Ketika Diuji Musibah…Jangan Asyik mengeluh, Lebih Baik Angkat Tangan Berdoa

Share

Ada kalanya kita tidak perasan yang kita mengeluh bila sedang diuji, mungkin kerana kita sudah terbiasa dengan mengeluh hingga kita tidak pasti adakah baru sahaja mengeluh.

Ikuti perkongsian daripada Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA), juga penulis ruangan MUNAJAT di dalam Majalah MINGGUAN WANITA.

Mengeluh Dan Keluhan

Saya suka membezakan antara mengeluh dan keluhan. Pada saya, mengeluh adalah kata kerja dan keluhan adalah kata nama. Biar pun datang dari akar yang sama namun perbezaan yang nampak kecil ini memberi impak yang berlainan dalam hidup.

Keluhan melambangkan ketidakpuasan hati dan perlu diluahkan agar orang lain mengerti apa yang kita rasakan. Meskipun begitu, ia perlu diluahkan dalam emosi yang stabil dan bukan dengan cara yang boleh membawa kerosakan silaturahim.

Manakala mengeluh pada saya adalah satu perasaan yang bercampur baur antara tidak puas hati, kecewa, letih, bosan, marah dan sebagainya yang dizahirkan bukan melalui kata-kata tetapi hanyalah dengan satu hembusan nafas.

Kecewa Punca Utama

Biar pun banyak perasaan yang ada ketika seseorang itu mengeluh, namun yang menjadi pendorong utamanya adalah perasaan kecewaMengeluh terdiri daripada dua bahagian.

Bahagian pertama adalah menarik nafas yang panjang dan bahagian kedua adalah melepaskan nafas yang panjang.  Bahkan ada juga yang menghembuskan nafas berserta dengan bunyi kecewa.

Jika dipendekkan cerita, pada saya mengeluh hanyalah permainan nafas yang dapat melegakan seseorang yang sedang dibebani dengan pelbagai perasaan negatif. Namun kelegaan itu hanya berlaku pada ketika itu sahaja.

Berdoa Pada Waktu Mustajab

Pada saya mengeluh itu lebih besar impaknya daripada keluhan dari sudut perjalanan hidup. Orang yang meluahkan keluhan akan mencari jalan agar dapat keluar daripada permasalahan yang sedang membelenggunya. Tetapi mengeluh pada saya adalah satu bentuk doa. Ia bukan doa biasa-biasa tetapi doa yang tajam.

Lebih tajam lagi jika mengeluh itu dilakukan pada waktu-waktu makbul doa. Lihat sahajalah waktu petang, berapa ramai yang mengeluh kerana takut terperangkap dalam kesesakan jalan raya tetapi akhirnya tetap sahaja terperangkap.

Doa Yang Sempurna

Cuba kita renung berapa banyak perasaan yang ada ketika kita mengeluh menjadi satu kenyataan. Ini jelas menunjukkan yang mengeluh itu adalah satu bentuk doa.

Ianya lebih tajam dan mustajab kerana sewaktu kita mengeluh, kita akan satukan perasaan, gambaran dan suara-suara dalaman menjadi satu. Setelah itu semuanya disebatikan dan dialirkan dengan satu nafas. Ini akan mencipta satu bentuk doa yang sempurna.

Mengeluh adalah proses pemusatan segalanya pada satu nafas.  Justeru, nafas yang kita keluarkan ketika mengeluh itu akan memberi tenaga kepada setiap perasaan negatif yang berserta dengannya untuk terus kuat dan kukuh dalam minda kita hingga ianya dapat menjadi satu kenyataan.

Ganti Keluhan Dengan Elemen Positif

Bagi mereka yang mengerti atau mendalami tenaga dalam yang betul, mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak mengeluh. Mereka menggantikan elemen-elemen negatif dengan yang positif baru dipusatkan seluruhnya kepada satu nafas.  Mengeluh hanya membawa kerugian besar dalam perjalanan hidup seharian.

Persoalannya bagaimana caranya untuk berhenti mengeluh. Langkah awal bukanlah berhenti mengeluh tetapi mengurangkannya dengan latihan-latihan pernafasan.  Jika dahulu harganya amat mahal tetapi hari ini semuanya ada di YouTube. Pelajarilah hal itu dahulu baru melangkah kepada yang lain.

Published by
Nurul Azwa