Ketika Berkahwin, Dia Memang Lumpuh. “Kekurangan Suami Tak Menghalang Saya Menerimanya.”

Share

Ketika berkahwin, dia memang lumpuh. “Kekurangan suami tak menghalang saya menerimanya.”

Begitulah cinta sejati, biarpun mengetahui bakal suami yang dinikahi lumpuh dan tak berdaya, wanita ini tetap mahu berkongsi hidup.

Dia Memang Lumpuh

“Syurga saya ada pada dia, jangan rasa menyesal. Jika mahu berkahwin dengan OKU (Orang Kurang Upaya). Pastikan jiwa dan mental harus kuat,” kata Zunaidah Alwi, 43, menetap di Kampung Pengkalan, Alor Gajah, Melaka.

Zunaidah membuktikan cinta dan simpati mengatasi segalanya apabila sanggup menikahi kenalan lama, Adam Md Sohor, 42, yang lumpuh pada tahun 2014, selepas kematian suami pada 2009.

Sejak lapan tahun lalu, dia menjadi tulang belakang keluarganya apabila perlu mencari rezeki dengan bekerja sebagai sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), selain menjaga suami yang terlantar sakit serta enam anak termasuk seorang OKU autisme.

Ketika Berkahwin

“Ketika kami berkahwin pada 31 November 2014 suami lumpuh dari paras pinggang ke bawah kaki akibat kemalangan jalan raya pada 2006.

“Kekurangan pada dirinya tidak menghalang saya untuk menerima suami seadanya, begitu juga keikhlasan suami menerima saya.

“Keluarga saya tidak membantah apabila kami memutuskan untuk berkahwin, manakala ibu dan bapa mentua sudah tiada dan suami dijaga oleh emak saudaranya,” katanya lagi.

Kekurangan Suami

Menurut anggota APM berpangkat koperal ini, ada saudara dan rakan tidak bersetuju keputusannya yang diibarat ‘tiada beban, batu digalas’ dan meminta dia berfikir panjang dalam membuat keputusan.

Mengimbau detik pertemuan dengan suami, cerita Zunaidah, mereka pernah berkawan namun terpisah selepas dia berkahwin.

“Kami bertemu semula ketika saya yang bertugas di APM Alor Gajah pergi mengambil kes orang sakit.

“Sebaik melihat pesakit itu terlintas di hati saya kami pernah bertemu. Selesai menghantarnya ke Hospital Alor Gajah, saya terus mencari nombor telefon bimbitnya di pejabat.

“Pada mulanya saya simpati dengan keadaannya terlantar sakit, sebelum timbul rasa cinta,” katanya yang memiliki anak berusia 13 hingga 21 tahun.

Artikel Berkaitan:

Setianya Isteri Jaga Suami Hidap Kanser Limfoma

Ketahuilah, Tiada Siapa Boleh Lawan Kehebatan Seorang Isteri Menjaga Suaminya

‘Jangan Kedekut Untuk Berbuat Baik Pada Pasangan’ Ini Punca Rezeki Isteri Tak Putus

Kasih Seorang Isteri, Sanggup Tunggang Motosikal Tujuh Jam Semata-Mata  Mahu Jaga Suami

Tak Menghalang Saya Menerimanya

Tambah Zunaidah, selepas berkawan kira-kira empat bulan, dia mengajak suaminya berkahwin bagi memudahkan dia menjaganya biarpun doktor memaklumkan suami tiada harapan untuk sembuh.

“Sebelum ini suami pernah dirawat di Hospital Melaka, namun kini rawatan itu terhenti kerana saya tidak mempunyai kenderaan untuk menghantarnya ke sana.

“Jika boleh saya minta dia dapat dirawat di Hospital Alor Gajah kerana boleh menggunakan khidmat ambulans APM.

“Cukup mudah untuk jaga suami kerana dia tidak cerewet. Jika bekerja, saya akan hidangkan makanan dan minuman lebih awal. Untuk mandi, saya hanya bantu mengangkatnya ke kerusi roda,” katanya.

Ingin Mencari Redha Allah

Menurut Zunaidah dia nekad mencari reda Allah SWT dengan berbakti kepada suami walaupun hidup cukup sederhana.

Katanya, pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka, Jawatankuasa Pembangunan & Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut menghulurkan bantuan kepada keluarganya sehingga kini dalam bentuk barangan makanan, lampin pakai buang dan wang tunai.

Sementara itu, jelas Adam, dia tidak terkejut dan yakin untuk berkahwin selepas melihat kesungguhan dan keikhlasan isterinya dalam menerima keadaan dirinya.

Mingguan Wanita : Cinta sejati membawa ke syurga. Semoga wanita ini terus kuat dan dikurniakan kesabaran dalam berbakti kepada suami tercinta. Sungguh mulia hatinya kerana mampu berkorban jiwa dan raga semata-mata demi redha Allah.

Sumber : myMetro

Follow kami di :

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita

Published by
Nur Syazwani Mehat