Ketetapan SOP Majlis Kahwin, Tunang, Kenduri DIBENARKAN Mulai 1 Julai

Share

Berita baik, buat yang ingin mengadakan majlis yang sekian lama tertangguh, terkini kerajaan telah mengumumkan membenarkan penganjuran majlis-majlis tersebut pada bulan hadapan.

Kapasiti 250 Tetamu

Kerajaan membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk majlis perkahwinan, pertunangan dan tahlil dengan kapasiti tidak melebihi 250 tetamu mulai 1 Julai ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, majlis lain yang turut dibenarkan adalah akikah, doa selamat, sambutan ulang tahun perkahwinan, hari jadi dan pertemuan semula (reunion).

“Bagaimanapun kita mengehadkan masa antara tiga hingga lima jam sahaja.

“Kapasiti pengunjung kekal tidak melebihi 250 individu, tetapi tertakluk kepada saiz ruang atau lokasi diadakan, kalau tempatnya kecil dan sukar melaksanakan penjarakan sosial mungkin cukup setakat 150 orang atau jumlah yang mampu dimuatkan sahaja, tidak semestinya sehingga 250 orang,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Hidangan Atas Meja

Mengenai penyajian makanan, Ismail Sabri berkata, hanya bufet yang dibenarkan, dan pengunjung tidak boleh mengambil sendiri makanan berkenaan.

“Makanan perlu dihidangkan pramu saji, yang terbaik dicadangkan supaya membuat hidangan di atas meja,” katanya.

Kaunter Saringan Kesihatan

Beliau berkata, antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk untuk memastikan bilangan kehadiran, pemeriksaan suhu badan dan tidak membenarkan tetamu bergejala seperti demam, batuk dan selesema masuk.

Menurutnya, penganjur dan tetamu digalakkan memakai pelitup muka.

“Penganjur majlis juga mesti mendaftarkan tetamu menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual sebagai rekod sekiranya berlaku kes jangkitan.

“Laluan keluar masuk tetamu juga perlu berbeza untuk mengelakkan kesesakan.

“Namun, jika penganjur merasakan sukar untuk mengawal dan memastikan penjarakan sosial, penganjur dinasihatkan supaya tidak menganjur majlis,” katanya.

MW: Jadi jika nak menganjurkan sebarang majlis, pastikan patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan ini.

Sumber: Hmetro

Published by
Suhaidah Abd Wahab