh. Keadaan mewarisi kepapaan dan kemiskinan. Ini kerana sisa makanan yang dibiarkan pada bekas makanan kita tanpa dibersihkan akan menjadi ‘habuan’ syaitan. Ini kerana syaitan sangat sukakan kepada makanan yang kotor lagi busuk. (Disebut dalam Kitab arab Ta’limul Muta’allim).
Jadi, sebaiknya sebelum tidur bersih sinki daripada bekas makanan yang tidak dibasuh.
Sebenarnya, kebersihan di dalam rumah tangga bukan urusan isteri semata-mata, bahkan tanggungjawab bersama, iaitu isteri, suami dan anak-anak.
Sebiji cawan jika bertangguh untuk dibasuh dan dikumpul di dalam sinki, ia akan penuh. Ketika itu, mulalah rasa malas untuk mencucinya.
Sebelum tidur, pastikan sinki kosong.
Moga coretan ini bermanfat buat isteri, suami dan anak-anak.
Sumber/Foto : Rohamiah Muda , penulis buku Diakah Jodohku?