Khairul Azmi Mohd Saat @ Azmi Caliph Buskers antara pemimpin yang memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran, surah Al Ma-un ayat 1-7 dengan menggunakan Al-Quran Braille dalam program sejam bersama Al-Quran, Malaysia #QuranHour semalam.
Vokalis hebat, ini bukan saja merdu mendendangkan lagu-lagu romantis mahupun ketuhanan, malah terkesan sekali kala menyemarakkan alunan ayat suci Al-Quran kepada sejumlah 5000 peserta yang hadir.
Ada satu surah yang benar-benar menjentik hati penyanyi cacat penglihatan ini iaitu surah Al Insyirah. Surah ini pendek saja. Ada 8 ayat yang terkandung di dalamnya. Kenapa surah pendek ini begitu mengesankan jiwa Azmi?
“Tanyalah kawan-kawan, setiap kali mengimamkan solat, inilah surah wajib yang akan saya baca. Ianya surah yang menerangkan hati. Biarpun saya tak nampak, tapi hati saya terang dan tenang.”
Benarlah pengakuan Azmi itu, sebagaimana sabda nabi Muhammad s.a.w “Barangsiapa membaca Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil kesempatan maka menjadi suatu kelapangan daripadaku”.
Ketika hati susah dan gundah gulana, bacalah surah ini, semoga ia dapat melapangkan dada yang sempit dan resah itu.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
(1) Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)?
(2) Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam);
(3) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?
(4) Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?
(5) Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(6) Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
(7) Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),
(8) Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).
Al-Quran Braille sinonim dengan jiwa Azmi sejak dari usia 8 tahun lagi. Sampailah tiga tahun lalu, barulah Azmi kenal dengan Braille tulisan Jawi. Dia ambil masa beberapa tahun untuk mahir dengannya.
Kebolehan menguasai Al-Quran Braille membolehkan Azmi menyertai pertandingan musabaqah Al-Quran di peringkat sekolah. Bukan sekali dua bertanding, malah Al-Quran sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
Walaupun tak lagi menyertai pertandingan sedemikian, Azmi masih meneruskan rutin membaca Al-Quran bersama iseri, Nazira Muhammad. Ketika dia membaca, isteri akan mendengar dan begitulah sebaliknya.
Kata Azmi, rakan-rakan yang senasib dengannya jangan menjadikan kekurangan penglihatan sebagai penghalang dari belajar mengaji.
Di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) turut menganjurkan kelas pengajian Al-Quran Braille yang bertempat di Kompleks MAB, Brickfields. Ini salah satu usaha murni untuk meramailah lagi Orang Cacat Penglihatan yang celik Al-Quran
via Mingguan Wanita