“Ketika Dicabut, Anak Menangis Dan Menjerit Semahunya.” Salah Siapa Gigi Anak Rosak?

Share

Gigi anak rosak, nak salahkan siapa ya? Habis berlubang dan rongak sampai tak boleh nak tidur malam sebab sakit gigi! Inilah nasib anak kecil kalau dari kecil gaya pemakanannya tidak dijaga.

Sepatutnya mak ayah perlu menjaga pemakanan anak-anak dari peringkat awal, kena elakkan makanan yang mengandungi kandungan gula yang berlebihan.

Kalau boleh, kita tak nak jadi seperti yang Dr Intan Norsyazwani kongsikan ini. Gigi anak yang rosak sebab tak dijaga dengan betul dan akhirnya kena cabut belum pada waktunya. Lagi sedih, cabut banyak gigi dalam usia 3 tahun pun ada!

JANGAN JADI IBU DAN AYAH YANG PENTINGKAN DIRI

Seorang ibu hadir ke klinik membawa seorang anaknya yang berusia 5 tahun dalam keadaan gusi membengkak.

Si anak dalam kesakitan teramat sangat akibat gigi yang terlalu teruk dan besar kariesnya, tak tidur dengan nyenyak dari semalam. Asyik mengadu gigi sakit.

Bila diperiksa, gigi yang berlubang besar tidak dapat lagi diselamatkan dan perlu dibuat cabutan.

Sayang sekali. Seawal usia 5 tahun, gigi susu yang sepatutnya bakal gugur di usia 10-11 tahun sudah kena dicabut.

Nasihat diberikan supaya diberi ubat antibiotik dan tahan sakit untuk kurangkan bengkak dan kesakitan yang dialami kerana gigi akan sangat sakit jika dicabut dalam keadaan sebegini.

Malangnya, jawapan yang diterima dari si ibu amatlah mengecewakan.

“Cabut je lah doktor. Malam-malam tak boleh tidur asyik sakit. Menangis je. Dah cabut nanti settle dah tak ada sakit dah.”

Sudah diterangkan keadaan anak akan sakit sangat, tapi diabaikan oleh si ibu dengan alasan saya kerjalah doktor. Bukan senang nak dapat cuti. Hari ni dah cuti, cabut jelah doktor.

Si anak berlinang air mata. Kadang-kadang bila ibu ayah dah berkeras, kami turutkan juga. Ketika dicabut, memang si anak menangis dan menjerit semahunya katanya sakit walaupun sudah diberi ubat bius setempat. Allahu, sukar untuk digambarkan. Bagi saya ibu dan ayah seperti terlalu pentingkan diri.

Anak Tak Salah Tapi Mak Ayah Yang Salah!

Bagi saya, jika orang dewasa dalam keadaan gusi membengkak pun takkan berani untuk terus beri giginya dicabut dan akan minta ubat bagi surut bengkak dahulu. Inikan pula si anak kecil.

Salah anda menyebabkan anak gigi rosak. Saya tak salahkan si anak. Didikan awal perlu diterap dari seawal usia anak anda walaupun sebatang gigi.

Lagi mengeruhkan keadaan, inilah pengalaman pertama si anak datang ke klinik pergigian untuk dirawat dan pengalaman itu adalah yang paling traumatik untuk si anak.

Cuba anda beri jawapan, bagaimana anak hendak suka datang berjumpa doktor gigi jika pengalaman pahit dan trauma yang anda berikan kepada mereka?

Dan bagaimana anak nak suka jumpa doktor gigi jika anda pun jumpa kami bila sakit sahaja?

Jadi buat mak ayah yang ada anak kecil, jagalah gigi anak di peringkat awal. Tolonglah didik anak-anak untuk menjaga gigi dan elakkan daripada mengambil makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi.

Published by
Nadia