Setiap orang merasai getirnya musibah Covid-19. Duduk di rumah itu bukan sekadar duduk, tetapi ada individu yang dicengkam emosinya. Dengan bermacam ujian stress kehidupan. Bonda Nor berkongsi catatan, pesanan untuk mereka yang berdepan depresi dalam kekalutan ujian ini.
Seawal jam 5 pagi tadi, masuk satu mesej bertulis, “Depressed.”
Saya terkedu seketika. Tahu masalah besar yang sedang teruji ke atasnya. Tahu dia seorang yang kuat semangat. Dari dulu, satu persatu ujian hidupnya ditempuhi senyap-senyap tanpa meributkan orang lain.
Tapi kali ini, saya boleh rasakan, dia benar-benar sedang tertekan. Bukan kecil anak ujian yang sedang dihadapinya. Antara hidup dan mati!
Cuma… saya tahu itu hanya stres. Dia bukan depresi. Saya tahu dia cuma penat tapi semangatnya masih kuat. Dan dia akan berjaya lepasi juga ujian yang satu ini!
Nampaknya, ujian wabak COVID-19 yang melanda dunia ketika ini memang benar-benar telah mengasak minda dan emosi kita.
Ada yang terbaring dengan masalah kesihatan. Ada yang terduduk dengan masalah kewangan.
Masa ini pula ujian lain datang bertalu-talu. Bergaduh dengan majikan, dengan pasangan, dengan anak-anak.
Masa ini pula fitnah berleluasa hingga ada yang rasa macam nak gila cuba menepisnya!
Ini apa? Sudah jatuh ditimpa tangga!
Allahu Akbar!
Betul. Mungkin ini ujian paling hebat dalam sejarah dunia.
Kalau sampai Kaabah pun terpaksa dikuarantin, rumah-rumah Allah pun terpaksa ditutup hingga Solat Jumaat yang selama ini jadi simbolik kekuatan umat juga terpaksa dibatalkan, ini bukan sembarangan krisis. Ini petanda akhir zaman sudah terlalu hampir!
Dan kita, masihkah mahu membuang masa melayan krisis remeh temeh emosi dan persepsi?
Sudah-sudahlah.
Ketika ini, bukan saja virus COVID-19 yang sedang menular, bahkan pelbagai aura negatif juga sedang pantas tersebar.
Sebijak mana pun kita cuba menutup kemaraannya dengan lawak jenaka media sosial kita, tetap juga kita tidak boleh nafikan betapa tempias derita ini pelan-pelan sedang menyusup masuk ke jiwa masyarakat kita dan meranapkannya!
Ketika ini, miskin atau kaya, sihat atau sakit, bujang atau berkahwin, ada anak atau tiada anak, semua tetap teruji!
Saya terima mesej daripada seorang wanita yang kaya raya dan berpangkat dalam masyarakat. Gigih melawan stres. Terlalu sunyi! Suami sudah meninggal. Anak cucu tak boleh balik. Dan di rumah, cuma dia. Ketika ini, harta dan pengaruh tidak lagi membawa makna!
Saya terima mesej daripada seorang sahabat yang bergaji besar, berpengaruh. Juga stres. Teruji dengan masalah kesihatan. Terkurung macam banduan.
Saya terima mesej daripada seorang kenalan. Stres. Struggle berdepan masalah kewangan.
Saya sendiri?
Aduhai. Saya sendiri tak lepas daripada teruji di musim wabak COVID-19 ini! Siapa tahu di sebalik lajunya saya update status Facebook setiap hari, hakikatnya lebih banyak saya terbaring saja di katil sendiri?
Stres tak sama macam depresi atau juga disebut sebagai kemurungan. Stres datang singgah sekejap-sekejap. Depresi, hampir menetap!
Tapi Insya-Allah kita boleh lawan kedua-duanya dan terus kekal positif berdepan ujian hidup kita.
Bagaimana?
Fokus pada rasa syukur. Apa nikmat paling besar yang kita masih ada hari ini? Peluang membuka mata. Nyawa! Ramai yang sudah kehilangan nyawa tapi kita masih ada. Syukuri itu! Besar sangat nikmat tu!
Faham bahawa ini ujian. Faham bahawa Allah sedang melihat dan malaikat sedang mencatat. Dalam satu hadis Qudsi, Allah bagitau yang Dia suruh malaikat hantar ujian ni pada kita dan catatkan respons kita.
Kalau kita sabar, maka layaklah kita ke syurga. Kalau kita mengeluh, melayankan stres, tak redha dengan pilihan ujian tersebut, maka kita kena sedar ada natijahnya – neraka.
Sekarang, check kondisi hati dan respons kita. Kalau kita ada rasa tak redha, kita mengeluh, istighfar cepat! Perbaiki segera respons kita. Biar Allah suka dan mudah-mudahan layak terima apa yang kita harapkan – syurga.
Akui segala dosa dan kesilapan kita selama ini. Cuba untuk gunakan musibah yang sedang melanda ini sebagai peluang besar untuk hapuskan dosa-dosa tersebut.
Dalam banyak hadis, Rasulullah selalu sebut pasal ni. Musibah menghapuskan dosa. Musibah menghapuskan dosa! Maka, rebut cepat peluang ini dengan asbab sabar dan redha kita. Mudah-mudahan Allah segera redha pula kepada kita dan hapuskan dosa-dosa yang tak terkira banyaknya!
“Tak seorang pun muslim yang tertimpa kesusahan berupa sakit atau lainnya, kecuali Allah menggugurkan kesalahannya sebab hal itu seperti halnya pohon yang menggugurkan daunnya.” (HR Muslim)
Bertenang. Ini aset yang sangat penting dalam mendepani ujian. Hanya orang yang tenang saja mampu rasional dalam membuat apa-apa pun keputusan!
Macam mana nak dapatkan ketenangan?
Tuan puan, semalam saya dengar sepotong petikan daripada Pengasas Funnel Evo, Tuan Fadi Ghazali.
“Seketika nanti, dunia yang nyata ini akan jadi dongeng. Dan akhirat yang dongeng itu akan jadi nyata.”
Faham tak maksudnya?
Ini… semua yang kita sedang lalui ketika ini ibarat salah satu plot dalam drama saja. Ia akan berlalu dan akan tiba pula episod baharu. Maka, jangan stressing sangat jiwa kita.
Fokuskan pemikiran kita pada realiti sebenar yang akan berlaku – akhirat. Itu alam yang kekal selama-lamanya dan kita sedang menuju ke situ!
Kalau kita dapat fokus pada perjuangan untuk ke syurga, maka akan lebih tenang. Bahkan kita akan sangat berhati-hati meniti setiap plot yang kita lalui ini.
Kita akan jaga persepsi. Kita tak akan buang masa memberatkan fikiran kita melayan musibah yang sedang melanda sebaliknya, kita akan lebih tenang dengan persepsi, ‘Ah, ini cuma satu lagi plot yang ada dalam hidup aku dan ia akan berlalu!”
Enjoy the plot! Nikmati kasih sayang Allah dalam setiap plot yang kita lalui. Fokus persiapan untuk hidup sesudah kematian. Itu yang lebih real!
“Semua manusia sedang tidur. Mereka hanya akan terjaga apabila mereka mati.”
Allahu Akbar. Deep! Mendalam sangat kata-kata Saidina Ali ini. Takkan tak terkesan langsung di hati? Takkan tak terasa yang kita sedang buang masa dengan mimpi dan sedang gagal mempersiapkan diri untuk sesuatu yang lebih REAL?
Pagi tadi, saya bangun solat Taubat, solat Hajat dan solat Witir. Ini amalan biasa saya untuk mengekalkan saluran kekuatan jiwa. Tak susah pun! Hanya perlukan masa sekitar 15 minit saja setiap hari.
Cubalah buat setiap hari. Tuan puan akan rasa magiknya.
Amalan ini mungkin tak mampu menghalang ujian daripada menimpa kita.
Kita mungkin akan tetap rasa sedih dan marah.
Kita juga mungkin akan tetap stres, tapi stres kita tak akan sempat menjadi depresi.
Kita marah, kita menangis tapi tak sempat berlarutan. Tak sempat jiwa dikuasai syaitan, kita dah kembali beroleh kekuatan!
Teruji. Tapi kita akan bangkit dengan sangat cepat!
Teruji. Tapi kita akan segera ‘nampak’ Allah dalam gelap gelita jiwa kita lalu kembali tersuluh berdepan ujian hidup.
Kita nampak ini peluang Allah nak beri kekuatan jiwa pada kita.
Kita nampak keresahan ini adalah peluang yang Allah bagi sebab nak hapuskan dosa-dosa kita.
Lalu kita tak jadi marah. Kita tak layan kecewa. Bahkan kita akan terus berjuang untuk merebut peluang-peluang ini!
Kita nak masuk syurga, kan?
Inilah jalannya!
Terus kuat ya!
“Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berduka cita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”
(Surah Fussilat, ayat 30)
MW : Semoga ujian Covid-19 ini menjadikan kita manusia yang dekat dengan penciptaNya.
Baca sini : Dalam wad isolasi pesakit terasing sunyi, tiada pelawat, tiada penjaga
Sumber/Foto : Bonda Nor