Ketika Diri Disahkan Anxiety, Anak Sulungnya Autisme, Ibu Pula Bipolar Disorder

Share

Beratnya ujian tuhan untuk wanita ini, Norlia Ismail. Bukan saja dirinya alami Anxiety Disorder (gangguan kebimbangan), malah anaknya pula didiagnos Mild Autisme. Lebih mengundang debar, ibunya pula disahkan Bipolar Disorder (gangguan bipolar / emosi berubah-ubah antara kemurungan dan mania).

Sejak itu, Norlia mula berkongsi kisah. Memberi kesedaran akan penyakit yang melibatkan mental melalui penulisan di ruangan facebooknya.

Hadamkan perkongsian ilmu yang sedikit sebanyak menjadi panduan untuk kita faham betapa tak mudahnya ujian sakit sebegini. Mohon kita bertoleransi.

 

Anak Sulung Didiagnos Mild Autisme

RAHSIA.

Assalamualaikum..

Izinkan saya menceritakan secebis dari keseluruhan perjalanan hidup saya.

Anak sulung saya, namanya Naim.
Kini berusia 6 tahun.

Anak saya ini, didiagnosis sebagai Mild Autisme pada 23 April 2019 yang lepas. Namun begitu, saya telah diberitahu tentang keadaan anak saya (Autisme) oleh Pakar Kanak-kanak semasa umurnya 4 tahun, iaitu pada 2 tahun lepas.

[Saya mohon tiada sesiapa yang bersikap ‘judgemental’ di sini.]

Saya ingin kongsikan keadaan anak saya yang memang bila difikirkan, ketara benar kelainannya sejak dia masih bayi lagi. Petanda awal memang nampak jelas seawal selepas saya berpantang melahirkannya.

Anak saya ketika bayi, sangat jarang menangis. Ramai yang kata anak saya pasti senang dijaga kerana tidak banyak merengek dan meragam waima ketika demam atau tidak menyusu lama sekalipun. Ketika sakit, dia lebih banyak diam dari menangis.

Anak Tak Teruja Lihat Permainan

Malahan, anak saya tidak menunjukkan minat terhadap mainan yang biasa dimain oleh budak lain. Andai diberi kereta, diterbalikkan. Dia sangat teruja melihat benda yang berpusing dan bergerak tidak henti-henti seperti kipas, lif dan papan tanda elektronik di kedai. Andai dilambakkan berbagai jenis mainan, dicampak-campak. ‘Keterujaannya’ melihat mainan tidak begitu terserlah..

Ketika bertambah usianya, satu yang saya sedar tentang anak saya ialah dia tidak mahu bercampur dengan kanak-kanak lain. Dia lebih memilih untuk mengasingkan diri. Andai ramai orang datang ke rumah, sekejap sahaja dia hilang. Rupanya dia lari masuk ke dalam bilik. Bukan sekali, tetapi setiap kali.

Mulanya saya fikir dia tidak biasa memandangkan saya yang menjaganya selama ini (anak saya tidak pernah dihantar ke rumah pengasuh), rupanya itu adalah salah satu petanda. Dia juga sangat sukar menumpukan perhatian, fokusnya tiada, hubungan mata apatah lagi. Naim juga tersangat jarang menoleh apabila dilaungkan namanya.

Pernah suatu ketika dahulu anak saya ini menghantukkan kepalanya ke dinding dan kelihatan ‘enjoy’ pula melakukannya.

 

Tanda-tanda Autisme Sebelum Umur Anak 4 Tahun

Sebenarnya ada banyak lagi tanda-tanda Autisme yang jelas kelihatan sebelum umurnya 4 tahun, tetapi saya ringkaskan di sini sahaja.

Antaranya:

1- Tidak menunjukkan minat kepada mainan.
2- Tidak tahu bermain olok-olok.
3- Ketawa berdekah-dekah tidak sesuai dengan keadaan.
4- Tidak bermain dengan rakan sebaya.
5- Tiada hubungan mata.
6- Suka memutar objek.
7- Menunjukkan keinginannya dengan tangan orang dewasa.
8- Perbuatan berulang contohnya mengibaskan tangan.
9- Tidak bercakap sehinggalah umurnya 3 tahun 9 bulan.

Usaha Ibu Bantu Anak Autisme Capai Kemajuan Diri

Walaupun begitu, anak saya telah menunjukkan beberapa kemajuan dalam beberapa tahun ini. Progresnya pantas!

Boleh juga saya simpulkan beberapa kemajuan Naim di sini iaitu:

1- Dari tidak boleh bercakap, sudah boleh bercakap dan Naim juga sudah boleh membaca semasa umurnya 4 tahun (tanpa paksaan).
2- Dari pakai pampers, sekarang sudah tidak pakai pampers (latihan selama hampir 4 minggu dengan berpuluh kali kencing merata dan berak di ruang tamu).
3- Dari lemah pegang pensel dan selalu menulis atas angin (tiada tekanan dan menulis seperti tiada tulisan pada kertas), sekarang Naim sudah boleh menulis dengan lebih baik dari sebelumnya.
4- Dari suka bersendiri, sekarang dia sudah boleh menyertai kumpulan.
5- Boleh menguruskan diri sendiri.
6- Sudah pandai mengayuh basikal. Yeay!
Dan ada beberapa lagi kemajuan lain.

Ramai dari kita yang hanya nampak hasilnya, tetapi tidak mengambil kira usaha yang telah dikerah.

Alahai, anak kau kan Mild. Bukan susah sangat nak jaga, bukan susah sangat nak ajar. Dia kan cuma mild.”

Sejujurnya, saya sedikit marah bila mana mendengar kata-kata ini. Kerana apa? Kerana bagi saya, golongan yang mengecam ini diibaratkan seperti orang yang sedang melihat sekeping gambar, mereka hanya mampu melihat apa yang terpapar di kertas, tanpa mengetahui cerita di sebalik gambar.

Mild, Severe atau apa sahaja, persekitaran kita dalam menghadapi dugaan mungkin berbeza. Mungkin kalian menerima sokongan yang baik, yang lain pula sebaliknya. Mungkin anda berduit dan punya banyak masa, tidak di pihak yang lainnya.

 

Anxiety Disorder, Luaran Nampak Elok, Sakitnya Tak Terlihat

Saya, didiagnosis sebagai Anxiety Disorder with Mild Panic Attack.

Perasaan anak saya, kini dapat saya rasakan walau mungkin hanya sedikit. Pesakit Anxiety Disorder, luarannya nampak elok dan baik-baik sahaja tetapi sakitnya tidak terlihat. Perjuangannya dengan anxiety yang dialami, kadangkala tidak difahami dan dianggap remeh. Kadangkala dianggap cuma mainan perasaan, dianggap lemah iman, dianggap tidak pandai menguruskan tekanan, tidak pandai jaga diri, lemah, lembik dan paling menyedihkan, dianggapnya kami ini ‘tiada apa-apa’.
Kawan-kawan,

Senyuman di wajah, mampu menutupi beribu rasa. Mengaburi mata. Adakah senyuman ini benar menunjukkan kebahagiaan?

Akhirnya Keluarga Buka Rahsia, Ibu Alami Bipolar Disorder

Sebenarnya, ada satu lagi perkara yang tidak pernah saya beritahu kepada orang lain, hanya ahli keluarga, 2-3 orang rakan dan saudara rapat saya sahaja yang tahu.

Mak saya, didiagnosis sebagai Bipolar Disorder. Buat pengetahuan, kami tidak pernah menghebahkan kepada orang luar berkenaan penyakit mak saya. Selama ini, kami tadahkan telinga mendengar ‘cakap-cakap belakang orang’ bila mak saya sakit.

Sakit mak saya, bermusim-musim. Mak tidak boleh banyak berfikir. Sepanjang hidup saya, macam-macam mulut orang yang saya dengar dan dari situ saya mula tersedar yang kita ini tidak boleh berharap kepada manusia, tetapi perlu menyandarkan pengharapan kepada Allah kerana hati manusia ini berbolak-balik. Sekejap baik, sekejap bermuka-muka. Tetapi begitu jugalah saya, kerana saya juga manusia..

Sampailah satu hari saya katakan pada ayah saya (mak dan ayah saya tinggal bersama saya), “Ayah, tak apalah kita cakap mak ada Bipolar Disorder. Barulah orang lain faham kenapa mak jadi sekian sekian. Tak adalah orang lain nak pelik sangat bila tengok mak mula jadi lain.”

 

Kisah Sakit Ibu Yang Membukakan Pintu Hati

Hal berkenaan mak saya juga mula membuka hati saya untuk terbuka berkongsi cerita mengenai Autisme dan Anxiety Disorder.

Saya tahu tidak semua faham dan mahu memahami. Tetapi sekurang-kurangnya saya sudah menjalankan sedikit tanggungjawab saya, meningkatkan kesedaran orang awam berkenaan Autisme dan penyakit mental.

Semoga lebih ramai yang cakna.

Kawan-kawan,
Andai ada kelakuan dari anak saya yang mungkin disalahertikan, ini bukan silap saya, tetapi silap orang lain yang tidak mahu memahami apa itu Autisme. Saya sudah sebarkan kesedaran, walau mungkin hanya sedikit, tetapi sekurang-kurangnya saya sudah menjalankan sedikit tanggungjawab dengan memberi semampu penjelasan sebelumnya.

Akhir kata, saya mohon tiada mana-mana individu yang membandingkan anak saya, Naim dengan anak- anak tipikal kalian. Naim ini Autisme, tolong faham ya?

Mohon maaf juga andai ada kesilapan dari pihak saya.. Saya hanya berkongsi rasa, semoga perkongsian ini mampu menambahkan pahala buat diri saya yang banyak lompong kehidupannya.

Kawan-kawan,
Simpati. Empati.
Ramai yang hanya tahu menyebutnya, tetapi tidak tahu makna.
Ramai yang nampak, tetapi dengan sengaja menjadi buta.

MW : Sebenarnya ramai lagi di luar sana yang masih berahsia. Simpan sorang-sorang sakit emosi yang mereka alami. Jika anda kenal, bantulah mereka untuk mendapatkan rawatan segera.

Sumber/Foto : Norlia Ismail
Anxiety Disorder Fighter.
Proud Autism Mom.
Bipolar Disorder Caregiver.

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Published by
Netty Ah Hiyer